nutrisi ketika hamil

Tempoh kehamilan adalah merupakan saat yang paling indah bagi setiap kaum wanita. Namun begitu, sepanjang tempoh tersebut, badan anda akan mengalami banyak perubahan hormon, fisiologi dan dan fizikal.

Sekiranya anda menjaga tubuh anda dengan baik, anda bukan sahaja menjaga tahap kesihatan anda, tetapi juga tahap kesihatan bayi. Oleh itu, sangat penting untuk anda menekankan pemakanan yang sihat bagi membolehkan anda mempunyai tempoh kehamilan yang sihat dengan mengikuti beberapa garis panduan makanan yang mudah.

Kenaikan Berat Badan yang Sihat

Ramai wanita yang begitu bimbang akan kenaikan berat badan mereka semasa hamil. Ada wanita yang takut berat badan mereka naik secara mendadak, akibat risau tidak mampu mendapatkan berat badan asal mereka selepas hamil nanti.

Untuk pengetahuan, berat badan ibu yang hamil akan meningkat lebih dari sekadar berat bayi dalam kandungan. Bagi membolehkan bayi yang dilahirkan sihat, badan anda memerlukan air yang banyak, darah dan cecair amnion (amniotic fluid).

Semasa tempoh kehamilan, berat badan anda akan meningkat sebanyak 15 hingga 20 pound berat air sahaja. Untuk kepastian, berbincanglah dengan doktor berkenaan berat yang ideal yang harus ditingkatkan semasa mengandung.

Gambarajah dibawah menyediakan beberapa saranan umum.

Peningkatan Berat Badan Saranan Semasa Kehamilan
Sekiranya berat badan normal anda adalah: Dan BMI (body mass index) anda adalah: Berat anda sepatutnya meningkat sebanyak:
Kurang berat badan < 19.8 28 to 40 pound
Berat badan normal 19.8 to 26.0 25 to 35 pound
Lebih berat badan 26.0 to 29.0 15 to 25 pound
Obese >29.0 0 to 15 pound

Nutrisi Yang Diperlukan Tubuh Badan Anda

Semasa kehamilan, semestinya badan anda memerlukan nutrisi yang lebih banyak berbanding sebelum hamil. Walaupun frasa “makan untuk dua orang” yang sering dijadikan ayat seloroh ibu-ibu hamil tidak 100% benar, tetapi tidak dinafikan, tubuh anda memerlukan lebih banyak makro-nutrisi (seperti kalori, protein, dan cecair) dan mikro-nutrisi (seperti kalsium, folat dan zat besi).

Nutrisi Keperluan Harian Tambahan Bagi Wanita Hamil
Kalori 300 (dalam trimester kedua dan ketiga)
Protein 60 mg
Kalsium 1200 mg
Folat (asid folic) 15 mg
Zat Besi (iron) 30 mg

Setiap kumpulan makanan mampu memberi kebaikan tertentu pada anda. Sebagai contoh, bijirin adalah bagus sebagai sumber tenaga pada badan. Buahan dan sayuran pula kaya dengan vitamin, fiber dan bahan anti-oksidan.

Kumpulan makanan yang mengandungi daging merah, daging putih, ikan, ayam, tauhu dan kekacang pula menawarkan badan anda protein, vitamin B, folat dan zat besi. Tidak ketinggalan, bahan tenusu kaya dengan vitamin D dan kalsium.

Kesemua kumpulan makanan ini sangat diperlukan oleh wanita hamil yang sihat. Oleh itu, penting sekiranya anda menekankan pengambilan semua kumpulan makanan tersebut dengan seimbang. Jangan lupa, minum air 8 hingga 10 gelas setiap hari!

nutrisi ketika hamil

Badan anda tidak akan dapat berfungsi dengan baik sekiranya anda kekurangan nutrisi dari mana-mana kumpulan makanan tersebut. Oleh itu, anda perlu ingat. PELBAGAIKAN PENGAMBILAN MAKANAN ANDA. Jangan disebabkan makanan kegemaran anda adalah ikan semata-mata, anda mengabaikan pengambilan makanan lain seperti susu atau sayuran.

Seelok-eloknya, pilih makanan yang berkhasiat dan rendah lemak seperti bijirin, buah-buahan dan sayuran berbanding makanan ringan, donut dan minuman bergas. Anda tidaklah perlu sehingga mengabaikan terus makanan kegemaran anda. Anda hanya perlu seimbangkannya dengan makanan yang berkhasiat.

Dengan pengambilan makanan berkhasiat yang optimum, anda dapat memastikan badan anda memperoleh vitamin dan zat yang mencukupi sepanjang tempoh kehamilan anda. Bayi sihat, anda pun gembira. Betul tak?

Jadual berikut menunjukkan sumber makanan yang kaya dengan vitamin dan zat tertentu.

Sumber protein (3 hidangan sehari) Sumber kalsium* (4 hidangan sehari)
  • Daging tanpa lemak
  • Ikan
  • Kekacang
  • Ayam
  • Telur
  • Produk soya
  • Mentega kacang
  • Susu
  • Yogurt
  • Ais krim
  • Cheese
  • Puding

*Lebih baik sekiranya mengambil versi tanpa lemak atau rendah lemak

Sumber Folat Sumber zat besi
  • Hati
  • Sayuran berdaun hijau tua
  • Kekacang
  • Buah citrus (seperti lemon, lime, oren)
  • Roti atau bijirin
  • Telur
  • Daging merah atau daging putih tanpa lemak
  • Kekacang dan lentil
  • Roti dan bijirin
  • Kacang dan mentega kacang
  • Telur
  • Sayuran berdaun hijau tua
  • Buahan kering

Adakah Saya Harus Mengurangkan Pengambilan Garam Dalam Diet Saya?

Tidak semestinya semua wanita wajib mengurangkan pengambilan garam atau sodium semasa hamil. Secara umumnya, sekiranya wanita itu mengurangkan pengambilan makanan yang masin (seperti keropok, ikan masin, jeruk atau makanan frozen), ia adalah lebih baik untuk kesihatan. Walau apa pun, berbincanglah dengan doktor untuk mendapatkan nasihat yang lebih baik dan terperinci berkenaan diet khas yang sepatutnya anda amalkan.

Bagaimana Sekiranya Saya Mengidam Makan Benda Bukan Makanan?

Pernah terdengar ada wanita mengandung yang mengidam makan kaca, atau besi? Kedengaran aneh tetapi tidak mustahil berlaku. Semasa hamil, ada juga wanita yang mengidam untuk memakan ais, tembikar, lumpur, abu rokok atau kanji. Keadaan ini dikenali sebagai pica.

Apabila wanita mengalami pica semasa hamil, ia mungkin berpunca dari kurangnya vitamin atau mineral tertentu. Sekiranya ada kenalan, atau anda sendiri mengalami masalah seperti ini, segeralah berjumpa doktor dan berkongsi masalah anda. Benda bukan makanan akan membahayakan diri sendiri dan juga bayi dalam kandungan.

Semoga bermanfaat. Wassalam :)

Kredit gambar: Nadia Martinez, Anastasiya Ahmetova

Penulis: Ummu Hatim

Ummu Hatim adalah salah seorang penulis tetap di Bidadari.My. Penulisannya banyak mengenai keibubapaan dan tips kesihatan. Menulis untuk mendidik diri sendiri disamping berkongsi ilmu pembacaan yang ada.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.