Mencari resepi masakan dada ayam yang sedap?

Dada ayam merupakan antara bahagian yang kaya dengan zat protein yang diperlukan oleh tubuh badan, khususnya untuk sesiapa yang ingin menurunkan berat badan dan mengekalkan jisim otot.

Ada pelbagai cara masakan yang boleh dicuba menggunakan dada ayam. Jadi, berikut kami senaraikan 10 resepi masakan dada ayam untuk anda cuba. Teruskan membaca!

#1 Ayam Butter

ayam butter - masakan dada ayam
Imej via Facebook

Ayam Butter – nama hidangan yang pasti sudah tidak asing lagi di kalangan pembaca. Hidangan yang tular beberapa tahun lalu ini memang cukup mudah untuk disediakan. Resepi ini dikongsikan oleh Murni Rahmat di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Dada ayam (dibuang tulang dan dipotong dadu)
  • Tepung jagung
  • Serbuk kari
  • Garam

Bahan sos:

  • 3 ulas bawang putih
  • 2 tangkai daun kari
  • ½ bongkah mentega
  • 1 sudu tepung jagung
  • ½ tin susu cair
  • Pewarna kuning *optional

Cara-cara:

  1. Perap ayam dengan serbuk kari dan garam.
  2. Bancuh tepung jagung/serbaguna.
  3. Celup ayam dan goreng hingga rangup. Ketepikan.
  4. Panaskan 1 sudu minyak masak.
  5. Masukkan bawang putih dan daun kari. Tumis sehingga wangi.
  6. Masukkan mentega dan biar cair.
  7. Tambah susu cair, cili api dan pewarna kuning.
  8. Kalau suka kuah pekat sedikit, bancuh 1 sudu tepung jagung dengan sedikit air dan tuangkan ke dalam masakan.
  9. Masukkan garam dan gula sebagai perasa.
  10. Matikan api, masukkan ayam yang digoreng rangup tadi dan gaul sebati.
  11. Sedia untuk dihidang.

#2 Nuget Ayam Kentang

masakan dada ayam - nuget ayam
Imej via Facebook

Nuget ayam memang sesuai dijadikan sebagai snek atau makanan ringan sambil menonton cerita kegemaran, mahupun sekadar untuk mengisi perut. Resepi ini dikongsikan oleh Sharinaz Redwan di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 4 keping dada ayam (dikisar)
  • 2 biji telur ayam
  • 2 sudu besar tepung ubi kayu
  • 4 biji kentang bersaiz sederhana (direbus dan dilenyek)
  • ½ batang lobak (disagat)
  • Sayur-sayuran ikut kesukaan
  • 1 sudu kecil lada sulah
  • Garam

Cara-cara:

  1. Campurkan kesemua bahan, masukkan ke dalam loyang dan kukus selama 15-20 minit.
  2. Setelah siap, potong adunan dalam bentuk petak.
  3. Salutkan adunan berbentuk petak tadi dengan telur. Kemudian, salutkan dengan tepung dan serbuk roti.
  4. Goreng hingga keemasan.
  5. Sedia untuk dihidang.

#3 Ayam Masak Halia

ayam masak halia - masakan dada ayam
Imej via Facebook

Resepi ini merupakan antara resepi masakan dada ayam yang memang menyihatkan. Sesuai juga dijadikan bekalan ke tempat kerja kerana cara penyediaannya cukup mudah. Resepi ini dikongsikan oleh Fdlah Ila di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Dada ayam (dihiris nipis)
  • Cili kering (dipotong)
  • Bawang merah (dibelah 6)
  • Halia (dihiris, dalam jumlah yang banyak)

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak, gorengkan cili sehingga garing. Angkat dan ketepikan.
  2. Goreng bawang dan halia hingga layu. Angkat dan ketepikan.
  3. Menggunakan minyak yang sama, masukkan ayam.
  4. Masukkan air dan biar mereneh.
  5. Kemudian, masukkan sos tiram dan sedikit serbuk lada hitam.
  6. Selepas itu, masukkan bahan yang ditumis tadi.
  7. Bancuh air tepung jagung dan masukkan ke dalam bahan masakan untuk memekatkan kuah.
  8. Perasakan dengan garam, matikan api dan taburkan daun bawang.
  9. Sedia untuk dihidang.

#4 Ayam Goreng Kunyit

ayam goreng kunyit - masakan dada ayam
Imej via Facebook

Ada peminat ayam goreng kunyit di sini? Hidangan ini memang kena dengan tekak orang ramai, jadi tidak hairanlah ianya begitu popular. Resepi ini dikongsikan oleh Nina Mahdar di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 2 ketul dada ayam (dipotong kecil)
  • 1 sudu besar serbuk kunyit
  • 1 biji bawang merah (dihiris tebal)
  • Lada merah (dihiris halus)
  • Lobak merah (dihiris halus)
  • 1 inci halia (dihiris halus)
  • Bunga kobis (dihiris)
  • 1 sudu besar tepung serbaguna Bestari (boleh tambah sesudu lagi jika nak garing)
  • Kacang panjang (dihiris)
  • 1 sudu besar serbuk kari
  • 1 sudu kecil garam

Cara-cara:

  1. Satukan tepung, garam, serbuk kunyit dan kari ke dalam ayam yang telah dipotong kecil tadi. Kacau rata.
  2. Panaskan minyak dan goreng ayam. Jika ayam masih melekat, biarkan seketika.
  3. Tunggu ayam sedikit garing baru diterbalikkan. Kemudian lerai-leraikan isi ayam yang melekat tadi.
  4. Goreng sehingga ayam garing.
  5. Kemudian masukkan sayur yang keras dahulu seperti lobak dan bunga kobis.
  6. Masukkan pula kesemua bahan yang berbaki. Goreng sehingga semuanya masak.
  7. Angkat dan toskan minyaknya.
  8. Sedia untuk dihidang.

#5 Ayam Pandan

ayam pandan - masakan dada ayam
Imej via Facebook

Ayam pandan merupakan hidangan yang popular di kebanyakan restoran makanan Thai. Anda juga boleh membuatnya sendiri menggunakan air fryer atau penggoreng udara. Resepi ini dikongsikan oleh Elaine Tan di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 500g dada ayam (dipotong ketul) boleh dapat sekitar 25 ketul
  • 2 bungkus perencah bihun goreng Adabi
  • 2 sudu besar minyak
  • Daun pandan
  • Pencungkil gigi/pencucuk sate

Cara-cara:

  1. Perap ayam dengan perencah bihun goreng dengan minyak selama 3 jam.
  2. Potong daun pandan.
  3. Gulungkan ayam dengan daun pandan.
  4. Cucuk ayam dengan pencungkil gigi.
  5. Susun dalam penggoreng udara dan masak selama 20 minit pada suhu 180°C.
  6. Lepas 10 minit, terbalikkan ayam.
  7. Sedia untuk dihidang.

#6 Serunding Ayam

chicken floss homemade
Imej via Facebook

Serunding ayam memang enak dinikmati bersama roti yang gebu. Ianya juga boleh dibuat sendiri kerana bahan dan cara penyediaannya tidak terlalu susah. Resepi ini dikongsikan oleh Nurain Ain di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Dada ayam
  • 7 biji bawang putih (diketuk)
  • Serbuk jintan halus/kasar
  • 3 cm halia (dimayang halus)
  • Kicap manis
  • Sos tiram
  • 3 sudu besar gula
  • Garam
  • Serbuk perasa
  • 1 sudu besar serbuk cili

Cara-cara:

  1. Rebus dada ayam, bawang putih, halia ,kicap manis, sos tiram garam, gula dan serbuk perasa sampai hingga empuk atau kering air rebusan.
  2. Toskan bahan tadi dan pukul pada kelajuan perlahan hingga teksturnya seperti dicarik-carik.
  3. Taburkan bahan yang dipukul tadi dengan sedikit cili.
  4. Goreng bahan tersebut dengan api perlahan hingga mendapat tekstur serunding ayam yang lembut (proses ini sedikit memakan masa).
  5. Keringkan serunding ayam yang digoreng tadi.
  6. Sedia untuk dihidang.

#7 Sate Ayam

sate ayam - masakan dada ayam
Imej via Facebook

Sate ayam – terdengar sahaja nama hidangan ini, kami yakin anda pasti kecur air liur. Anda juga boleh cuba resepi sate ayam ini sendiri. Resepi ini dikongsikan oleh Eiza Ax di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Dada ayam (dipotong dadu)

Bahan kisar:

  • Serai (diketuk hujungnya)
  • Lengkuas
  • Kunyit hidup(atau serbuk kunyit)
  • Halia
  • Jintan putih(disangai dulu hingga wangi)
  • Jintan manis (disangai)
  • Ketumbar (disangai)
  • Bawang putih
  • Bawang merah

Cara-cara:

  1. Ambil lidi dan rendam di dalam air selama 4 jam atau lebih bagi mengelakkan lidi terbakar semasa memanggang nanti.
  2. Perap dada ayam dengan bahan kisar.
  3. Masukkan gula dan garam.
  4. Simpan perapan di dalam peti sejuk selama minima 3 jam (lebih lama diperap, lebih sedap).
  5. Setelah diperap, cucuk ayam dengan lidi.
  6. Untuk membuat minyak renjis, anda perlu gabungkan serai, minyak, air perapan ayam dan 1 sudu gula.
  7. Sapukan minyak renjis semasa memanggang sate.
  8. Sedia untuk dihidang.

