Hendak tahu khasiat Arabic Gum? Jom baca artikel ini.

Pengenalan

Arabic Gum merupakan sejenis getah yang keluar dari pokok Acacia senegal dan Acacia sayel berbentuk kristal yang banyak terdapat di negara Sudan. Secara kimianya, Arabic Gum Gum merupakan rantaian kompleks polisakarida dengan rantaian bercabang mengandungi campuran glikoprotein, kalsium, magnesium dan garam kalium asid polisakaridik.

Acasia senegal adalah jenis Arabic Gum yang terbaik dan biasanya digunakan untuk makanan tambahan kesihatan dan dalam industri-industri pemakanan dan perubatan. Manakala Acacia seyal pula biasanya digunakan untuk industri.

arabic gum

Imej via wabillahi

Ada juga pendapat yang mengatakan terdapat tafsir Al Quran mengaitkan Al Manna yang disebut dalam surah Al Baqarah ayat 57 merupakan Arabic Gum.

Sebahagian pengkaji meyakini bahawa getah yang keluar dari pokok tersebut adalah Arabic Gum. Tafsiran ini bukanlah satu-satunya pengertian yang dikemukakan, tetapi apabila melihat kepada manfaat dan kebaikannya, tafsiran ini dirasakan mungkin menepati pengertian bahawa Arabic Gum ini adalah salah satu daripada al-Manna diturunkan kepada Nabi Musa a.s. dan kaumnya.

8 Khasiat Arabic Gum Untuk Kesihatan

gam arab

Imej via ingredientsnetwork

Arabic Gum banyak khasiat untuk kesihatan anda. Ia juga sesuai dijadikan makanan tambahan atau snek harian anda. Antara khasiatnya ialah:

1) Melegakan Kesakitan Dan Kerengsaan

Arabic Gum mempunyai tekstur yang melekit. Bahan yang melekit sering digunakan untuk mengurangkan kerengsaan dan keradangan. Arabic Gum telah terbukti berkesan terutama dalam meredakan ketidakselesaan perut atau tekak.

Menurut Ali et al. pada tahun 2013, kajian ke atas tikus makmal yang diberikan minum air yang mengandungi Arabic Gum selama 4 minggu, menunjukkan peningkatan kualiti antioksidan dalam melawan keradangan yang dialami tikus mereka.

2) Menyembuh Luka

Arabic Gum sering digunakan dalam rawatan untuk menyembuhkan luka. Pengamal perubatan percaya bahawa kesan ini mungkin disebabkan oleh beberapa bahan kimianya, seperti alkaloid, glikosida, dan flavonoid.

Dalam satu kajian tahun 2013 di UAE, arabic gum diuji pada tikus sebagai sebahagian daripada rawatan penyembuhan luka. Hasil menunjukkan penyembuhan luka lebih cepat daripada rawatan standard. 

3) Kesihatan Mulut

Imej via Bidadari

Ekstrak Arabic Gum boleh digunakan dalam produk pergigian seperti cuci mulut untuk mencegah gingivitis atau keradangan gusi.

Kajian yang lebih lama dari tahun 1999 menunjukkan bahawa serbuk gigi herba yang dicampur serbuk al-manna membersihkan dengan lebih dua pertiga daripada plak gigi, dan hampir 100 peratus dalam beberapa kes.

Laporan oleh penyelidik bernama Noura Salih pada tahun 2018 menyatakan bahawa kandungan mineral dalam Arabic Gum membantu dalam proses penghasilan mineral pada gigi untuk menjadikan gigi yang lebih kuat.

4) Sumber Serat yang Baik

Arabic Gum mengandungi serat pemakanan larut air (WSDF) yang bukan hanya serat yang baik untuk diet anda tetapi juga membantu merendahkan tahap kolesterol anda.

Satu kajian menunjukkan bahawa pengambilan 15 gram Arabic Gum dalam bentuk cecair setiap hari membantu mengurangkan kolesterol dalam darah. Walaupun diterbitkan pada tahun 1992, namun kajian ini paling komprehensif menunjukkan kesan Arabic Gum terhadap kolesterol dalam darah.

Serat pemakanan larut air juga boleh membantu anda mengekalkan berat badan yang sihat dan baik untuk kesihatan kardiovaskular. FDA juga turut mengiktiraf Arabic Gum sebagai sumber serat yang baik dalam banyak makanan popular, termasuk bijirin, jus, dan yogurt.

5) Melegakan Batuk dan Sakit Tekak

Disebabkan Arabic Gum berfungsi mengurangkan kerengsaan dan keradangan, jadi ia juga boleh membantu mengawal batuk. Ciri-ciri Arabic Gum membolehkan ia digunakan untuk melindungi lendir di kerongkong anda daripada kerengsaan.

