Pernah tak anda mengalami masalah tekak gatal sehingga tidak selesa dibuatnya. Bukan sahaja tekak gatal yang tidak selesa, diikuti pula batuk yang tidak berkahak. Tekak berasa gatal di bahagian kerongkong di mana-mana sahaja. Sekejap di tepi, sekejap di atas.
Pelbagai jenis ubat batuk, antibiotik, ubat radang tekak dan jenis lain telah diambil. Namun, masalah tetap tidak berkurangan. Setelah ubat habis dimakan, masalah tekak gatal muncul semula. Mengapa masalah ini berlaku?
Dalam artikel ini, penulis akan membincangkan masalah tekak gatal dari segi sebab dan petua yang boleh dicuba.
Terdapat beberapa sebab berlakunya masalah tekak gatal, antaranya ialah:
Bukan semua masalah gatal tekak berpunca daripada jangkitan bakteria di saluran tekak. Sebenarnya, jangkitan virus lebih kerap menyebabkan sakit tekak. Oleh itu, penggunaan ubat antibotik hanya berkesan ke atas jangkitan bakteria sahaja.
Jangkitan virus mengambil masa yang lebih lama untuk sembuh dengan sendirinya berbanding jangkitan bakteria. Oleh itu, pemeriksaan dan rawatan yang lebih lanjut perlu dibuat untuk meneliti sebab tekak gatal.
Selain rawatan moden melalui pemeriksaan doktor dan mengambil ubatan, anda juga boleh mencuba petua tradisional. Sebelum mencuba mana-mana petua ini, pastikan anda sudah mengetahui tentang sebab dan tahap masalah tekak gatal yang dialami.
Rawatan cara tradisional bukanlah bertujuan untuk menyembuhkan penyakit 100 peratus. Ia hanyalah untuk mengurangkan gejala dan jika bernasib baik, masalah ini dapat terus diatasi.
Khasiat madu dari aspek perubatan dan kesihatan telah lama diakui. Ia juga merupakan bahan yang baik untuk melegakan masalah tekak gatal dan batuk. Itulah sebabnya kebanyakan ubat-ubatan yang berkaitan tekak mempunyai kandungan madu di dalamnya.
Ada kajian yang membuktikan bahawa pengambilan madu lebih baik berbanding ubat batuk dextromethorphan. Cara pengambilannya ialah sesudu pada waktu dan malam. Kemudian, minum segelas air suam. Amalkan sehingga gejala tekak gatal berkurangan.
Selain batuk berkahak, orang yang mengalami masalah tekak gatal boleh mencuba rawatan wap air panas. Salah satu caranya ialah dengan mandi air panas dan bernafas di dalam bilik air menggunakan wap panas tersebut.
Cara lain ialah dengan bernafas menggunakan wap yang terhasil daripada air panas. Cara ini lebih mudah dan praktikal. Apa yang perlu anda buat ialah tuang air panas ke dalam sebuah bekas. Letakkan sedikit minyak angin jenama apa sahaja atau boleh juga letak essential oil.
Kemudian, tutup kepala menggunakan tuala yang panjang. Tujuannya supaya wap tersebut tidak keluar dan dapat disedut oleh pesakit. Teknik ini dapat melegakan juga masalah tekak gatal.
Kawasan mulut dan kerongkong yang tidak selesa dapat dibersihkan menggunakan garam. Anda tidak perlu menelan garam! Masukkan sedikit garam ke dalam cawan yang berisi air suam.
Kumuh beberapa kali sehingga air garam di dalam cawan hingga habis. Kemampuan garam melegakan masalah oral juga diakui. Ini kerana garam mampu menyingkirkan bakteria yang berkampung di dalam mulut.
Bawang putih mempunyai kandungan antibakteria yang mampu mengatasi masalah infeksi di dalam mulut. Justeru, bagi pesakit yang mengalami masalah tekak gatal boleh mencuba cara ini.
Caranya ialah tumbuk bawang putih dan boleh dimakan dengan nasi. Cara yang lain ialah bawang putih yang telah dikupas dimasukkan ke dalam mulut (tak perlu ditumbuk atau kunyah). Biarkan selama beberapa minit sehingga air liur anda terhasil. Telan air liur tersebut.
Kandungan antibakteria, vitamin C, bioflavonoids dan sebagainya di dalam sebiji lemon mampu mengatasi masalah tekak gatal. Ia juga memperkuat sistem imun kita untuk menghalang penyakit.
Cara yang boleh dilakukan ialah ambil sebiji lemon dan belah 2. Perah setengah lemon ke dalam gelas dan tambah air suam. Minum setiap pagi dan malam. Khasiat antibiotik dan antiseptik yang tinggi boleh mengatasi masalah anda itu.
Halia bukan sahaja mampu mengatasi masalah gatal tekak tetapi juga penyakit lain seperti batuk tibi dan batuk (akibat asma). Ini disebabkan ia mempunyai khasiat untuk meredakan keradangan. Kandungan di dalamnya dapat merehatkan sel membran pada saluran pernafasan.
Anda boleh makan secara mentah bersama-sama menu harian. Anda juga boleh menumbuk sedikit halia dan tapis jusnya. Boleh dicampurkan dengan madu.
Namun begitu, sama seperti bawang putih, halia mempunyai sifat ‘panas.’ Gunakan secara bersederhana kerana akan menimbulkan ketidakselesaan perut, pedih dan sebagainya.
Selain rasanya yang enak, buah nanas terkenal sebagai medium untuk melegakan masalah tekak gatal. Dalam jurnal Der Pharma Chemica (2010), kajian membuktikan nanas berupaya merawat batuk tibi, bronkitis, selsema dan masalah batuk.
Caranya ialah anda boleh menjadikan jus nanas sebagai minuman atau makan begitu sahaja. Anda juga boleh mencampurkannya dengan madu atau lemon.
Apabila tekak mula meragam, ambil segenggam asam jawa dan bilas. Kemudian, campurkan secawan air suam. Ramas isi asam jawa untuk asingkan isi dan bijinya. Kemudian, tapis jus yang pekat ini.
Anda boleh minum jus asam jawa ini beberapa kali dengan campur air suam lagi. Minum setiap malam atau setiap kali tekak berasa gatal.
Diharapkan perkongsian ini dapat membantu pesakit yang menghadapi masalah tekak gatal. Jangan lupa dapatkan nasihat doktor dan rawatan di klinik terlebih dahulu. Pasa masa yang sama, anda boleh cuba ikhtiar secara tradisional.
Anda juga boleh baca tentang petua hilangkan panas badan ketika demam dan hilangkan selsema. Semoga bermanfaat.