Nak tahu khasiat susu kambing? Artikel ini adalah tentang khasiat ssusu kambing dari sudut kesihatan dan sains.
Di negara-negara Asia, susu kambing masih belum mendapat tempat sebagai pilihan utama dalam diet makanan seharian. Susu lembu lebih menjadi pilihan kerana lebih mudah didapati dan murah harganya. Namun, di kebanyakan negara Eropah, susu kambing berada pada kedudukan yang lebih premium dan dinikmati sebagai produk istimewa.
Disebabkan susu lembu lebih banyak dikomersialkan, ramai yang tidak menyedari akan manfaat susu kambing ini. Bahkan, susu kambing sering dikaitkan dengan baunya yang kurang menyenangkan dan rasanya yang kurang enak berbanding susu lain.
Namun, kini bertepatan dengan teknologi dan kecanggihan, susu kambing boleh didapati dalam pelbagai bentuk serbuk serta dalam pelbagai campuran perisa yang tentunya lebih sedap. Selain diminum sebagai susu begitu sahaja, susu kambing juga selalu diproses menjadi keju, mentega, aiskrim serta yogurt.
Selain susu yang rendah kolesterol, terdapat banyak kebaikan susu kambing kepada kesihatan. Fakta-fakta ini diolah daripada kertas penerbitan saintifik oleh penyelidik Amerika Syarikat pada tahun 2004.
Susu kambing mempunyai kalsium yang tinggi yang mampu menjaga tulang ke tahap optimum, berbanding susu lain. Umum mengetahui yang kalsium amat baik untuk menghalang masalah osteoporosis atau kerosakan tulang.
Satu gelas susu kambing mengandungi lebih 300 mg kalsium yang merupakan 1/3 daripada keperluan untuk kanak-kanak, berbanding kalsium dalam susu lembu sebanyak 125mg.
Kajian ke atas 38 kanak-kanak selama 5 bulan yang mengambil diet susu kambing menggantikan susu lembu mendapati kesan perbezaan yang positif dari segi pertambahan berat, ketinggian, pembentukan mineral dalam tulang dan kandungan darah yang tinggi dengan vitamin A, kalsium, sel darah merah dan sebatian antioksidan yang lain.
Dengan meminum susu kambing juga dapat mengelakkan keradangan atau ketidakselesaan kepada perut yang biasanya terjadi kepada mereka yang minum susu lembu.
Menurut kajian, dalam susu kambing terkandung prebiotik semulajadi yang dapat mengurangkan keradangan usus lalu menjadikan sistem pencernaan lancar dan sihat.
Komposisi kimia susu kambing lebih dekat kepada susu manusia berbanding susu lembu. Oleh itu, badan kita mendapat lebih nutrien menerusinya. Menurut kajian, susu kambing juga mempunyai khasiat yang hampir menyamai susu ibu.
Susu kambing kurang memberikan tekanan kepada proses pencernaan. Selain itu susu kambing sendiri juga mudah dicerna. Proses pencernaan susu kambing hanyalah 20 minit berbanding susu lembu yang melebihi 2 jam.
Tambahan pula, kajian klinikal di Perancis dalam tempoh pemantauan 20 tahun mendapati bahawa susu kambing lebih mudah dicerna kerana tidak menyebabkan alahan sebagaimana yang disebabkan oleh susu lembu. Terdapat peningkatan sebanyak 93% bagi kanak-kanak yang mengambil susu kambing berbanding susu lembu.
Satu cawan susu kambing memberikan hampir 40% keperluan kalsium harian kita, 20% pengambilan vitamin B, selain fosforus dan potassium.
Bagi mereka yang menghidap anemia, susu kambing sangat baik dan sesuai untuk anda kerana ia boleh meningkatkan kadar zat besi.
Di Sepanyol pula, penyelidik mereka mengkaji serapan susu kambing oleh sampel tikus makmal. Pencernaan dan serapan zat besi dan kuprum didapati meningkat.
Hal ini ternyata membantu dalam pencegahan anemia dalam tubuh.
