Panas dalam badan ketika demam adalah sesuatu yang merisaukan, lebih-lebih lagi jika yang demam adalah anak kecil. Tak sampai hati melihat mereka mengerang akibat tidak selesa. Apa yang lebih merisaukan, jika suhu badan menjadi terlalu panas ia boleh membahayakan kesihatan kerana berpotensi menyebabkan seseorang mengalami sawan malah boleh menyebabkan berlakukan kecacatan kekal pada otak.

Jom  kongsikan petua hilangkan panas dalam badan ketika demam secara natural yang boleh anda amalkan.

cara hilangkan panas dalam badan

Sumber: Mstar

Apakah punca seseorang mengalami demam? Yang sebenarnya ada pelbagai faktor yang boleh menyebabkan seseorang individu mengalami demam. Di antaranya ialah:

  • Jangkitan virus seperti virus selsema, sakit tekak dan cirit-birit. Apabila seseorang dijangkiti oleh virus tersebut, secara automatic tubuh badan akan demam sebagai salah satu mekanisma untuk melawan virus asing yang berada dalam tubuh badan.
  • Jangkitan kuman seperti jangkitan kuman di paru-paru (pneumonia), batuk kering (TB) dan jangkitan saraf (meningitis). Selain jangkitan virus, jangkitan kuman juga akan menyebabkan seseorang mendapat demam.
  • Selain jangkitan virus dan bakteria, demam juga mungkin berlaku disebabkan oleh jangkitan penyakit merbahaya seperti demam malaria, demam denggi, malah HIV.
  • Penyakit sendi juga boleh menyebabkan seseorang mengalami demam.
  • Sesetengah ubat seperti antibiotik juga boleh menyebabkan seseorang demam. Jika anda demam sebaik sahaja mengambil antibiotik, sila berjumpa doktor semula untuk pemeriksaan.

Apakah petua hilangkan panas dalam badan ketika demam yang boleh anda amalkan?

Jangan pakai pakaian yang tebal dan ketat

Elakkan daripada memakain pakaian yang tebal dan ketat melekat pada badan. Pakai pakaian yang nipis dari jenis kain kapas dan pastikan pakaian yang dipakai adalah longgar agar badan anda mendapat pengudaraan yang baik supaya haba panas dari badan dapat keluar. Elakkan juga daripada berselimut kerana apabila anda berselimut, haba panas dari dalam badan tidak dapat dibebaskan malah anda sedang meningkatkan suhu badan dengan berselimut.

Semakin lama anda berselimut, makin tinggi suhu badan anda maka semakin sukar untuk anda pulih dari demam. Anda akan berasa sejuk semasa demam lalu memilih untuk berselimut dan memakai stokin namun yang sebenarnya berselimut akan membuatkan demam anda semakin teruk. Oleh itu pakai pakaian yang nipis dan longgar semasa demam dan jangan sesekali berselimut atau berstokin.

Pastikan suhu bilik tidak panas

Bilik di mana anda berehat juga memainkan peranan yang penting untuk memastikan anda sihat dengan cepat. Ada yang menyangkan bahawa duduk di dalam bilik yang panas tanpa membuka kipas angin adalah cara yang terbaik untuk menurunkan panas dalam badan semasa demam namun yang sebenarnya amalan ini adalah tidak tepat sama sekali. Cuba bayangkan, anda sedang demam panas, ditambah lagi dengan duduk di dalam bilik yang panas. Macam mana suhu badan nak turun? Oleh itu untuk cepat kebah dari demam, pastikan anda duduk di dalam bilik yang tidak panas.

"

Buka kipas dan penghawa dingin jika ada. Turunkan suhu sehingga ke paras yang anda berasa selesa. Jangan terlalu panas dan jangan juga terlalu sejuk. Dapatkan suhu yang anda selesa untuk baring sambil memakai pakaian nipis dan longgar tanpa berselimut atau memakai stokin kaki. Ini adalah persekitaran yang paling ideal untuk menurunkan panas dalam badan ketika demam.

Lap badan atau mandi dengan kerap

Semasa demam, pastikan anda mengelap badan anak dengan kerap. Untuk orang dewasa, pastikan anda mandi dengan kerap. Jika anak kecil anda demam, anda boleh lap badan mereka menggunakan:

  • Air asam jawa. Campurkan sedikit asam jawa ke dalam air dan basahkan tuala kecil dengan air tadi. Lap seluruh badan anak anda. Air asam jawa membantu panas dalam badan hilang dengan cepat.
  • Air perahan lemon. Selain air asam jawa, anda juga boleh mengelap badan anak dengan air perahan lemon yang dicampur dengan air. Jika anak anda sudah besar sedikit dan boleh duduk dengan sendiri, anda boleh mandikan anak dengan air lemon. Caranya, masukkan air lemon ke dalam besen mandi dan biarkan anak berendam di dalamnya selama yang dia suka. Mandi atau mengelap badan dengan air lemon sangat berkesan untuk menurunkan panas dalam badan ketika demam.

Selain itu anda juga boleh tampal pelekat cool fever pada bahagian dahi, belakang leher dan belakang badan untuk mengurangkan panas.

Minum air rebusan barli

Air rebusan barli juga sangat berkesan untuk menurunkan suhu panas ketika demam. Caranya juga sangat mudah. Beli sepeket barli dari kedai, rebus di atas dapur bersama air kosong sehingga barli tadi mengembang. Semakin lama anda rebus, semakin kembang barli tadi.

Anda boleh masukkan gula batu atau madu untuk memberikan rasa manis kepada air rebusan barli tadi. Anda boleh rebus dalam kuantiti yang banyak dan simpan di dalam peti ais agar tahan lama. Minum air rebusan barli sejuk untuk menyejukkan dan menyegarkan badan.

Minum air kosong dengan banyak

Petua turunkan panas dalam badan semasa demam yang terakhir ialah pastikan anda minum air kosong dengan banyak. Ini kerana air kosong akan membantu mengeluarkan segala toksin dari badan. Semakin banyak anda minum air, semakin kerap anda membuang air kecil. Air kecil akan keluar bersama segala toksin sekali gus membantu demam anda cepat kebah.

Itulah dia info tentang petua hilangkan panas dalam badan ketika demam yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat. Semoga  kita semua dirahmati Allah dan dilimpahkan dengan keberkatan dan kasih sayang. Jika anda sukakan artikel ini,anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang cara mencegah demam denggi, tips turunkan demam kuning bayi,  dan bayi demam campak.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.