#8 Chicken Chop

chicken chop
Imej via Facebook

Singgah sahaja di kebanyakan kedai makan, pasti hidangan Chicken Chop ada disediakan. Jika malas ke kedai makan, anda boleh masak sendiri hidangan ini di rumah. Resepi ini dikongsikan oleh Liana Ana di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Dada ayam (dibelah 4 dan diketuk hingga leper)
  • Telur
  • Tepung goreng ayam
  • Serbuk roti
  • Minyak untuk menggoreng

Bahan sos lada hitam:

  • 2 ulas bwang putih (dicincang)
  • 1 biji bawang holland (dipotong dadu)
  • 1 sudu besar mentega
  • Air ikut kuantiti botol sos lada hitam
  • 2 sudu besar tepung jagung (dibancuh dengan air)
  • Gula
  • 1 botol sos lada hitam
  • 2 kiub pati ayam

Bahan sayur salad:

  • Kobis (disagat)
  • Kobis ungu (disagat)
  • Lobak (disagat)
  • Mayonis
  • 3 sudu besar susu cair

Cara-cara:

  1. Gaulkan dada ayam dengan telur.
  2. Salutkan dengan tepung goreng ayam dan serbuk roti.
  3. Panaskan minyak dan gorengkan ayam. Ketepikan.
  4. Untuk sos lada hitam, panaskan mentega.
  5. Setelah mentega cair, masukkan bawang putih dan bawang holland.
  6. Setelah naik bau atau harum, masukkan sos lada hitam, kiub pati ayam dan air. Biar menggelegak.
  7. Masukkan gula dan bancuhan air tepung jagung.
  8. Setelah kuah pekat, matikan api.
  9. Untuk sayur salad, campurkan kobis, kobis ungu dan lobak.
  10. Masukkan mayonis dan susu cair, kemudian gaulkan sekata. Sejukkan di dalam peti ais.
  11. Sedia untuk dihidang.

#9 Ayam Masam Manis

sweet sour ayam - masakan dada ayam
Imej via Facebook

Ayam masam manis juga merupakan antara resepi masakan dada ayam yang cukup melazatkan dan mudah untuk disediakan. Resepi ini dikongsikan oleh Makcik Ratu di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • ½ ekor/8 ketul dada ayam (dipotong kotak/ikut kesukaan, kemudian digaul dengan jus limau dan ketepikan)
  • Beberapa sudu besar tepung serbaguna Bestari
  • Minyak untuk menggoreng ayam
  • 4 ulas bawang putih (dicincang halus)
  • 1 sudu minyak bijan untuk menumis bawang *optional

Bahan sos:

  • 4 sudu besar sos cili
  • 2 sudu besar sos tomato
  • 2 sudu besar serbuk cili/cili kisar halus
  • 1 sudu besar serbuk lada hitam
  • 2 sudu besar kicap manis
  • 1 sudu besar cuka
  • 2 sudu besar gula
  • 4 sudu besar madu
  • 1 sudu besar serbuk perasa
  • ½ cawan air
  • 1 sudu besar tepung pulut (dibancuh dengan air)
  • Bijan putih/hitam sebagai hiasan
  • Daun bawang (dihiris nipis) sebagai hiasan

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak, celup ayam ke dalam tepung serbaguna dan goreng ayam. Angkat dan ketepikan.
  2. Tumis bawang putih dengan sedikit minyak bijan atau minyak masak.
  3. Setelah harum dan bawang sedikit garing, menggunakan api perlahan, masukkan sos cili, sos tomato, serbuk cili/cili kisar halus, serbuk lada hitam, kicap manis, cuka gula, madu dan serbuk perasa.
  4. Masukkan air supaya tekstur lebih bersos atau berkuah.
  5. Masak hingga mendidih, kemudian campurkan bancuhan tepung pulut.
  6. Masukkan ayam yang digoreng tadi dan gaul rata Bersama bahan sos. Boleh kuatkan api.
  7. Angkat dan taburkan bijan putih/hitam bersama daun bawang pada ayam.
  8. Sedia untuk dihidang.

#10 Sup Bebola Ayam

sup bebola ayam
Imej via Facebook

Ini pula hidangan yang bukan sahaja menyelerakan, malah menyihatkan – sup bebola ayam. Senang sahaja untuk disediakan, jadi anda wajib cuba. Resepi ini dikongsikan oleh Azizah Daud di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Rempah 3 sekawan
  • 5 ulas bawang putih
  • Halia
  • Bawang merah
  • 1 keping dada ayam (dipotong kiub)
  • Air secukupnya untuk kuah
  • 1 bungkus sup bunjut
  • Bebola ayam
  • Garam
  • Gula
  • Serbuk perasa
  • Daun bawang
  • Daun ketumbar
  • Bawang goreng
  • Cili padi (diketuk)

Cara-cara:

  1. Tumis rempah 3 sekawan dengan bawang putih, halia dan bawang merah hingga naik bau dan menjadi keperangan.
  2. Masukkan dada ayam, biarkan sebentar dan masukkan air secukupnya untuk kuah.
  3. Masukkan sup bunjut dan biar mendidih.
  4. Setelah itu, masukan bebola ayam dan perasakan dengan garam, gula dan serbuk perasa.
  5. Apabila bebola ayam sudah timbul, matikan api.
  6. Perah limau nipis dan taburkan daun bawang, daun ketumbar, bawang goreng dan cili padi yang diketuk.
  7. Sedia untuk dihidang.

Resepi Menarik Lain

Selain koleksi resepi masakan dada ayam, kami juga ada menulis tentang resepi lain yang menarik. Jangan lupa untuk komen dan kongsikan kepada rakan-rakan. Selamat mencuba!

Penulis: hani

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.