Nabi Yusuf adalah anak ketujuh daripada dua belas anak Nabi Yaqub. Ibunya bernama Rahiel. Ibunya wafat saat Yusuf berusia dua belas tahun. Baginda dikurniakan Allah dengan rupa yang bagus, paras tampan dan tubuh yang tegap serta menjadi idaman setiap para wanita.
Nabi yusuf Alaihi salam juga merupakan salah satu dari Nabi Allah yang dituliskan kisahnya dalam Al Quran. Baginda adalah salah satu dari 25 nabi dan rasul yang wajib kita ketahui.
Sewaktu Nabi Yusuf masih kecil, dia bermimpi melihat sebelas bintang, matahari dan bulan bersujud di hadapannya. Dia begitu terkesan dengan mimpinya. Pada keesokan hari, Dia menceritakan mimpinya kepada ayahnya.
“Wahai ayahku, aku bermimpi melihat sebelas bintang, matahari, dan bulan. Aku melihat semuanya bersujud kepadaku.”
Mendengar perkara ini, Nabi Yaqub begitu gembira kerana dia tahu itu bukanlah mimpi biasa. Itu adalah sebuah tanda bahawa suatu hari nanti Nabi Yusuf akan menjadi seorang yang dimuliakan oleh Allah dan manusia.
Namun begitu, saudara Yusuf iri dan dengki. Mereka merasa bahawa Nabi Yusuf lebih disayangi daripada mereka. Selain Nabi Yusuf, Adik-mereka bernama Bunyamin turut dibenci kerana dianggap mendapatkan kasih sayang yang sama seperti Nabi Yusuf. Dalam sebuah pertemuan rahsia, saudara-saudaranya yang iri hati ada memberi cadangan supaya mencampakkan Nabi Yusuf ke dalam telaga.
Saudara-saudara Nabi Yusuf meminta izin untuk mengajak Nabi Yusuf bermain di tepi hutan. Pada awalnya, Nabi Yaqub ragu-ragu, tetapi setelah didesak oleh anak-anaknya, akhirnya Nabi Yaqub mengizinkan dengan memberi pesan kepada mereka agar berhati-hati dan menjaga adiknya dengan baik.
Setibanya di tempat tersebut, mereka menyuruh Nabi Yusuf segera menanggalkan pakaiannya. Tanpa membantah, Nabi Yusuf ikutkan sahaja kata-kata saudaranya lalu mereka mencampakkannya di dalam telaga itu tanpa menghiraukan jeritan tangisan Nabi Yusuf.
Setelah pulang ke rumah, mereka berpura-pura menangis dan memberitahu Nabi Yaqub bahawa Nabi Yusuf telah di makan oleh serigala. Dengar kata anak-anaknya tadi, membuatkan Nabi Yaqub menitiskan air mata.
Datanglah kelompok orang-orang musafir. Seorang di antaranya sedang mengambil air. la menurunkan timbanya dan merasakan timba itu berat. Mereka melihat seorang budak lalu menyelamatkannya dan menyembunyikannya sebagai barang dagangan.
Akhirnya, mereka sepakat untuk menjual Nabi Yusuf itu kepada salah seorang menteri di negeri Mesir yang bernama Qitfir Al Aziz. Mereka menjualnya dengan harga yang murah. Qitfir membeli Nabi Yusuf untuk membantu isterinya, Zulaikha dalam menguruskan rumah tangganya.
Nabi Yusuf bekerja dengan baik, cekap, dan jujur selama bertahun-tahun. Setelah Nabi Yusuf meningkat dewasa, dia sangat gagah dan tampan. Siapa sangka, Zulaikha menaruh harapan dan jatuh cinta kepada Nabi Yusuf kerana keperibadiannya dan ketangkasan Nabi Yusuf dalam bekerja.
Ketika suami Zulaikha, Qitfi pergi ke luar negeri, Zulaikha memanggil Nabi Yusuf ke biliknya. Dia cuba menggoda Nabi Yusuf tetapi Yusuf menolak dan berlari ke luar bilik. Zulaikha menarik baju Nabi Yusuf dari belakang. Ketika Nabi Yusuf membuka pintu bilik, tiba-tiba sahaja muncul Qitfir.
