Bagaimanakah cara khusyuk solat yang diajarkan oleh Islam bagi memberi kesempurnaan kepada setiap ibadah solat yang dilakukan?

Dalam agama Islam, solat terbahagi kepada dua jenis iaitu solat fardu dan solat sunat. Solat fardu ialah solat yang wajib ke atas semua orang Islam yang baligh dan berakal.

Solat fardu dilakukan sebanyak lima kali setiap hari iaitu Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak. Sekiranya seseorang itu tertinggal solat fardunya disebabkan keuzuran, tertinggal, lalai dan sebagainya, wajib digantikan (qada) semula.

Manakala solat sunat pula ialah solat yang dilakukan secara sukarela seperti solat terawih, witir, tahajjud, dhuha dan sebagainya. Tujuannya adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan memperoleh rahmat-Nya.

Kedua-dua jenis solat ini mempunyai pahalanya yang tersendiri di sisi Allah SWT. Dengan mencari khusyuk solat, anda sebenarnya sedang menyempurnakan ibadah utama itu sendiri.

Apa itu khusyuk dalam solat?

khusyuk solat

Pengertian khusyuk adalah tunduknya hati, tenang dan tenteramnya kepada Allah Taala, memasrahkan diri kepada-Nya dengan menghinakan diri, merasakan diri lemah.

Manakala khusyuk solat pula adalah tunduk dan merendah diri dengan tumpukan fikiran, hati dan anggota ketika solat dan dilakukan adalah semata-mata kerana mencari keredhaan Allah.

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Mu’minun, ayat 1-5 yang bermaksud:

“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya. Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia.”

Pada umumny, kita hanya melaksanakan solat tanpa menitikberatkan soal kualiti untuk mencapai matlamat ibadah solat itu sendiri.

Benteng asas dalam solat iaitu khusyuk dipandang ringan kerana yang kita pentingkan hanya pelaksanaannya, bukan cara mencapai kesempurnaan.

Namun, kelemahan ini perlu diperbaiki kerana menunaikan solat merupakan tiang seri agama Islam yang utama.

Berdasarkan pendapat beberapa tokoh ulama, khusyuk itu cenderung pada hati yang meliputi perasaan takut, rendah diri dan perasaan hina di depan Allah. Ia juga menzahirkan perbuatan anggota badan seperti fokus dalam solat, tidak berpaling ke sana-sini dan menundukkan pandangan.

Persediaan sebelum solat

khusyuk solat
  • Solat tepat pada waktunya.
  • Membersihkan diri dan bersugi.
  • Jangan solat jika makanan telah tersedia.
  • Jangan solat dalam keadaan menahan air besar dan kecil.
  • Memakai pakaian yang bersih dan kemas.
  • Jangan makan dan minum secara berlebihan sebelum solat.
  • Solat di tempat yang tiada gangguan.
  • Berwuduk dengan sempurna.
  • Tidak membazirkan air ketika berwuduk.

Persediaan ketika hampir hendak solat

  • Azan dan iqamah.
  • Dilakukan secara berjemaah.
  • Hati yang bersih dan tenang.
  • Anggap ini solat yang terakhir atau mengingati mati.
  • Tidak melakukan maksiat sebelum solat.

Ketika dalam solat

khusyuk solat
  • Memahami dan menghayati bacaan dalam solat.
  • Memahami fiqh solat dengan sempurna
  • Menghambakan dan merendahkan diri di depan Allah SWT.
  • Mengagungkan Allah SWT.
  • Memperbanyak sunnah dalam solat sama ada qauli atau fi’li.
  • Membaca doa yang sunnah dalam solat.
  • Menghadirkan hati ketika sujud.
  • Memohon perlindungan daripada hasutan syaitan.
  • Melupakan hal keduniaan.
  • Jangan banyak membuat pergerakan tubuh.
  • Tidak mendongak ke atas.
  • Fokus memandang pada tempat sujud dan pada tempat yang mendatangkan kekhusyukkan.
  • Buat solat dengan tenang dan tidak terburu-buru.

Khusyuk melalui anggota tubuh badan

1. Khusyuk hati

Apabila sedang solat, kita perlulah fokus menghadap Allah SWT dengan membawa cinta kepada-Nya, mengagungkan-Nya, takut akan seksaan-Nya dan mengharapkan pahala daripada-Nya.

Apabila kita berasa dekat dengan Allah SWT, hati akan berasa tenang dan dapat menghayati kesemua yang diucapkan dan dilakukan dalam solat. Kekhusyukan hati dapat mewujudkan kekhusyukan badan kerana ia ialah asas kekhusyukan.

2. Khusyuk badan

Khusyuk badan bermaksud tidak terlalu banyak gerakan dalam solat, tidak terburu-buru membaca doa, menundukkan pandangan di tempat sujud, tidak memikirkan hal dunia dan sebagainya.

Tempat untuk khusyuk solat

Menurut Dr Rizal Abu Bakar, iaitu seorang pakar otak dan psikologi, khusyuk dalam solat membuatkan aktiviti otak jadi kurang aktif.

Aktiviti otak ini dinamakan Parietal Lobe. Maksudnya, ketika sedang bersolat tapi masih teringat kerja di pejabat, buku yang belum habis dibaca, tandanya Parietal Lobe masih aktif.

Beliau menyatakan untuk membuatkan otak hanya fokus pada ibadah solat, kita perlu tenteramkan Parietal Lobe. Ia memerlukan praktis setiap hari. 13 cara yang boleh dilakukan ialah:

  • Cari tempat yang tak ada gangguan. Untuk permulaan selama lima minit. Misalnya di dalam bilik tidur.
  • Duduk dalam keadaan selesa. Kemudian, pejamkan mata dan buka dengan perasaan tenang.
  • Bernafas melalui hidung. Hayati udara yang disedut. Kemudian, hembus nafas melalui mulut. Hayati udara yang keluar.
  • Teruskan bernafas. Fokuskan pada bahagian dada yang turun naik apabila bernafas. Rasakan pergerakan dada.
  • Teruskan bernafas. Alihkan tumpuan pada bahagian perut. Rasakan turun naik di bahagian perut.
  • Jika fikiran melayang ke tempat lain, biarkan sahaja. Kembalikan semula fokus pada keluar masuk udara di hidung, pergerakan di dada dan perut.
  • Selepas dua minit, bolehlah mula membaca zikir. Ambil perkataan dua suku kata. Contohnya nama ‘Allah’. Ini akan mengaktifkan Frontal Lobe.
  • Praktiskan lima minit dulu. Buat selama 12 hari. Tujuan utamanya untuk belajar tenteramkan Parietal Lobe.
  • Apabila praktis setiap hari ini sudah dapat rentaknya, setiap kali lepas solat, lakukan aktiviti ini.
  • Ketika hendak solat, rancang aktiviti ini. Berikan masa dan ruang untuk bertenang.
  • Selepas zikir dan sebelum mulakan solat, bernafas dengan tenang. Kemudian, berdiri dan bernafas dengan tenang.
  • Semasa solat, pernafasan perlu dijaga. Rentak nafas perlu selari dengan bacaan. Contohnya, tarik nafas dan baca ayat. Kemudian, berhenti dan tarik nafas untuk ayat berikutnya.
  • Akhir sekali, fokus pada sebutan bacaan. Apabila fikiran tak fokus, tarik nafas dan lepaskan. Sambung semula apabila dapat fokus semula.

Kesimpulannya, marilah kita meningkatkan kualiti solat dengan khusyuk dalam melaksanakannya.

Khusyuk dalam solat juga memberikan kesempurnaan pahala. Untuk seketika, lupakan semua hal duniawi, fokuskan jiwa dan raga pada Sang Pencipta.

Memang menjadi kewajipan kita untuk khusyuk dan memberikan yang terbaik untuk Allah SWT. Banyakkan bertaubat dan beristighfar serta bersungguh-sungguh dalam berdoa. Semoga semua amalan kita akan diterima oleh Allah SWT.

Selain dari panduan khusyuk solat ini, anda juga boleh baca artikel kami yang lain berkaitan solat seperti:

Sumber:

  1. Bayan Linnas Siri Ke-82: Khusyuk Solat: Hukum dan Cara Mendapatkannya. Mufti Wilayah Persekutuan
  2. Khusyuk dan Kejayaan. Ustaz Wadi Annuar

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.