Ayuh ketahui nama-nama syurga dan tingkatannya.

Syurga adalah nikmat Allah S.W.T yang sangat istimewa yang disediakan untuk para hamba-Nya yang taat beribadah kepada Allah di dunia, manakala neraka adalah balasan untuk golongan yang sebaliknya. Allah menegaskan dengan jelas tentang kewujudan syurga serta kenikmatan yang menanti para penghuninya kelak. Dan sebagai umat Islam kita wajib mempercayai serta memburu syurga sebagai matlamat kehidupan di dunia.

Melalui hadis Qudsi, Allah S.W.T, berfirman:

“Aku telah sediakan buat hamba-hamba-Ku yang soleh syurga yang tidak ada mata pernah melihatnya, tidak ada telinga yang pernah mendengarnya dan tidak terlintas dalam jantung hati manusia.”

(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Betapa hebatnya gambaran syurga sehinggakan tidak terbayang dan tergambar di fikiran lantaran tidak akan pernah menemukan sesuatu di dunia ini yang sama seperti difirmankan Allah S.W.T. Maka, setiap manusia sangat berharap dan mendambakan agar dapat menjadi penghuni syurga nanti.

Dengan itu sebaik-sebaiknya setiap umat Islam sedia mengetahui akan nama-nama syurga serta tingkatannya. Terdapat tujuh syurga yang akan Allah ganjarkan kepada umat-Nya yang bertaqwa. MAri kita lihat nama syurga dan penghuninya.

Syurga Firdaus

Syurga ini merupakan syurga tertinggi dan dicipta daripada emas merah. Sungai-sungai syurga mengalir dari sini. Sesiapa yang beriman akan menghuni syurga ini selama-lamanya. Dalam surah al-Mukminun (1-11), Allah menyatakan dengan jelas mengenai syurga Firdaus;

“Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, (iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam solatnya, dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna, dan orang-orang yang menunaikan zakat, dan orang-orang yang menjaga kemaluannya, kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba yang mereka miliki; maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tidak tercela. Barang siapa yang mencari selain itu, maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas. Dan orang-orang yang memelihara amanah-amanah (yang dipikulnya) dan janjinya, dan orang-orang yang memelihara solatnya. Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi, (yakni) yang akan mewarisi syurga Firdaus. Mereka kekal di dalamnya.”

Penghuni syurga Firdaus adalah terdiri daripada golongan yang:

  • Orang yang khusyuk dalam solat
  • Orang yang menjaga lidah dan perbuatan daripada perkara sia-sia
  • Orang yang memelihara diri dari perbuatan zina
  • Orang yang menunaikan amanah yang diberi
  • Orang yang memelihara solatnya

Syurga ‘Adn

Syurga ‘Adn diciptakan oleh Allah S.W.T dari intan putih. Perkataan ‘Adn’ bermaksud tinggal atau menetap. Penghuni syurga ini adalah umat Islam yang;

  • Orang yang bertakwa kepada Allah  S.W.T (an Nahl: 30 – 31)
  • Orang yang beriman dan beramal soleh (Thaha: 75 – 76)
  • Muslim yang berbuat baik (Fathir: 32 – 33)
  • Muslim yang sabar, menginfakkan hartanya dan membalas kejahatan dengan kebaikan (ar-Rad: 22 – 23)

Syurga Na’im

Syurga Na’im bermaksud syurga yang penuh dengan kenikmatan. Kenikmatan yang diberikan iaitu nikmat zahir dan batin. Diciptakan oleh Allah S.W.T dari perak putih. Menurut al-Quran, antara bakal penghuni syurga ini ialah:

  • Orang yang bertakwa

“Sesungguhnya bagi orang-orang yang bertakwa (disediakan) syurga-syurga yang penuh kenikmatan di sisi Tuhannya.”

(al-Qalam: 34)

  • Orang beriman dan beramal soleh

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, bagi mereka syurga-syurga yang penuh kenikmatan.”