Zulaikha merasa cemas dan ketakutan. Untuk membela dirinya. Zulaikha menuduh Nabi Yusuf telah berbuat buruk kepadanya. Yusuf sangat terkejut mendengar tuduhan tersebut. Dia berusaha menjelaskan kepada Qitfir bahawa dia tidak bersalah. Mendengar pengakuan keduanya, Qitfir menjadi keliru hendak percaya pada siapa.
Oleh kerana itu, dia bertanya kepada saudara Zulaikha yang terkenal jujur dan bijak. Saudara Zulaikha berkata, “Jika baju yang dikenakan Nabi Yusuf koyak di bahagian depan, isterimu bercakap jujur. Namun, jika baju Nabi Yusuf koyak di bahagian belakang, Yusuflah yang bercakap jujur.”
Qitfir melihat ke arah Nabi Yusuf dan didapati bahawa baju Nabi Yusuf koyak di bahagian belakang. Itu bererti isterinya yang berbohong. Hal ini membuatnya sangat kecewa pada isterinya. Qitfir berpesan kepada Nabi Yusuf agar tidak diceritakan kepada sesiapa pun dan meminta isterinya memohon ampun atas dosanya.
Walaupun mereka berusahamerahsiakan peristiwa itu, akhirnya tersebar juga. Zulaikha kemudian menjemput wanita-wanita yang menyebarkan khabar angin tersebut datang ke rumahnya. Dia menyediakan tempat duduk untuk mereka lalu memberikan sebuah pisau untuk memotong buah-buahan.
Wanita-wanita itu melihat Nabi Yusuf. Mereka kagum kepada ketampanan Nabi Yusuf. Tanpa mereka sedari, mereka telah melukai jari tangan sendiri tanpa sedar. Mereka berkata, “Maha sempurna Allah, ini bukanlah manusia. Sesungguhnya, ini tidak lain lagi hanyalah seorang malaikat yang mulia.” P
Nabi Yusuf berdoa, “Wahai Tuhanku penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka kepadaku. Jika engkau tidak hindarkan segala tipu daya mereka ke atas diriku, aku takut aku tidak mampu menghindarinya lagi dari ajakan mereka sehingga aku termasuk orang-orang yang merugi.” Doa Yusuf dikabulkan oleh Allah.
Setelah peristiwa itu, hati Qitfir menjadi tidak tenang. la menyedari bahawa isterinya bersalah. Tetapi demi menjaga nama baiknya, dia memenjarakan Nabi Yusuf agar Nabi Yusuf diputuskan bersalah di pengadilan.
Yusuf bersabar dan berdoa kepada Allah agar diberikan kekuatan. Baginda diangkat menjadi nabi oleh Allah setelah menerima beberapa ujian serta diberikan mukjizat. Salah satunya adalah dapat menafsirkan mimpi.
Nabi Yusuf berdakwah kepada para penghuni penjara. Di antara mereka, terdapat dua orang pegawai istana raja Mesir yang dipenjarakan kerana tuduhan menentang raja. Mereka menceritakan mimpi yang dialami mereka.
Orang yang pertama berkata, “Sesungguhnya aku bermimpi memeras anggur.” Sementara itu, orang yang kedua berkata pula, “Sesungguhnya aku bermimpi membawa roti di atas kepala, kemudian muncul burung gagak dan mematuk roti-roti tersebut. Kami mohon kepadamu agar engkau mantafsirkan erti mimpi kami kerana kami yakin engkau adalah orang yang mampu melakukannya.”
Nabi Yusuf menjelaskan kepada orang pertama tadi, “Wahai Saudaraku, sesungguhnya engkau akan dibebaskan dan dapat bekerja kembali dengan raja”. Sementara kepada orang yang kedua pula, dia menjelaskan, “Dan engkau Saudaraku, sebelumnya aku mohon agar engkau tabah kerana mimpimu memberitahu kepadaku bahawa engkau akan menerima hukuman mati.”
Pada suatu hari, raja Mesir bermimpi aneh berulang-ulang kali. Dia mengumpulkan seluruh juru ramal istana. Akan tetapi, seluruh juru ramal tidak mampu mantafsirkan mimpi tersebut. Datang pegawai istana raja yang mengatakan bahawa mimpinya pernah ditafsirkan oleh Nabi Yusuf dengan tepat.
