Kehadiran lalat di dapur atau kedai makan bukan sahaja mengganggu ketenteraman malah dikhuatiri akan membawa penyakit. Lalat akan semakin banyak pada musim panas memandangkan ia akan membiak dengan lebih cepat pada suhu yang panas. Pastinya kita semua tahu bahawa lalat adalah serangga yang membawa penyakit seperti taun, cirit-birit, demam kepialu, disentri, dan Konjungtivitis epidemic. Nak tahu? Jom baca petua halau lalat cara semulajadi dan murah yang anda wajib cuba.

1. Gantung air yang diisi dalam plastik lutsinar

Sumber: Amazingnara

Ini adalah petua halau lalat yang biasa kita tengok di kedai makan dan gerai. Mungkin ada yang tertanya-tanya bagaimana perbuatan menggantung air yang diisi didalam plastik boleh menghalau lalat? Adakah lalat takut dengan air? Jawapannya tidak. Lalat tidak takutkan air, namun air yang diisi dalam plastik lutsinar tadi akan menyebabkan mata lalat silau. Lalat tidak sukakan cahaya yang terang, maka itulah sebabnya petua ini berkesan.

2. Gantung cd atau dvd lama yang rosak dan tidak dipakai lagi

Sama seperti petua yang pertama tadi, cd atau dvd yang digantung akan menghasilkan pantulan yang menyilaukan mata lalat. Untuk mengelakkan mata daripada menjadi silau, lalat tidak akan mendekati kawasan yang berhampiran dengan cd yang digantung. Oleh itu, bolehlah anda amalkan petua halau lalat yang ini.

3. Lilin

Lilin juga boleh digunakan untuk menghalau lalat memandangkan lalat tidak sukakan haba panas yang keluar dari api lilin dan wax yang terbakar. Itulah sebabnya kenapa kita selalu melihat para peniaga makanan membakar lilin dan meletakkan lilin tersebut di antara tray makanan. Hasilnya? Lalat tidak berani mendekati makanan yang dihidang.

4. Limau nipis dan bunga lawang

Petua halau lalat yang seterusnya ialah dengan menggunakan limau nipis dan bunga lawang. Mungkin anda biasa melihat cara ini digunakan untuk menghalau nyamuk. Yang sebenarnya ia juga berkesan untuk menghalau lalat. Caranya:

  • Ambil sebiji limau nipis, belah kepada dua bahagian.
  • Cucukkan bunga cengkih pada limau nipis tadi.
  • Letakkan di atas meja yang selalu dikerumuni oleh lalat.

5. Cuka

Sumber: Keluarga

Cuka yang bersifat berasid dan mempunyai bau yang masam adalah di antara bahan masakan di dapur yang dibenci oleh lalat. Baunya yang kuat akan menyebabkan lalat tidak mendekati dapur anda. Caranya mudah sahaja, anda boleh pilih di antara dua cara tersebut:

  • Cara pertama ialah dengan mengisikan cuka dalam satu bekas kecil dan diletakkan di atas meja.
  • Campurkan cuka dengan sedikit air. Masukkan dalam botol spray dan sembur permukaan meja yang selalu dihinggapi lalat.

6. Serai

Bau serai yang harum pada deria bau manusia mungkin berbau busuk pada deria bau lalat sehingga menyebabkan mereka cukup tidak suka dengan bau ini. Jika anda inginkan petua berkesan untuk menghalau lalat secara semulajadi, ini adalah petua yang anda wajib cuba. Terdapat dua cara halau lalat menggunakan serai iaitu:

  • Hiris halus sebatang serai, masukkan ke dalam satu piring dan kemudian letakkan piring tadi diatas meja. Aroma yang keluar dari hirisan serai tadi akan menghalau lalat dari dapur anda.
  • Hiris serai dengan halus, kisar bersama sedikit air kosong sehingga hancur. Tapis air kisaran tadi dan masukkan ke dalam botol spray. Sembur meja dan permukaan yang selalu disinggahi lalat.

7. Kulit kayu manis

Petua halau lalat yang seterusnya ialah dengan menggunakan kulit kayu manis. Kulit kayu manis mempunyai haruman kuat yang tidak disukai oleh lalat. Untuk menghalau lalat, anda boleh pilih sama ada mahu meletakkan kulit kayu manis di atas meja atau boleh juga jika ia dikisar kering sehingga halus dan taburkan serbuk kayu manis tadi di atas meja.

8. Bawang putih dan serbuk cili

Petua halau lalat yang ini adalah sangat mudah untuk dilakukan. Ambil sebiji bawang putih, buang kulitnya. Masukkan bawang putih tadi bersama secubit serbuk cili ke dalam sehelai kain kecil. Dan ikat menjadi seperti sup bunjut. Gantung di kawasan yang selalu didatangi lalat. Aromanya akan bertebaran di sekitar kawasan tersebut.

9. Bunga lawang

Mungkin tak ramai yang tahu bahawa bunga lawang adalah ejen penghalau lalat yang sangat berkesan. Jika dapur anda selalu didatangi lalat, ambil sahaja beberapa biji bunga lawang dan letakkan di atas meja. Biarkan sahaja di situ, dan aromanya akan menghalau lalat daripada datang ke dapur anda lagi.

10. Hirisan cili

Sumber: Valoobuy

Petua halau lalat yang terakhir ialah dengan menggunakan hirisan cili. Ambil sahaja cili besar, dan hiris ia sebelum dimasukkan ke dalam bekas. Biarkan hirisan tadi berada di atas meja. Jangan dibuang bijinya kerana biji akan mengeluarkan aroma pedas yang akan menghalau lalat.

Selain 10 petua ini, anda juga boleh mengamalkan tips kebersihan berikut untuk mengelakkan dapur atau kedai makan anda didatangi lalat iaitu:

  • Ikat sampah, jangan dibiarkan terbuka.
  • Pastikan tong sampah sentiasa tertutup.
  • Cuci tong sampah selalu, jangan dibiarkan dalam keadaan kotor.
  • Sentiasa tutup makanan, jangan dibiarkan terbuka.

Itulah dia info  tentang petua halau lalat yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan perkongsian ini anda juga dijemput untuk membaca artikel kami tentang petua halau lipas cara halau tikus dan petua tanam pokok pandan.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.