(Luqman: 8)

“Kekuasaan di hari itu ada pada Allah, Dia memberi keputusan di antara mereka. Maka orang-orang yang beriman dan beramal soleh adalah di dalam syurga yang penuh kenikmatan.”

(al-Hajj: 56)

Syurga Ma’wa

Syurga Ma’wa dicipta oleh Allah dari zamrud hijau.  Firman Allah S.W.T:

“Yang di sisinya terletak syurga al-Ma’wa.”

(al-Najm: 15)

Ciri-ciri penghuni Syurga Ma’wa:

  • Orang-orang yang benar-benar beriman dan beramal soleh.

Bagi orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, maka bagi mereka syurga-Syurga tempat kediaman, sebagai pahala terhadap apa yang telah mereka kerjakan.”

 (as-Sajdah: 19)

  • Orang-orang yang takut pada kebesaran Allah S.W.T dan menahan diri dari hawa nafsu buruk.

“Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya. Maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggal (nya)”

(an-Nazi’at: 40-41)

Syurga Dar al-Salam

Syurga ini dicipta Allah dari yakut merah iaitu sejenis permata yang mahal.

Dar al-Salam merupakan salah satu dari 99 nama Allah. ‘Dar al-Salam’ bermaksud tempat yang penuh dengan kedamaian dan keselamatan, iaitu di rumah Allah.

 Allah S.W.T. berfirman:

“Bagi merekalah syurga Dar al-Salam (tempat tinggal yang aman sejahtera) di sisi Tuhan mereka, dan Dialah Penolong mereka, disebabkan amal-amal (yang baik) yang mereka telah kerjakan.”

(al-An’am: 127)

Ciri-ciri penghuni Syurga Dar al-Salam:

  • Orang yang kuat iman dan Islamnya
  • Orang yang memerhatikan ayat-ayat al-Quran dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian kerana Allah S.W.T.

Syurga Darul Muqamah

Syurga Darul Muqamah dicipta Allah S.W.T dari permata putih. Firman Allah:

“Dan mereka berkata:” Segala puji bagi Allah yang telah menghilangkan dukacita kami. Sesungguhnya Tuhan kami benar-benar Maha Pengampun. Yang menempatkan kami dalam tempat yang kekal (syurga) dari kurnia-Nya; di dalamnya kami tiada berasa lelah dan tiada pula berasa lesu.”

(Fathir: 34-35)

Para penghuni syurga ini merupakan mereka yang banyak melakukan kebaikan.

Syurga Dar al-Qarar

Syurga ini diciptakan Allah dari permata putih. Dinamakan Dar al-Qarar kerana penghuninya tidak mati dan tinggal buat selama-lamanya di dalamnya.  Firman Allah:

“Wahai kaumku! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (untuk sementara waktu sahaja), dan sesungguhnya hari akhirat itu sahaja negeri yang kekal.”

(al-Mu’min: 39)

Syurga al-Maqaamul

Syurga ini diciptakan oleh Allah S.W.T dari emas. Calon penghuninya merupakan orang yang sangat beriman (muttaqin), iaitu yang benar-benar bertakwa kepada Allah S.W.T.

“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa berada dalam tempat yang aman.”

(ad-Dukhan:51)

Penutup

Menjadi penghuni syurga merupakan doa dan impian setiap umat Islam. Namun untuk menjadi salah seorang ahli syurga bukanlah sesuatu yang mudah.  Dengan itu, setiap masa kita mestilah berusaha untuk meningkatkan iman dan amal serta menanam sedalamnya rasa takwa terhadap Allah S.W.T.  

Mudah-mudahan dengan amalan kita di dunia ini membuatkan kita dipilih oleh Allah sebagai salah seorang tetamunya di syurga kelak. Amin ya rabbal alamin.

Jika anda menyukai artikel nama syurga ini, pasti anda juga menyukai perkongsian kami yang lain tentang;

Rujukan

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.