Masalah sosial dalam kalangan pelajar semakin lama semakin meruncing. Akibatnya setiap ibubapa mengalami kerisauan akan keselamatan anak masing-masing dengan tahap masalah sosial yang ada. Apa yang lebih menyedihkan, jumlah masalah sosial ini juga semakin hari semakin meningkat. Masalah sosial ini bukan saja hanya dikalangan pelajar sekolah menengah (remaja) malah ia turut terjadi dikalangan pelajar universiti yang bijak pandai.
Ini adalah antara contoh masalah media sosial utama yang sedang berlaku di dalam masyarakat kita ini.
Setiap ibu bapa perlulah sentiasa mengambil berat mengenai perkembangan anak-anak mereka. Anda juga perlu tahu dengan siapa mereka berkawan, masalah yang mereka hadapi. Jika anak anda mempunyai masalah cuba dengar masalah yang anak anda hadapi.
Ini kerana, kebanyakan masalah sosial yang berlaku dalam kalangan remaja adalah disebabkan para ibu bapa yang tidak peka dengan masalah anak mereka sehinggakan anak-anak mereka mengambil keputusan untuk melepaskan masalah mereka dengan cara yang lain. Tidak hairanlah masalah sosial dalam kalangan remaja makin meningkat jika ibu bapa masih mengamalkan sikap sebegini.
Ilmu agama yang cukup boleh mengelakkan remaja dari terlibat dengan masalah sosial. Pergangan agama yang kukuh amat penting untuk remaja pada masa kini. Tanpa pegangan agama yang kukuh di kuatiri akan menyebabkan remaja terbabit hanyut dalam kancah masalah sosial. Jika kita lihat pada masa kini mereka yang terlibat dengan masalah sosial, majoritinya adalah remaja belasan tahun, di mana mereka sepatutnya berada di sekolah dan menuntut ilmu.
Namun, di sebabkan ceteknya ilmu agama dan juga pengaruh rakan sebaya, mereka sanggup memilih untuk tidak bersekolah dan melibatkan diri mereka ke dalam masalah sosial. Dalam soal pendidikan ibu bapa harus tegas. Ambil tahu adakah mereka ponteng atau tidak dari pihak sekolah. jika anak-anak mula berjinak-jinak ponteng sekolah cepat-cepat tegur dan nasihati mereka. Selain itu, adalah lebih elok jika ada masa terluang ibu bapa dapat menghantar anak mereka ke kelas atau kem-kem agama. Ini sedikit sebanyak boleh menjauhkan diri mereka dari terjurumus dengan aktiviti yang tidak sepatutnya.
Antara isu masalah sosial yang sedang diperkatakan ialah isu merokok. Remaja berusia seawal 15 tahun sudah mula menghisap rokok. Ia bukanlah sesuatu yang bagus kerana umum mengetahui rokok sebenarnya banyak mendatangkan keburukan. Malah rokok ini boleh dianggap sebagai permulaan untuk terjerumus ke dalam masalah lain yang lebih besar.
Akan tetapi kita tidak boleh menyalahkan remaja terbabit 100%. Kita harus tahu bahawa remaja masa kini akan mengikuti apa yang ibu bapa mereka lakukan. Bagi mereka apa yang ibu bapa mereka lakukan, mereka juga boleh buat dan ia tidak menjadi satu masalah buat mereka. Justeru itu, ibu bapa perlu menjadi role model buat anak mereka jika tidak mahu anak mereka terlibat dengan masalah sosial. Ia perlu bermula dari rumah. Sebagai contoh untuk isu merokok ini, jika ibu bapa mahu anak mereka tidak melibatkan diri dengan menghisap rokok maka bapa juga perlu turut sama jauhkan diri dari rokok agar dapat melarang tegas anak mereka dari hisap rokok.
Remaja yang sedang meningkat besar biasanya akan sering mempunyai masalah. Mereka akan mengharapkan ada orang yang akan mendengar dan membantu mereka mencari jalan penyelesaian untuk masalah mereka. Jadi sebagai ibu bapa anda perlulah sentiasa berkomunikasi dan berbincang dengan anak-anak mereka tentang masalah yang mereka hadapi. Dengan cara begini anak-anak akan berasa bahawa mereka dihargai.
Walau sesibuk mana sekalipun, setiap ibu bapa perlu cari masa untuk berkomunikasi dengan anak. Ini kerana jika anda alpa maka anak-anak akan mula mencari kawan-kawan yang boleh mendengar masalah mereka. Akhirnya tidak mustahil disebabkan pengaruh rakan-rakan mereka akan mula terjerumus dengan masalah sosial yang bukan-bukan.
Antara faktor yang menyebabkan berlakunya masalah sosial adalah kerana ibu bapa yang terlalu sibuk bekerja. Ini akan menyebabkan anak-anak merasakan yang mereka diabaikan. Buat ibu bapa diluar sana admin ingin menaihati anda walau sesibuk mana sekalipun cari waktu untuk meluangkan masa bersama anak-anak. Banyak benda yang boleh dilakukan seperti menonton tv, menonton wayang ataupun pergi bersiar-siar bersama keluarga. Dengan cara sebegini anak-anak akan merasakan yang mereka lebih dihargai dan disayangi. Ibubapa yang baik juga boleh membuatkan anak-anak tidak sampai hati untuk mengecewakan hati mereka.
Sebagai ibu bapa anda perlu sentiasa mengambil berat mengenai perlakuan anak-anak anda. Anda perlu tahu dengan siapa anak anda berkawan bahan bacaan apa yang dibaca dan apa yang ditonton oleh anak anda. Internet kat rumah tu kena sentiasa kawal waktu penggunaan dan kena pantau lihat juga video atau gambar apa yang sedang anak tonton.
Ini kerana, remaja pada masa kini mudah terpengaruh dengan media sosial. Jika anda dapati anak anda mula terlibat dengan sebarang perkara yang tidak sepatutnya anda perlu cepat-cepat menegur dengan tegas dan menasihati mereka.
Sebagai ibu bapa anda berperanan dalam memberi berkeyakinan pada anak mereka dengan mengajar ilmu yang berkemahiran. Memberi keyakinan dan galakkan dan jangan sesekali mengkritik mereka. Kerana kritikkan boleh menyebabkan mereka berasa rendah diri.
Ibubapa mana yang mahukan anak yang terlibat dengan masalah sosial. Namun sebagai manusia biasa kadangkala kita di uji dalam banyak cara. Mungkin anak adalah ujian yang perlu dihadapi sekarang. Maka janganlah cepat berasa kecewa dan putus asa. Ayuh bangkit dan terus berusaha untuk merapatkan diri dengan anak.
Jangan dek kerana hari ini kita tak mencuba bersungguh-sungguh akhirnya anak semakin jauh dan terjerumus dengan masalah sosial ini. Buka hati, buka minda dan buka peluang untuk setiap anak berubah dalam mengutip pengalaman mana betul mana salah dalam menjadi khalifah di atas mukabumi ini.