Jom kenali khasiat peria katak.
Peria katak atau nama saintifiknya Momordica charantia, sejenis sayuran pahit rasanya tetapi memiliki seribu satu khasiat kepada kesihatan manusia. Peria katak mempunyai kandungan kalori yang rendah. Ia kaya dengan zat besi, vitamin B1, B2, B3, kalsium, fosforus, magnesium, asid folik, folat, zink dan manganese yang sangat tinggi.
Kandungan beta-karotenenya 2 kali ganda lebih banyak daripada yang terdapat dalam brokoli. Kalsiumnya 2 kali ganda lebih banyak daripada bayam dan potasssiumnya 2 kali ganda lebih banyak daripada pisang.
Sebenarnya, sejak zaman purba lagi peria sudah digunakan bagi merawat asma, sembelit, malaria, demam, selesema, cacing, batu karang, buah pinggang, buasir dan kulit melecur lantas menunjukkan kebaikan tumbuhan ini untuk dijadikan makanan harian.
Masyarakat di Amerika memanfaatkan khasiat peria katak untuk mengubati demam malaria dengan memasukkannya dalam pemakanan mereka yang dijangkiti demam malaria.
Namun, kajian oleh Kohler dan rakan-rakan pada tahun 2002 mencatatkan bahawa ekstrak peria katak memberikan kesan antimalaria yang agak rendah dan sederhana yang tidak boleh melawan serangan malaria ini secara sepenuhnya.
Sementara itu, terdapat juga laporan daripada penyelidik lain yang langsung tidak memerhatikan kesan antimalaria daripada ekstrak peria katak.
Bagi masyarakat Melayu, selain dijadikan ulam, peria katak umpamanya, berperanan sebagai jus minuman harian kerana dipercayai menjadi penawar diabetes. Penyelidik mendapati peria katak memberi kesan hipoglisemik dan bertindak menurunkan paras gula dalam darah.
Peria katak sememangnya dikaji secara meluas bagi kesan antidiabetik setiap bahagian tumbuhannya seperti bunga, biji benih, daun dan keseluruhan pokok.
Penyelidik-penyelidik berkenaan melaporkan bahawa pengambilan peria katak ternyata berkesan menurunkan kandungan gula dalam darah dan meningkatkan plasma insulin. Didapati. peria katak meningkatkan bilangan sel beta yang berfungsi menambah pengeluaran insulin bagi menurunkan gula dalam darah.
Cara paling mudah membantu merawat diabetes adalah dengan mengambil jus peria katak setiap pagi. Bagi mengurangkan rasa pahit, peria boleh dicampurkan dengan epal hijau dan oren.
Peria katak membantu menyerapkan bahan terkandung pada peria ke dalam hati dan otot seterusnya merangsang kandungan glikogen untuk tenaga.
Dilaporkan, peria katak mengandungi 332.62 kcal bagi setiap 100 gram. Pengkaji dari India, mendapati bahawa secara umumnya, peria katak kaya dengan kandungan karbohidrat (50.9%), protein (14.7%), lipid (7.9%) dan serat (15.2%).
Selain menjadi penawar kencing manis, peria katak membantu melambatkan proses pengosongan perut, meningkatkan sel beta dalam pankreas dan seterusnya melambatkan kadar penyerapan glukosa.
Seterusnya, peria katak mengandungi phytoinsulin yang boleh menurunkan kadar gula dan mampu menangani masalah berat badan berlebihan.
Peria katak juga dapat merangsang hati untuk merembes jus hempedu yang sangat penting untuk tingkatkan metabolisme badan. Oleh itu peria katak dipercayai turut berfungsi dalam membantu menurunkan berat badan jika diamalkan selalu.
Peria katak mengandungi sejenis multi vitamin semula jadi yang sarat dengan nutrisi dan 20 bahan kimia aktif yang bertindak sebagai anti HIV.
Kajian seawal tahun 2000an lagi ada merekodkan kehadiran protein perencat HIV seperti MRK29 dan lectin. Potensi menjadikannya sebagai ubatan penawar HIV terus giat dijalankan sehingga hari ini.
Penyelidikan antitumor juga mendapati bahawa ekstrak tulen peria katak mempunyai kesan antikanser yang berkesan bagi melawan leukemia, limfoma, melanoma, kanser payu dara, kanser kulit, kanser prostat, penyakit Hodgkin dan karsinoma pundi kencung serta lidah dan larinks.
Air rebusan peria katak boleh digunakan untuk menyejukkan bahagian dalaman tubuh. Petua ini sesuai juga diambil ketika musim panas.
Campurkan jus peria katak dengan madu untuk tujuan menjaga kesihatan paru-paru. Ia juga boleh diamalkan dengan minum setiap hari untuk merawat masalah lelah. Mengikut Pakar Perubatan Cina, dengan menggunakan air rebusan peria dapat merawat penyakit lelah.
Jika ingin banyakkan susu badan, anda hanya perlu rebus peria katak dan jadikan sebagai ulaman bersama dengan nasi.
Namun, perkara ini hanyalah dianggap sebagai petua dan tips yang diajarkan oleh mereka yang pernah mengamalkannya.
Dari segi sudut saintifik, para penyelidik seperti Enwerem dan rakan-rakan pada tahun 2018 tidak menjumpai kaitan antara pengambilan peria katak dengan pertambahan susu badan.
Peria katak membantu mengecutkan rahim bagi ibu yang baru bersalin atau keguguran. Walau bagaimanapun, buah peria tidak digalakkan diambil oleh golongan ibu mengandung kerana boleh mengecutkan uterus dan menggalakkan kelahiran bayi pra-matang.
Kenyataan ini disokong oleh penemuan saintifik yang dijalankan seawal tahun 1980an oleh para penyelidik yang mendapati kehadiran protein beta-momorcharin bertanggungjawab dalam merendahkan atau menghentikan aktiviti pertambahan sel dinding rahim.
Oleh itu, bagi wanita yang mengalami masalah haid yang lama akibat darah yang keluar sedikit-sedikit, bolehlah mengambil peria katak sepanjang tempoh haid.
Peria katak juga dikatakan berkesan dalam penjagaan kecantikan kulit. Peria katak dapat membantu menghalang jerawat tumbuh pada kulit muka kerana mengandungi ciri penulenan darah.
Secara saintifiknya, peria katak mengandungi kesan rencatan enzim guanylate cyclase. Tidak hairanlah apabila secara tradisional, peria katak sering digunakan untuk mengubati masalah kulit seperti psoriasis.
Begitu juga bagi wanita yang baru bersalin, disyorkan mengamalkan makan peria katak sepanjang waktu berpantang. Lebih-lebih lagi apabila sudah kehilangan banyak darah sewaktu melahirkan anak.
Peria katak akan dapat mengembalikan tenaga untuk ibu kembali aktif dan sihat dengan kandungan nutrien yang terkandung dalam peria katak sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini.
Secara tradisional, daun peria katak cukup berkesan untuk merawat penyakit buasir.
Caranya mudah, ambil rebusan daun peria katak dan campurkan dalam segelas susu. Amalkan minum air ini setiap pagi. Manakala akarnya pula jika dihancurkan boleh digunakan untuk disapukan di tempat buasir.
Peria katak sememangnya agen pencernaan yang bagus dan membantu menghalang daripada terjadinya sembelit kerana peria katak mengandungi selulosa yang merupakan sumber serat terbaik.
Selain itu, rasa pahit peria katak dilaporkan berperanan merangsang hormon aktif pencernaan dalam sistem penghadaman secara keseluruhan.
Berdasarkan petua orang lama, peringkat awal taun boleh dirawat dengan campuran jus daun peria katak dengan jus bawang merah dan jus limau.
Komuniti saintifik pula belum melaporkan penemuan sebegini.
Peria katak meningkatkan sistem imun dan ketahanan badan terhadap jangkitan penyakit.
Dalam kajian in vivo yang menggunakan model sel manusia, ekstrak peria katak menunjukkan peningkatan ketahanan imuniti melalui kehadiran dua jenis protein yang terdapat dalam peria katak iaitu jenis momorcharin alfa dan beta.
Itulah dia khasiat peria katak yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Jika anda sukakan artikel ini, anda juga pasti akan sukakan perkongsian kami mengenai khasiat lengkuas , khasiat buah delima, dan khasiat aloe vera.
Artikel ini telah dikemaskini oleh Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof.