Sekali pandang seperti harimau bintang, inilah gambaran umum kucing Bengal yang menjadi idaman untuk dipelihara oleh pecinta kucing. Bentuk dan coraknya yang unik membuatkan semua tertawan melihatnya.
Kucing Bengal adalah kucing kacukan yang terhasil daripada pembiakan silang, yang juga bertujuan untuk menghasilkan pelbagai jenis baka yang unik. Untuk spesis ini, ia merupakan kacukan baka-baka kucing seperti kucing harimau bintang Asia, American Short Hair, Burma, Egyptian Mau dan Abisinia.
Tidak peliklah jika bulunya seakan harimau bintang jika ia sememangnya mempunyai baka haiwan tersebut. Perwatakan kucing ini juga cukup unik seiring dengan rupanya. Mungkin ini antara sebabnya kucing Bengal adalah kucing termahal di dunia.
Tahukah anda kucing Bengal juga mempunyai jenisnya tersendiri. Jenis kucing ini dapat dilihat dari segi corak bulu. Corak tersebut adalah Rosetted Spotted dan Marbled.
Untuk corak Kucing Bengal Rosetted Spotted, coraknya mirip dengan harimau bintang iaitu tompokan kecil dan berwarna coklat emas. Pasti ramai yang biasa melihat jenis ini kerana ia sangat terkenal.
Kucing Bengal dengan jenis Rosetted Spotted mempunyai banyak variasi. Ada yang single spotted, pawprint rosetted, arrow rosetted dan lain-lain. Sebagai contoh, kucing Bengal dengan single spotted mempunyai warna tompokan dengan warna latar pada kot. Manakala kucing dengan arrow rosetted pula bercorak anak panah berbentuk segi tiga pada bulunya.
Untuk kucing Bengal jenis corak Marbled pula mempunyai bulu yang rapat dan sangat tebal. Tompokannya mendatar, tidak sekata dan berbeza saiz atau rawak. Si comel jenis ini kebiasaannya mempunyai dua pusara atau warna yang banyak.
Kucing Bengal marble juga mempunyai pelbagai jenis variasi. Antaranya adalah Chaos Pattern Marble, Horizontal Flowing Marble dan banyak lagi. Bukan itu sahaja, setiap jenis kucing ini mempunyai warna berbeza seperti kelabu, hitam dan biru.
Jadi secara umumnya, kucing Bengal terbahagi kepada dua jenis iaitu Rosetted Spotted dan Marble. Namun setiap jenis juga mempunyai pelbagai kelompok atau variasi yang boleh dibezakan secara umum berdasarkan corak dan pola warna pada tubuh kucing.
Banyak ciri kucing Bengal yang membolehkan kita mudah untuk membezakan spesis ini dengan spesis yang lain. Tahukah anda bahawa kucing Bengal mempunyai bulu yang tebal, rapat dan halus. Lazimnya badan Bengal kelihatan lebih tegap dan panjang kerana bahagian leher yang berotot.
Kucing Bengal mempunyai kepala yang sedikit besar dan panjang. Kebiasaannya, hidung kucing ini berwarna merah dan ada garis hitam. Jika anda perasan, telinga kucing ini menegak sehingga menampakkannya seperti kucing liar. Ekornya pula tidak terlalu panjang dan berbelang hitam.
Uniknya, mata kucing ini kelihatan lebih besar dan lebar. Lazimnya mata kucing Bengal berwarna biru, hijau atau sedikit kekuningan. Secara purata, jangka hayat si Bengal adalah 9 hingga 13 tahun.
Pasti ada yang tertanya-tanya tentang berat kucing Bengal. Anggaran berat kucing unik ini sekitar 4 Kg hingga 5 Kg, namun jika ianya kucing jantan, berat boleh mencecah 10Kg. Tidak hairanlah kucing ini dikategorikan sebagai kucing atlet.