Susu kambing dapat mengimbangkan asid lemak dalam tubuh. Ini dapat mengelakkan kita daripada penyakit strok, jantung, dan pelbagai lagi komplikasi koronari.
Jika dibandingkan dengan susu lembu, susu kambing menyeimbangkan pertambahan lemak dan berat. Kandungan kolesterol didapati berkurangan manakala kandungan kolesterol baik yang lain adalah kekal normal.
Kajian saintifik menemui kehadiran rantaian trigliserida medium (36% dalam susu kambing berbanding 21% dalam susu lembu) yang berperanan menurunkan kandungan kolesterol dalam darah.
Kandungan potassiumnya yang tinggi membantu merendahkan tekanan darah.
Selenium dalam susu kambing melindungi kita daripada penyakit dan menghalang jangkitan. Ini kerana selenium merupakan komponen penting dalam sistem ketahanan badan.
Susu kambing kaya dengan protein yang penting untuk pertumbuhan. Ia membentuk sel, tisu, otot, dan tulang. Oleh itu, proses metabolisme kita dilindungi, pertumbuhan dirangsang, dan sekaligus memastikan kesihatan tubuh secara keseluruhan.
Namun, komposisi protein dalam susu kambing ini sebenarnya dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti baka genetik, peringkat pemerahan susu, iklim cuaca dan usia kambing tersebut.
Protein dalam susu kambing adalah lebih kurang dengan susu lembu dan berbeza pada struktur molekul sahaja. Namun, perkara ini yang membezakan alahan susu lembu yang lebih teruk kepada manusia berbanding susu kambing.
Asid lemak yang ada dalam susu kambing lebih tinggi berbanding yang ditemui dalam susu lembu. Tapi, ia kurang lemak jahat. Ini bermaksud yang ia membantu dalam menurunkan berat badan tanpa mengabaikan keperluan nutrien.
Jadi, anda boleh mula menyimpan susu kambing dalam peti sejuk anda untuk mendapatkan keperluan nutrisi harian anda. Ia juga pengganti yang bagus bagi mereka yang tidak suka minum susu lembu tapi mahu mendapatkan khasiat daripada susu.
Nilai pH susu kambing adalah beralkali. Dalam kajian yang dijalankan, didapati kandungan asid lemak dalam susu kambing adalah lebih tinggi berbanding dalam susu lembu. Kandungan selenium pula adalah paling tinggi berbanding semua jenis susu
Berikut kandungan gizi dalam susu kambing adalah lebih tinggi berbanding susu lembu, iaitu:
Sebelum itu, suka untuk diingatkan bahawa kanak-kanak sangat tidak digalakkan untuk meminum susu kambing semasa mereka masih menyusu badan sama ada menggunakan botol, mereka juga tidak digalakkan meminumnya selepas berhenti menyusu.
Tunggulah sehingga usia mereka meningkat pada tahap komposisi nutrien susu kambing lebih serasi dengan mereka. Justeru, pilihlah susu yang lebih sesuai untuk kanak-kanak dan bayi.
Ini kerana terdapat kajian yang membuktikan susu kambing tidak sesuai diminum oleh kanak-kanak kerana keperluan nutrisi yang tidak sesuai dalam tempoh perkembangan mereka.
Kesimpulannya, susu kambing adalah susu yang sangat digemari oleh Rasulullah SAW, bahkan jika diamalkan ianya menjadi perbuatan sunnah. Pasti ada sebabnya Baginda sangat menggemari susu kambing ini berbanding susu lain. Selain itu, ada pendapat menyatakan susu kambing adalah susu terbaik selepas susu ibu.
Jadi dengan segala kebaikan khasiat dan keistimewaan kandungannya kita mestilah menghargai anugerah Allah ini dengan menjadikan susu kambing ini sebagai diet tambahan ataupun sumber makanan utama seharian. Semoga kita sama-sama mendapat manfaatnya. Jenis susu kambing terbaik? Banyak sahaja, boleh dapatkan di Shopee atau Lazada pada harga yang berbaloi.
Artikel ini telah dikemas kini oleh Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof.
Selain artikel ini, ada beberapa artikel lain yang boleh anda baca.