Pengalaman mengandung anak pertama pastinya akan sentiasa menjadi memori yang paling indah dalam hidup seorang wanita. Bayangkan dalam hidup anda, ini adalah pertama kali buat banyak perkara.
Pertama kali tahu ada seorang insan sedang membesar dalam rahim anda, pertama kali merasai pengalaman mengandung, pertama kali merasa morning sickness, dan yang paling manis pertama kali anda akan berasa bayi bergerak dalam rahim anda.
Jika anda baru disahkan mengandung dan sekarang berasa berdebar-debar, risau, takut, gundah gulana dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan, jom kami bantu anda. Mungkin sedikit coretan tentang pengalaman mengandung anak pertama yang akan kami kongsikan sebentar lagi dapat membantu anda.
Tanda-tanda mengandung
Pastinya anda nak tahu macam mana kami sedar yang kami sedang mengandung. Apakah tanda-tanda dan simptom yang kami alami sebaik sahaja ada janin yang menghuni rahim kami. Yang sebernarnya Allah mencipta tubuh badan wanita dengan sangat unik di mana tubuh badan kita akan mengeluarkan signal untuk memberitahu bahawa kita sedang mengandung. Di antara tanda-tandanya ialah:
Haid lebih lewat daripada biasa
Kepenatan yang lain dari biasa
Payudara menjadi sensitif, sakit apabila disentuh
Payudara terasa besar dan berat daripada biasa
Aerola iaitu bahagian hitam keliling puting membesar dan warnaya semakin gelap
Berasa mual dan loya terutamanya pada waktu pagi
Sensitif kepada bau, termasuk bau makanan, minyak wangi, malah bau suami anda sendiri
Teringin nak makan makanan
Hilang selera
Kerap buang air kecil
Emosi tidak stabil atau mood swing
Sakit pinggang
Sakit dan lenguh-lenguh badan
Kaki kejang atau simpul biawak terutamnya apabila bangun pagi
Senak atau tak selesa pada perut
Pening atau sakit kepala
Kulit muka mula berminyak atau berjerawat
Perubahan warna pada faraj, ia akan mula kelihatan gelap
Apa yang perlu dilakukan apabila mengandung?
Pertama sekali, kami ucapkan tahniah kerana anda sudah mengandung dan bakal menimang cahayamata lambang cinta anda berdua. Mengikut pengalaman mengandung anak pertama kami dahulu, berikut adalah apa yang perlu anda lakukan sebaik sahaja mengetahui bahawa anda mengandung:
Buka buku pink. Segera pergi ke klinik untuk membuat buku mengandung. Anda juga akan mula mendapat tarikh temu janji untuk pemeriksaan setiap bulan. Adalah sangat penting untuk anda datang untuk pemeriksaan setiap bulan bagi memastikan bayi anda berada dalam keadaan baik.
Makan vitamin prenatal yang dibekalkan oleh klinik agar bayi dalam kandungan mendapat nutrien penting yang diperlukan untuk membesar dan berkembang.
Makan makanan yang berkhasiat dan mengelakkan makanan yang tajam.
Banyakkan berehat.
Amalkan gaya hidup sihat dan aktif.
Apakah persediaan untuk bersalin yang paling penting untuk anak pertama?
Semasa mengandung anak pertama pastinya anda akan berasa sangat teruja terutamanya semasa membeli persiapan bersalin, berpantang, dan barangan bayi. Namun ketahuilah bahawa yang sebenarnya anda tak perlu membazirkan duit untuk membeli kesemua barang ibu dan bayi yang ada di pasaran. Anda boleh berjimat dengan membeli barang yang betul-betul perlu sahaja.
Berdasarkan pengalaman mengandung anak pertama kami dahulu, berikut adalah di antara barang yang wajib anda beli bagi memudahkan perjalanan urusan harian anda semasa berpantang nanti. Di antaranya ialah:
Set berpantang agar badan anda kembali cergas dan bertenaga dalam tempoh yang cepat. Terdapat pelbagai set berpantang di pasaran. Ada yang tradisional lengkap dengan mandian herba, param, pilis, dan sebagainya. Ada juga set berpantang moden yang terdiri daripada vitamin sahaja. Terpulang kepada anda untuk membuat pilihan yang terbaik.
Bengkung adalah sangat penting agar dapat menampung perut anda sepanjang tempoh berpantang. Ia membantu mengecutkan rahim dengan capat dan dalam masa yang sama membantu tubuh anda kembali langsing. Anda boleh memilih bengkung tradisional yang memerlukan sedikit masa untuk dipakai atau bengkung moden yang mudah. Malah ada juga bengkung untuk ibu bersalin melalui pembedahan.
Batu tungku adalah satu lagi benda wajib ada. Bertungku akan membantu darah kotor habis dengan cepat, menghilangkan sakit badan, menyegarkan badan, malah membantu anda kurus dengan cepat.
Baby cot atau katil bayi, ianya mungkin keperluan dan mungkin juga tidak. Jika anda tidur atas katil saiz king atau bilik tidur anda agak sempit, baby cot bukanlah satu keperluan. Berbincang dengan suami.
Barangan bayi seperti baju, seluar, barut, bedung, alatan mandi dan sebagainya tak perlu dibeli dengan banyak kerana kebiasaannya ramai akan menghadiahkan kepada anda. Malah bayi anda akan membesar dengan sangat cepat. Banyak baju dan seluar akan cepat mengecil.
Apakah tanda nak bersalin?
Sebagai ibu yang pertama kali mengandung, pastinya anda tak tahu apakah tanda nak bersalin. Di antara tanda nak bersalin yang biasanya akan dirasai oleh ibu ialah:
Bayi turun ke bawah
Semakin kerap ke tandas
Mula mengalami Braxton Hicks
Berat badan menurun
Keluar lendir
Keluar darah
Pecah air ketuban
Apabila air ketuban anda pecah, atau anda mula berasa sakit, ia adalah petanda anda dah nak bersalin. Bolehlah anda bersiap-siap untuk ke hospital dan bersedia dengan beg hospital.
Apabila kita menyebarkan kebaikkan walaupun satu ayat, kelak kebaikkan juga yang akan datang kepada kita. Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah satu usaha untuk menyebarkan kebaikkan. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.