Sekiranya anda ingin membela kucing Bengal, anda perlu juga ketahui sifat kucing ini kerana setiap kucing mempunyai sifat yang berbeza. Lebih-lebih lagi Kucing Bengal, bukan sahaja luarannya yang unik, namun turut mempunyai sifat yang menarik.
Sifat yang pertama adalah spesis ini agak sedikit liar memandangkan ia tergolong sebagai kucing hutan. Ia memerlukan cara terbaik untuk melatihnya menjadi lebih baik. Walaupun sedikit liar namun sebenarnya kucing ini sangat penyayang dan setia pada tuannya.
Dengan sifat penyayangnya ini, pemilik haruslah memberi perhatian sepenuhnya untuk bermain dan menguruskannya. Anda perlu berhati-hati jika Bengal sudah mula bosan. Hal ini kerana pelbagai perkara tak dijangka akan dilakukannya seperti merosakkan barangan yang berada di sekeliling.
Bukan itu sahaja, kucing Bengal sangat aktif dan suka bermain. Kalau kucing lain ada yang takut dengan air, namun tidak untuk Si Bengal. Jadi mudah untuk anda memandikannya. Aktifnya Si Bengal membuatkannya sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan bijak.
Perlu diingatkan, Bengal suka untuk memanjat dan melompat. Oleh itu, jika anda ingin membelanya anda haruslah menyediakan ruang khas untuknya yang tinggi.
Banyak fakta menarik tentang kucing Bengal yang anda perlu tahu sebelum anda ingin mendekati kucing ini. Jom kita kita terokanya!
Kucing Bengal memang suka bermain. Seperti yang telah dinyatakan kucing ini memang sangat aktif dan memerlukan lebih perhatian. Sekiranya anda berminat untuk membelanya, anda perlu menyediakan pelbagai alat atau permainan untuknya.
Si Bengal juga bijak dalam hal-hal tertentu. Kucing ini cepat belajar perkara baharu dan sangat suka dengan helah.
Walaupun kelihatan sedikit ganas, tahukah anda kucing Bengal manja terutama dengan pemiliknya. Sifatnya ini membuatkannya sentiasa ingin bermain dan berada bersama penjaganya. Tidak hairanlah jika anda melihat kucing jenis ini sentiasa mengekori penjaganya ke mana-mana sahaja.
Bukan sahaja mempunyai corak pada tubuh yang cantik, malah bulunya kelihatan berkilat lebih-lebih lagi jika berada di bawah pencahayaan yang baik. Kombinasi warna Bengal dan kilauannya pasti membuat anda terpukau.
Kucing ini digelar sebagai pemburu semula jadi kerana mempunyai kemahiran dan kecekapan yang tinggi terhadap aktiviti ini. Kelajuan dan kelincahan mirip seperti harimau bintang. Jika anda memelihara ikan di dalam akuarium atau kolam, hamster, burung atau apa-apa binatang kecil, awasi mereka kerana Si Bengal mungkin akan menerpa sekelip mata.
Berbanding dengan kucing lain, Bengal adalah spesis yang pembersih. Oleh itu, anda perlulah membersihkan tray najis atau kawasan kucing beberapa kali dalam satu hari. Jika tidak, Bengal akan membuang najis di tempat yang tidak diingini.
Spesis ini juga suka menggigit. Buka barang sahaja yang menjadi bahan gigitan, anda juga boleh menjadi mangsanya terutama ketika Bengal sudah mula bosan.
Pasti puas apabila dapat memelihara Kucing Bengal yang unik ini. Penjagaannya juga perlu dilakukan dengan sabar dan rapi. Jika anda sudah biasa memelihara kucing, anda pasti dapat memelihara Bengal dengan baik.
Membela Si Bengal memang menyeronokkan, namun ada juga cabaran yang akan anda lalui. Setiap kucing mempunyai kelainan yang membuatkannya menjadi kucing unik dan disayangi ramai.
Suka akan fakta menarik? Jom baca artikel kami yang lain seperti: