Muntah susu di kalangan bayi bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh. Munta susu boleh menyebabkan bayi anda tersedak susu, tercekik, tidak bernafas, dan boleh membawa maut.

Sebagai ibu bapa yang prihatin, adalah sangat penting untuk anda mengetahui apakah sebab bayi muntah susu serta tips elak bayi muntah susu.

muntah susu
Sumber: Babycenter

Bayi tidak disendawakan selepas menyusu

Semasa bayi anda menyusu, akan ada angin yang masuk ke dalam mulut bayi anda bersama susu dan terus pergi ke sistem pencernaan bayi. Jika bayi anda menyusu dengan menggunakan botol susu, lebih banyak angin akan masuk ke dalam badan bayi anda berbanding bayi yang menyusu terus dari payudara ibunya.

Angin yang masuk ke dalam sistem pencernaan tadi akan kekal di sana jika bayi anda tidak disendawakan dengan baik setiap kali selepas menyusu. Angin tadi akan terperangkap dalam sistem pencernaan dan jika tidak dikeluarkan melalui sendawa atau kentut, lambat-laun angin ini akan keluar dari tubuh badan secara paksaan.

Angin tadi akan keluar melalui mulut bayi anda dengan kelajuan yang tinggi dan akibatnya, bayi anda akan mengalami muntah susu yang banyak. Jika kejadian muntah susu secara paksa ini terjadi semasa bayi anda sedang berbaring atau tidur, risiko untuk bayi anda tersedak susu adalah sangat tinggi.

Oleh itu, tips penting yang ingin kami kongsikan kepada anda ialah pastikan bayi anda disendawakan dengan baik dan sempurna setiap kali selepas bayi anda menyusu. Proses menyendawakan bayi akan memastikan angin yang terperangkap di dalam sistem pencernaan bayi anda berjaya dikeluarkan semula dan mengurangkan risiko bayi anda muntah susu.

Terlebih minum susu daripada yang sepatutnya

Punca bayi muntah susu yang seterusnya ialah disebabkan bayi anda terlebih minum susu daripada yang sepatutnya. Sebagai contoh, katakan setiap hari bayi anda akan minum susu dengan jumlah 3 auns sebanyak 5 kali, namun secara tiba-tiba anda atau pengasuh memberikan susu sebanyak 5 auns untuk setiap sesi, maka perut bayi anda akan terkejut dengan jumlah susu yang banyak lalu menolak keluar susu tadi lalu menyebabkan bayi anda muntah susu.

Oleh itu, elakkan daripada memberikan bayi anda terlalu banyak susu dalam setiap sesi. Cara yang terbaik ialah memberikan bayi anda dengan jumlah susu yang sedikit namun kerap. Dengan cara ini, risiko untuk bayi anda muntah susu akan berkurangan.

Alahan kepada susu lembu atau laktosa intolerans

Satu lagi punca bayi muntah susu yang ramai ibu bapa tak tahu ialah disebabkan oleh bayi anda mempunyai alahan kepada susu lembu atau istilah perubatannya laktosa intolerans. Apabila bayi anda mempunyai alahan kepada susu lembu, setiap kali susu lembu masuk ke dalam mulut bayi anda, sistem tubuh badan bayi anda akan memberikan reaksi negatif kepada protein yang ada dalam susu lembu.

Selain itu, alahan kepada susu lembu juga bermaksud sistem pencernaan dan sistem penghadaman bayi anda mempunyai masalah untuk memproses gula semulajadi yang ada dalam susu lembu. Apa yang anda perlu tahu ialah kebanyakan susu formula yang dijual di pasaran Malaysia mempunyai protein susu lembu. Oleh itu, kalau bayi anda muntah susu berterusan walau pun sudah berkali-kali anda menukar susu, kemungkinan besar bayi anda alah kepada susu lembu.

Simpom muntah susu disebabkan oleh alahan kepada susu kembu mungkin kelihatan sama dengan muntah susu disebabkan oleh refluks, namun ada satu perbezaan besar di antara kedua-dua keadaan ini. Jika bayi anda muntah susu disebabkan oleh refluks, bayi anda akan mengalami masalah muntah susu sahaja. Tiada masalah besar yang lain.

Namun, jika bayi anda muntah susu disebabkan oleh alahan kepada susu lembu, selain muntah susu bayi anda juga akan mengalami masalah yang berikut:

  • Ekzema sama ada teruk atau permulaan
  • Kekembungan
  • Cirit-birit yang berpanjangan
  • Jika bayi anda tidak mengalami cirit-birit, dia akan mengalami masalah sembelit
  • Kesukaran untuk naik berat badan

Jika anda mengesyaki bahawa bayi anda mengalami alahan kepada susu lembu, segera berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan pemeriksaan.

Asid refluks

Punca bayi muntah susu yang seterusnya ialah disebabkan oleh asid refluks. Ketahuilah bahawa berdasarkan pengalaman kami sendiri, sekiranya bayi anda disahkan mempunyai masalah asid refluks, bayi anda akan mengalami masalah muntah susu yang serius dan akan berkekalan sehingga bayi anda berumur 2 hingga 3 tahun. Apakah yang dimaksudkan dengan asid refluks?

Asid refluks atau refluks gastro-oesophageal adalah satu keadaan abnormal di mana injap otot pada hujung saluran makanan bayi anda sedang berkembang dan tidak berfungsi dengan baik seperti yang sepatutnya lalu mengakibatkan makanan dan asid perut dari perut bayi anda mengalir keluar semula apabila perut bayi anda penuh dengan susu.

Asid refluks akan menyebabkab bayi anda muntah susu dengan teruk walau pun anda sudah menyendawakan bayi anda berkali-kali setiap kali selepas menyusu. Malah susu yang dimuntahkan juga adalah dalam kuantiti yang banyak. Ia adalah keadaan yang anda tidak boleh kawal dan akan hilang sendiri apabila bayi anda membesar.

Sedikit tips dari kami, jika bayi anda disahkan mempunyai masalah asid refluks, sentiasa bersiap-sedia setiap kali bayi anda habis menyusu. Duduk di sisi bayi anda dan bersedia untuk bayi anda muntah. Mungkin ia kedengaran teruk, namun percayalah bahawa semakin bayi anda membesar, masalah muntah susu akan berkurangan secara sendiri.

muntah susu
Sumber: Bundoo

Itulah dia punca bayi muntah susu serta tips elakkan muntah susu yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat. Anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang cara hilangkan kembung bayi  dan resepi makanan bayi.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.