Raja tersebut ingin Nabi Yusuf menafsirkan mimpinya. Pengawal menceritakan mimpi raja kepadanya, “Hai Yusuf, sesungguhnya raja kami bermimpi tentang tujuh ekor lembu betina yang gemuk-gemuk yang dimakan oleh tujuh ekor lembu betina yang kurus-kurus dan tujuh bijian yang hijau dan tujuh lainnya yang kering.”
Nabi Yusuf berkata, “Sahabatku, tafsir mimpi memberitahukan bahawa negeri Mesir akan mengalami masa subur selama tujuh tahun, tetapi negeri Mesir akan mengalami kemarau panjang selama tujuh tahun pula. Nabi Yusut berkata lagi, “Simpanlah hasil gandum kalian di waktu musim subur sebagai bekal untuk bertahan di musim kemarau yang panjang.”
Setelah selesai berbicara, pegawai istana menyampaikan tafsir mimpi yang dijelaskan oleh Nabi Yusuf kepada Raja. Mendengar penjelasan itu, raja sangat senang. Sebagai balasannya, raja memerintahkan pengawalnya agar membebaskan Nabi Yusuf dari penjara.
Raja menawarkan kedudukan yang tinggi kepada Nabi Yusuf. Mendengar penawaran tersebut, Yusuf berkata, “Jika memang engkau percaya kepadaku, jadikanlah aku bendaharawan negara. Sesungguhnya, aku mampu menjaga juga berpengetahuan dalam hal tersebut.”
Sejak saat itu, raja mengumumkan Nabi Yusuf, iaitu sebagai bendaharawan negara. Raja memberikan kuasa kepadanya untuk menjalankan pemerintahan khususnya menangani krisis yang akan terjadi. Nabi Yusuf bekerja keras melaksanakan amanat raja.
Di bawah kepemimpinannya, Mesir menjadi negeri yang adil, makmur dan damai. Selain menjalankan pemerintahan, Yusuf juga giat berdakwah menyampaikan ajaran Allah sehingga pengikutnya bertambah dari hari ke hari.
Semua berlaku seperti ramalan Nabi Yusuf. Banyak rakyat kehabisan gandum. Saudara-saudara Yusuf yang dulu telah datang ke Kerajaan Mesir. Mereka cuba untuk meminta bantuan dan mendengar bahawa Kerajaan Mesir memiliki seorang yang mampu menghadapi krisis yang tengah terjadi.
Saudara-saudara Nabi Yusuf sampai di Mesir dan terus menuju ke kerajaan tersebut. Nabi Yusuf mengenali mereka tetapi, saudara – saudaranya tidak mengenalinya.
Nabi Yusuf memberikan gandum kepada mereka dan berpesan bahawa mereka harus datang kembali membawa saudara bongsu mereka, iaitu Bunyamin.
Mereka merasa hairan bagaimana Nabi Yusuf mengetahui tentang Bunyamin. Namun, mereka tidak terlalu memikirkannya. Permasalahan mereka lebih besar dibanding dengan memikirkan keanehan tersebut.
Pada kemudian hari, mereka membawa Bunyamin dan diberikan tempat berehat yang selesa. Sementara itu, Yusuf mencari kesempatan untuk berbicara dengan Bunyamin kerana dia telah lama merindukannya. Yusuf mengundang Bunyamin untuk bertemu di ruangannya. Yusuf memberitahu dia adalah saudara Bunyamin yang dulu.
Sudah tiba masanya untuk saudara-saudara Yusuf pulang. Tanpa pengetahuan saudara-saudaranya, Nabi Yusuf memasukkan tempat minum milik kerajaan ke dalam beg milik Bunyamin. Ketika para pengawal kerajaan memeriksa di pintu keluar kerajaan, mereka menemukan tempat minum milik kerajaan dalam beg yang dibawa oleh Bunyamin.
Akhirnya Bunyamin ditangkap. Bunyamin tidak boleh pulang bersama saudara- saudaranya. Walaupun begitu, mereka masih memohon dengan berkata. “Wahai Tuan, sesungguhnya ia memiliki ayah yang sudah lanjut usia. Oleh kerana itu. ambillah salah seorang dari kami sebagai pengganti adik kami.”
Yusuf berkata, “Sesungguhnya kami menahan adikmu kerana dia terbukti telah mengambil barang milik kerajaan. Oleh sebab itu, kami tidak boleh membebaskannya. Jika kamu ingin adik kamu bebas, kembalilah kamu dan bawa ayah kamu ke sini untuk mengambil adikmu.” Akhirnya, mereka pulang tanpa membawa Bunyamin.
Sesampainya di Palestina, mereka menyampaikan berita tentang penahanan Bunyamin dan permintaan untuk membawa Nabi Yaqub ke Mesir. Mendengar berita tersebut, Nabi Yaqub menjadi sangat sedih sehingga dia jatuh sakit dan kedua matanya menjadi buta.
“Wahai Tuan, kami dan keluarga kami telah ditimpa kesengsaraan dan kami datang membawa barang-barang yang tidak berharga. Ayah kami sentiasa bersedih kerana telah kehilangan dua orang yang sangat dicintainya. Setiap hari, beliau menangis sehingga matanya menjadi buta. Sekarang kami kekurangan makanan. Oleh kerana itu, kami memohon kepada Tuan untuk memberikan gandum kepada kami.”
Mendengar berita tersebut, Nabi Yusuf sangat sedih dan hiba. Nabi Yusuf pun berkata: “Apakah kamu tahu kejahatan yang telah kamu semua telah lakukan terhadap Yusuf?” Saudara-saudara Yusuf merasa hairan dan terkejut mendengarnya dan berfikir bagaimana dia boleh mengetahui tentang perbuatan yang pernah mereka lakukan.
Sekali lagi Yusuf berkata, “Tahukah kamu semua, sesungguhnya akulah Yusuf yang pernah kamu semua lemparkan ke dalam telaga.” Mereka kemudian bertanya dengan ragu, “Apakah kamu benar- benar Yusuf?” Yusuf berkata, “Akulah Yusuf. Sesungguhnya Allah telah melimpahkan kurnian-Nya kepada aku. Sesungguhnya barang siapa yang bertakwa dan bersabar Allah tidak akan mensia-siakan pahala orang-orang yang berbuat baik.”
Pengakuan Nabi Yusuf benar-benar membuatkan mereka semua terkedu. Mereka semakin yakin bahawa orang yang ada di hadapannya adalah Nabi Yusuf setelah melihat bukti-bukti yang ada. Mereka pun kemudian mengakui kesalahan mereka dan memohon maaf kepada Nabi Yusuf.
Yusuf memaafkan mereka dengan penuh kasih sayang dan memberi makanan serta menitipkan bajunya untuk diusapkan ke mata ayahnya agar sembuh. Sesampainya di sana, mereka menceritakan berita tentang Nabi Yusuf dan memberikan baju titipan yusuf pada Nabi Yaqub.
Mendengar berita tersebut. Nabi Yaqub menjadi sangat gembira. Ketika baju Yusuf diusapkan ke matanya tiba-tiba sahaja matanya sembuh dari kebutaan. Kegembiraan yang dirasakan Nabi Yaqub begitu besar. Dia tidak sabar untuk bertemu dengan anaknya yang telah lama dirindukannya. Mereka semua pergi ke Mesir untuk bertemu Nabi Yusuf.
Ketika sampai sahaja di Mesir, mereka disambut oleh Nabi Yusuf. Nabi Yusuf menaikkan ayahnya di singgahsana sambil berkata, “Wahai Ayahku, inilah mimpiku yang dahulu itu. Sesungguhnya, Tuhanku telah menjadikannya suatu kenyataan. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mengetahui lagi Mahabijaksana.”
Tidak lama kemudian, terdengar berita bahawa Zulaikha masih mencintai Nabi Yusuf. Ketika suaminya telah meninggal, rasa cintanya kepada Nabi Yusuf semakin kuat. Meskipun usia Zulaikha semakin bertambah, pesona kecantikannya tetap memancar.
Dia telah bertaubat dan mengakui kesalahannya. Akhirnya, Allah SWT telah letakkan perasaan kasih Nabi Yusuf terhadap Zulaika dan Baginda tertarik kepada Zulaikha. Mereka menikah dan hidup bahagia.
Dari pernikahannya tersebut, keduanya dikurniakan dua orang anak bernama Ifratsim dan Minsya. Nabi Yusuf terus berdakwah hingga meninggal di usia 110 tahun dan dimakamkan di dekat sekitar makam Ibrahim.