Tahukah anda bahawa demam campak dan cacar air ialah dua penyakit yang berbeza? Ramai yang beranggapan kedua-dua penyakit ini sama. Jadi, secara mudahnya mereka memanggilnya chicken pox.

Sebenarnya chicken pox ataupun cacar air disebabkan oleh virus varicella-zoster. Menurut Prof. Dr. Imelda Balchin dalam laman Facebook miliknya, demam campak pula dipanggil rubeola. Ia disebabkan oleh virus measles.

Kebanyakan pesakit yang dijangkiti chicken pox ialah kanak-kanak yang berumur kurang daripada 10 tahun. Perkara ini menyebabkan ibu bapa terpaksa mengambil cuti bekerja demi menjaga anak-anak yang sakit di rumah.

Dalam artikel ini, perbincangan akan difokuskan kepada chicken pox dari segi gejala, pantang larang dan cara rawatan. Jadi, ibu bapa bolehlah mengambil langkah yang sewajarnya jika anak-anak dijangkiti penyakit ini.

Teruskan pembacaan anda.

Bagaimana Chicken Pox Boleh Berjangkit?

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), chicken pox ialah jangkitan biasa yang mudah berlaku pada kanak-kanak. Varicella juga dikatakan virus yang sama menyebabkan kayap.

Chicken pox ialah penyakit berjangkit yang mudah merebak daripada seseorang kepada seseorang. Terdapat 3 cara bagaimana chicken pox merebak, iaitu:

a)Udara – Apabila pesakit batuk atau bersin.

b)Sentuh – Apabila menyentuh cecair lepuhan (blister) pesakit.

c)Nafas – Apabila tersedut partikel virus yang terdapat pada cecair lepuhan.

Apabila terdedah dengan pesakit chicken pox, anak anda berisiko mendapat jangkitan 10 hingga 21 hari. Ia boleh merebak sepantas 1 hingga 2 hari. Ruam lepuhan akan kelihatan sehingga ia kering dengan sendirinya.

Jika chicken pox sudah kering, ia bermakna pesakit telah sembuh. Ini tidak akan menyebabkan jangkitan kepada orang lain.

Gejala-Gejala Chicken Pox

Jika sedang musim jangkitan chicken pox, ibu bapa boleh mengambil langkah awal dengan memerhatikan simptom-simptomnya. Antaranya:

a)5 hari sebelum keluarnya ruam, anak-anak akan demam, rasa tidak sihat dan letih.

b)Ruam seperti jerawat dan berbintik merah yang kecil dan gatal akan timbul. Biasanya ruam akan bermula di bahagian dada dan belakang badan, kemudian merebak ke muka, mulut, kepala, tangan dan kaki.

c)Dalam masa 24 jam, ruam akan bertukar menjadi lepuhan atau gelembung air (blister). Kemudian, lepuhan itu akan pecah, kering dan menjadi keruping dalam masa 4 hingga 5 hari.

d)Ruam baru akan timbul lagi untuk 5 hari dan mengambil masa 2 minggu untuk hilang sepenuhnya.

Fakta Dan Mitos Pantang Larang Ketika Kena Chicken Pox

Oleh kerana penyakit chicken pox mudah berjangkit, ibu bapa perlulah ambil tahu beberapa perkara untuk mengelakkan jangkitan menjadi lebih teruk.

Namun, sejak zaman-berzaman kita dimomokkan oleh beberapa pantang larang chicken pox yang tiada kesahihan saintifik. Ada yang betul, ada pula yang tidak logik. Nak tahu apa pantang larang tu? Jom baca!

1. Tidak boleh bercampur-gaul

Jika anak-anak sudah bersekolah, pastikan mereka telah mengambil cuti sakit. Malahan, asingkan juga mereka dengan anak-anak yang belum kena chicken pox. Pastikan ruam-ruam di badan tidak sakit dan tiada komplikasi lain.

Fakta: Sememangnya pesakit chicken pox perlu diasingkan agar mereka tidak menyebarkan penyakit kepada orang lain.

2.Tidak boleh mandi

Orang-orang dahulu berpegang pada pantang agar pesakit chicken pox tidak boleh mandi. Selagi ruam tidak kering, selagi itulah mereka perlu mengelakkan kulit terkena air.

Mitos: Alasannya ialah luka lambat sembuh dan lebih banyak ruam yang akan timbul.

Fakta: Mereka perlu mandi seperti biasa untuk mengurangkan rasa gatal. Malahan apabila tubuh badan menjadi bersih, ia dapat mengelakkan jangkitan bakteria sekunder pada ruam yang digaru.

3.Kena pantang makan

Pelbagai mitos yang kita dengar dari dulu misalnya jangan diberikan makanan laut, kicap, buah-buahan sitrus dan sebagainya.

Mitos: Sebenarnya, tiada sebarang kajian saintifik untuk menyokong pantang larang ini. Namun, sekiranya anak-anak yang dijangkiti chicken pox mempunyai alahan pada makanan tertentu, elakkan penyediaannya.
Fakta: Berikan sahaja anak-anak yang dijangkiti chicken pox makanan yang berkhasiat iaitu kaya dengan karbohidrat, protein, vitamin, zat besi, serat dan sebagainya.

Makanan-makanan yang berkhasiat ini dapat mempercepat proses penyembuhan. Elakkan juga memberi mereka makanan ringan, berminyak dan manis.

4.Tidak boleh terkena hujan

Seperti juga jika mandi, apabila terkena hujan pesakit terpaksa menanggung akibat. Sebaik-baiknya, kuarantin anak di rumah sahaja. Jangan biarkan mereka di luar rumah untuk mengelakkan jangkitan merebak.

Mitos: Apabila terkena hujan, kesan parut akan meninggalkan lekuk yang kekal. Ada pula yang mengatakan bahawa air hujan boleh menyebabkan kanak-kanak meroyan.

Fakta: Apabila sedang sakit, imun badan menjadi lemah. Apabila hujan, suhu sekitar menjadi rendah dan menyebabkan suhu badan cuba kekal normal. Secara tidak langsung, kanak-kanak mudah mendapat jangkitan selsema dan demam.

Bayangkan sedang menderita gatal-gatal badan disebabkan kena chicken pox, masalah lain pula yang datang.

5.Jangan garu ruam dan keruping chicken pox

Bila badan dah mula gatal, mesti kita tak mampu menahan tangan dari menggaru bukan? Apa yang perlu dibuat?

Fakta: Chicken pox akan menyebabkan ruam-ruam di bahagian badan menjadi gatal. Nasihatkan anak-anak supaya tidak menggarunya. Ini kerana cecair lepuhan akan menyebabkan jangkitan merebak di bahagian yang lain pula.

Malahan, jika menggaru dengan kuat sehingga berdarah dan keruping terkopek, ia akan meninggalkan kesan parut yang sukar dihilangkan. Ibu bapa boleh membeli ubat berbentuk krim atau sabun anti kegatalan di farmasi misalnya Pinetarsol.

6.Air kelapa cepat keluarkan ruam chicken pox

Pastinya kita cukup tahu, bila terkena chicken pox pasti air kelapa yang dicari dulu. Air kelapa dianggap ubat mujarab untuk proses penyembuhan secara tradisional.

Mitos: Minum air kelapa akan menyebabkan semua ruam chicken pox keluar dengan cepat. Oleh itu, proses penyembuhan juga jadi lebih cepat. Malahan, air kelapa akan menyejukkan badan. Namun, tiada sebarang kajian untuk menyokong teori ini.

Fakta: Boleh saja berikan air kelapa untuk menggantikan air suam. Yang paling penting, pastikan anak-anak minum air secukup untuk mengelakkan dehidrasi.

Diharapkan artikel ini memberi sedikit panduan dalam menjaga anak-anak yang menghidap chicken pox. Bukan semua amalan orang-orang tua dahulu tidak betul, ada juga yang masih boleh diamalkan.

Yang paling penting, jaga pemakanan pesakit, kuarantin mereka agar tidak merebak dan jaga kebersihan diri. Boleh juga dapatkan rawatan di klinik atau hospital untuk mengurangkan kesakitan dan kegatalan.

Jangan lupa kongsikan artikel ini pada saudara-mara dan sahabat handai. Moga bermanfaat.

*Jemput juga baca tentang bayi demam campak dan punca demam denggi

Rujukan

  • http://www.myhealth.gov.my/cacar-air/ (link)
  • https://www.facebook.com/search/top/?q=chicken%20pox%20imelda%20balchin (link)

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.