Menggunakan al-manna untuk batuk boleh mengekalkan kerongkong anda menjadi sakit serta melegakan atau mencegah kehilangan suara. 

6) Mengehadkan kehilangan darah

Imej via Bidadari

Arabic Gum juga boleh digunakan untuk membantu menghentikan aliran darah pada luka. Tuang cairan Arabic Gum pada luka, ia boleh membantu menghentikan pendarahan dan membasmi bakteria pada luka tersebut.

Pada tahun 2017, pengkaji bersama dari Turki dan Pakistan menghasilkan mikrogel daripada Arabic Gum. Mereka berjaya meningkatkan indeks pembekuan darah pada luka yang diletakkan mikrogel ini.

Selain itu, mikrogel tersebut turut menunjukkan kesan antibakteria yang baik sekaligus mempercepatkan lagi proses penyembuhan luka.

7) Kesihatan Usus

Arabic Gum dianggap sebagai prebiotik yang sangat bagus. Banyak kajian yang dilakukan menyokong perkara ini. Antaranya kajian yang diterbitkan oleh Br. Jour. Nutrition Mac 2008, mereka membandingkan Arabic Gum dan inulin  sebagai prebiotik.

Kajian klinikal ke atas manusia yang diberi 10mg arabic gum dan 10g inulin setiap hari selama 4 minggu. Hasil menunjukkan, pertambahan bakteria Bifidobacteria dan Lactobacili termasuk Bacteroides dalam najis lebih tinggi dalam sampel Arabic Gum berbanding inulin.

8) Rawatan Alternatif Diabetes

Arabic Gum dipercayai dapat membantu menurunkan paras kreatinin dan gula dalam darah untuk pesakit buah pinggang dan diabetes. Malah, ia bagus diamalkan oleh setiap pesakit diabetes kerana punca kerosakan buah pinggang adalah disebabkan oleh diabetes.

Dipercayai dengan mengamalkan pengambilan al-manna pada peringkat awal diabetes, ia dapat mengawal, melambatkan dan juga mengurangkan tahap kerosakan buah pinggang bagi pesakit diabetes.

Selain itu, penyakit diabetes sering berkaitan dengan masalah kualiti sperma air mani bagi pesakit lelaki. Kajian oleh penyelidik bersama dari Sudan dan China pada tahun 2016 mendapati bahawa pengambilan Arabic Gum selama 10 minggu oleh tikus yang diabetik menunjukkan peningkatan kualiti sperma.

Keupayaan antioksidan Arabic Gum dipercayai berkesan dalam mengurangkan risiko komplikasi akibat diabetes.

Kesimpulan

Arabic Gum kaya dengan serat dan terkenal dengan sifat prebiotiknya. Ia sesuai dijadikan makanan tambahan bagi pesakit diabetes dan paras kolesterol yang tinggi. Namun, ia juga boleh dijadikan snek harian untuk kekalkan tahap kesihatan kerana khasiatnya yang banyak.

Walau bagaimanapun, bagi pesakit kronik, sebelum anda mengamalkan Arabic Gum sebagai rawatan alternatif anda, anda seharusnya berbincang dan merujuk kepada doktor anda.

Rujukan:

  1. Healthline
  2. Hyperbiotics
  3. Herba dan pemakanan
  4. Wabillahi
  5. Ali, B. H., Al-Husseni, I., Beegam, S., Al-Shukaili, A., Nemmar, A., Schierling, S., … & Schupp, N. (2013). Effect of gum arabic on oxidative stress and inflammation in adenine–induced chronic renal failure in rats. PloS one8(2), e55242.
  6. Farooq, M., Sagbas, S., Sahiner, M., Siddiq, M., Turk, M., Aktas, N., & Sahiner, N. (2017). Synthesis, characterization and modification of Gum Arabic microgels for hemocompatibility and antimicrobial studies. Carbohydrate polymers156, 380-389.
  7. Fedail, J. S., Ahmed, A. A., Musa, H. H., Ismail, E., Sifaldin, A. Z., & Musa, T. H. (2016). Gum arabic improves semen quality and oxidative stress capacity in alloxan induced diabetes rats. Asian Pacific Journal of Reproduction5(5), 434-441.
  8. Salih, N. K. (2018). Applications of gum arabic in medical and health benefits. In Gum Arabic (pp. 269-281). Academic Press.

Artikel Menarik Lain

Anda suka abca artikel khasiat arabic gum ini? Jika ya, jangan lupa untuk share dan like ya. Selain itu, kami juga ada artikel menarik yang lain. Jemput baca.

 

Artikel ini telah dikemaskini oleh Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof.

Penulis: Aniuna

Penulisan sebagai medium berkongsi info dan ilmu kepada masyarakat. Semoga bermanfaat.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.