Banyak rupanya manfaat bedak sejuk. Ingatkan dipakai sekadar suka-suka sahaja. Dari zaman kecil lagi penulis sudah biasa ternampak bedak sejuk. Ketika itu, penulis tidak tahu apakah fungsi bedak tersebut. Biasanya bedak sejuk berbentuk seperti piramid kecil-kecil, mudah hancur dan berwarna putih.

Sebelum disapu pada wajah, kita perlu menambahkan sedikit air untuk mencairkannya. Setelah ittu, sapukan ke seluruh wajah seperti masker. Wajah akan terasa begitu sejuk dan lembut. Anda pernah mencubanya?

Dalam artikel ini, penulis akan kongsikan tentang petua bedak sejuk dari aspek manfaatnya kepada kulit. Malahan, buat pembaca yang ingin cuba memakainya, akan disertakan cara membuat bedak sejuk homemade.

Apakah Itu Bedak Sejuk?

bedak sejuk
Imej Via Gvado

Bedak sejuk merupakan rawatan kulit secara tradisional yang diamalkan oleh nenek moyang kita sejak zaman-berzaman. Ia berasal dari kepulauan Melayu. Bahan utama dalam pembuatannya ialah beras.

Biasanya ia dijual dalam bentuk berbiji-biji, namun ada juga dalam bentuk serbuk dan cecair. Dikatakan bahawa manfaatnya sangat tinggi dalam menghaluskan dan menyejukkan kulit serta mencantikkan wajah.

Manfaat Bedak Sejuk

Pada zaman serba moden ini terdapat pelbagai inovasi dalam pembuatan bedak sejuk. Jika dahulu, bedak sejuk diperbuat daripada beras. Kini, pelbagai bahan dimasukkan untuk memberikan manfaat yang lebih banyak.

Ada yang dicampurkan dengan yogurt, tanah liat, serbuk mutiara, aloe vera dan sebagainya. Jom baca manfaat yang tersembunyi di dalam bedak sejuk.

  • Melembapkan kulit

Bagi sesiapa yang ada masalah kulit kering, bedak sejuk berfungsi sebagai pelembap kulit. Hasilnya kulit akan nampak lebih segar dan berseri. Kulit yang kering akan menyebabkan wajah nampak tua dan kusam.

  • Mencerahkan tona warna kulit

Jika warna kulit anda tidak sekata dan nampak berbelang-belang, cuba gunakan bedak sejuk. Ia juga dapat mencerahkan kulit dan memudarkan parut-parut jerawat.

  • Mengecilkan saiz pori-pori

Pori-pori terbuka sering terjadi di bahagian hidung dan pipi. Ia disebabkan oleh rutin penjagaan wajah yang tidak konsisten, genetik, penuaan dan sebagainya. Apabila liang pori terbuka, kulit wajah akan nampak kasar.

Dengan pemakaian bedak sejuk, ia dapat mengecilkan saiz pori-pori. Hasilnya tekstur kulit akan nampak lebih gebu, licin dan cantik. Wajah anda juga akan nampak awet muda.

  • Membersihkan pori-pori yang tersumbat

Selain mengecilkan saiz pori-pori, bedak sejuk juga akan membersihkan liang yang tersumbat itu. Apabila pori-pori terbuka, segala kekotoran, sebum dan peluh akan terkumpul. Keradangan yang berlaku akan menyebabkan jerawat dan sebagainya.

bedak sejuk
Imej Via Bidadari
  • Mengurangkan sebum

Sebum ialah minyak yang dihasilkan oleh kulit. Apabila kelenjar kulit terlalu aktif, ia akan mengeluarkan sebum yang banyak. Inilah yang akan menyumbatkan pori-pori wajah yang terbuka.

Dengan menggunakan bedak sejuk, pengeluaran sebum oleh kelenjar kulit dapat dikawal. Kesannya muka anda tidak nampak terlalu berminyak dan masalah kulit dapat dikurangkan.

  • Mengurangkan masalah jerawat, bintik hitam dan putih

Apabila kulit wajah kurang berminyak, masalah kulit juga dapat diatasi. Caranya ialah dengan menggunakan bedak sejuk. Jangan risau! Masalah jerawat, bintik hitam dan putih dapat dikurangkan.

  • Menyegarkan dan menyejukkan kulit

Kandungan utama bedak sejuk ialah beras. Ada juga yang menggunakan tanah liat putih. Kesemua ini berfungsi untuk menyejukkan dan menyegarkan wajah. Itulah sebabnya ketika menyapu bedak sejuk, wajah akan terasa nyaman.

  • Merawat kesan lecur dan ruam

Bagi anda yang tidak tahu, bedak sejuk bukan hanya dipakai di wajah sahaja. Anda juga boleh menyapunya di mana-mana bahagian tubuh. Jika ada bahagian kulit yang melecur ringan, sapukan sedikit bedak sejuk. Ia dapat menyejukkan bahagian tersebut.

Begitu juga dengan bayi dan anak-anak kecil. Disebabkan bahan-bahan yang terkandung di dalam bedak sejuk selamat, maka ia sesuai untuk mereka. Bagi anak-anak yang mempunyai ruam-ruam, boleh sapukan bedak sejuk.

  • Bagus untuk kulit sunburn

Apabila terdedah terlalu lama di bawah pancaran cahaya matahari terik, kulit wajah akan terbakar atau sunburn. Kesannya kulit akan menjadi kemerahan, gelap, kering dan pedih.

Dengan menggunakan bedak sejuk, kulit akan menjadi lembap dan segar. Kesan gelap dan kemerahan juga dapat diatasi.

bedak sejuk
Imej Via Bidadari
  • Melicinkan wajah

Wajah yang licin tanpa cela memang menjadi idaman semua wanita. Namun, bukan semua orang bernasib baik mendapat kulit sebegitu. Akibat kesan parut jerawat, kulit rosak akibat kosmetik, alahan dan kurang tidur, wajah kelihatan tidak bermaya.

Bagi mengatasi masalah ini semua, gunakan bedak sejuk untuk melicinkan wajah. Hasilnya wajah nampak gebu, licin dan mulus.

  • Menanggalkan sel-sel kulit mati

Jika hendak kulit yang sihat, perkara pertama yang perlu dibuat ialah menanggalkan sel-sel kulit mati. Apabila sel-sel kulit mati tidak dibersihkan, ia menyebabkan kulit menjadi kering, bersisik dan mengakibatkan jerawat. Wajah juga tampak kusam.

Oleh itu, gunakan bedak tradisional ini untuk mengatasi masalah yang sering melanda kaum hawa. Ketika mencuci wajah, gosokkan secara perlahan saki-baki bedak sejuk dengan lembut.

  • Menegangkan wajah

Bedak sejuk dipakai ke muka dengan cara dibasahkan sehingga menjadi sedikit cair. Oleh itu, teksturnya akan menjadi seperti masker wajah. Selepas memakai bedak sejuk, biarkan selama beberapa minit hingga bedak benar-benar kering.

Dengan cara ini, wajah akan nampak lebih tegang. Kedutan halus di bahagian dahi dan hujung bibir dapat dikurangkan.

Cara Buat Bedak Sejuk Homemade

Jika anda berminat untuk membuat bedak sejuk secara homemade, bolehlah cuba beberapa petua ini.

bedak sejuk
Imej Via Bidadari
  • Cara 1

Ambil 1 sudu besar tepung beras. Campurkan dengan sedikit air mawar (boleh dibeli di kedai runcit India). Pastikan adunan tidak terlalu pekat atau cair.

  • Cara 2

Masukkan 4 sudu besar tepung beras atau beras yang dilumat halus, masukkan 1 sudu yogurt. Simpan di dalam peti sejuk terlebih dahulu.

  • Cara 3

Ambil setengah cawan beras. Sebelum dikisar halus, basuh dan toskan dahulu beras. Anda boleh menyimpannya di dalam peti sejuk. Jika hendak digunakan, tambahkan sedikit madu dan gaul sebati.

  • Cara 4

Secara tradisional, pembuatan bedak sejuk agak cerewet. Beras yang digunakan mestilah berkualiti tinggi. Kemudian, rendamkan beras tersebut di dalam bekas tertutup yang diisi air selama 4 bulan.

Dalam tempoh 4 bulan itu, air perlu diganti setiap hari. Selepas 4 bulan, beras tidak lagi berbiji-biji dan akan menjadi lembik. Beras tersebut ditambahkan sedikit air dan dikisar. Adunan beras akan ditambah air mawar.

Kemudian, adunan tersebut akan digentel kecik-kecik dan diletakkan di atas sehelai kain. Ia akan dijemurkan di bawah matahari yang terik. Setelah kering dan keras, bedak sejuk akan disimpan dalam bekas tertutup. Untuk menambahkan bau wangi, daun pandan dimasukkan sekali.

Diharapkan para pembaca mendapat info berguna daripada artikel ini. Siapa sangka bedak sejuk yang biasa kita lihat dari zaman kecil mempunyai begitu banyak manfaat.

Jemput baca tentang kebaikan tomato dan manfaat kebaikan aloe vera.

Rujukan

Wikipedia (link)

Bedak Sejuk Penggebu Muka (link)

Penulis: Zuraidah Muhidden

Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.