Jom baca mengenai khasiat labu! Tahukah anda, labu juga merupakan salah satu makanan kegemaran junjungan nabi kita, nabi Muhammad S.A.W

Pengenalan

Labu merupakan buah daripada pokoknya yang menjalar berbentuk bulat dengan kulit luar yang keras mengandungi isi dan biji benih berwarna kekuningan hingga oren.

Labu mempunyai banyak varieti, antara spesis labu ialah Cucurbita pepo, Cucurbita maxima, Cucurbita argyrosperma dan Cucurbita moschata.

Labu sebenarnya berasal dari benua Amerika Utara yang banyak ditanam di selatan Amerika Syarikat dan timur laut Mexico yang dikesan telah digunakan dalam kehidupan seharian sejak tahun 7500 hingga 5000 Sebelum Masihi.

Kini, China merupakan negara pengeluar labu terbesar dunia, diikuti India, Rusia, Ukraine dan Amerika Syarikat.

Labu enak dijadikan sayuran atau hidangan pemanis mulut, malah budaya Barat menjadikannya sebagai lambang hiasan khususnya semasa musim perayaan mereka.

Buah labu ini mengandungi lemak, protein, kalori, beta karoten, zat besi, kalium, natrium, fosfor, kalsium, vitamin A, vitamin C, vitaim E, vitamin K, vitamin B6, lutein, niasin, dan pelbagai nutrisi lain.

Imej via Bidadari

Labu Makanan Kegemaran Nabi Muhammad

Tahukah anda bahawa Rasulullah S.A.W  amat menyukai buah labu dan menjamu sebagai hidangan yang istimewa kepada sahabat-sahabatnya. Baginda sendiri menyuruh isterinya, Aisyah R.A supaya memasukkan labu di dalam kuah gulainya.

Terdapat riwayat yang sahih datang daripada Anas bin Malik r.a. bahawa beliau mengkhabarkan, ada seorang tukang jahit mengundang Rasulullah s.a.w. makan di rumahnya, menikmati hidangan masakannya sendiri.

Anas berkata: “Lalu aku pun pergi bersama Rasulullah. Kemudian dihidangkan kepada kami roti gandum dan sayur berisi labu  dan dendeng*. Aku melihat Rasulullah s.a.w. selalu mencari labu di mana sahaja berada di sekitar bejana makanan tersebut. Sejak hari itu aku pun ikut menyukai labu.” (Rujuk al-Ahkam, 11/65-67).

Abu Talut mengkhabarkan, “Aku pernah menemui Anas bin Malik makan labu sambil berkata: ‘Sungguh engkau berasal dari pohon yang paling kusukai, kerana Rasulullah s.a.w. amat menyukaimu.”

Dalam Al-Ghailaniyyat disebut hadis daripada Hisyam bin Urwah, daripada ayahnya, daripada Aisyah r.ha. mengkhabarkan,“Rasulullah s.a.w. pernah berkata kepadaku: ‘Wahai Aisyah, jika engkau memasak makanan, banyakkanlah labu,sesungguhnya labu itu boleh mengubat kesedihan.”

Imej via Bidadari

Apakah khasiat labu?

1. Kaya dengan serat. Baik untuk penghadaman

Labu bersifat sejuk dan lembap, boleh memberikan suntikan zat ringan, mudah masuk ke dalam perut, meskipun belum rosak sebelum dihadamkan dan menghasilkan hampas yang baik.

Sebahagian daripada khasiatnya adalah memberi serat yang baik sesuai dengan vitamin yang dikandungnya.Labu mempunyai sumber serat yang tinggi, iaitu kira-kira 10 gram dalam sebiji labu.

2. Mengatasi rabun dan ketidakseimbangan gula dalam darah

Buah labu merupakan sejenis sayur-sayuran yang kaya dengan pelbagai sumber khasiat yang berguna untuk kesihatan tubuh manusia. Jika seseorang itu menghadapi rabun, terutama sekali pada waktu malam atau ketidakseimbangan gula dalam darah, maka labu merah adalah menu yang sesuai untuk diet bagi tubuh.

Hal ini demikian kerana, analisis makmal dalam kajian lepas mendedahkan vitamin A dan vitamin C adalah dua jenis vitamin yang paling tinggi dalam isi labu.

3. Mengawal nafsu makan

Imej via Bidadari

Selain vitamin A dan C, labu juga mengandungi sumber kalsium, fosforus, zat besi, beta karotid dan serat.

Dilaporkan bahawa sumber serat atau fiber yang tinggi dalam labu turut berfungsi mengawal nafsu makan dengan memberi rasa kekenyangan yang lebih lama.

4. Mengawal diabetes

Labu yang dimasak juga baik untuk mengawal diabetes.

Kajian yang diterbitkan dalam Journal of Medicinal Food  pada tahun 2007, membandingkan kesan antidiabetes antara pengambilan labu, kekacang dan jagung.

Hasilnya, labu merupakan pilihan diet yang terbaik berbanding kekacang dan jagung yang ternyata berkesan menurunkan dan mengawal paras gula dalam darah.

5. Mengatasi masalah kecacingan

Satu lagi kebaikan yang jarang didedahkan tentangnya ialah khasiat untuk kanak-kanak yang menderita kecacingan. Penyakit itu boleh dirawat dengan makan biji labu sebelum tidur.

Caranya biji labu dikeringkan dan ditumbuk halus sebelum dicampurkan dengan air suam. Tapiskan campuran itu dan airnya diminum.

Hal ini disokong melalui ulasan para penyelidik dari China pada tahun 2006 yang diterbitkan dalam jurnal Plant Foods for Human Nutrition yang melaporkan kesan antiparasit apabila labu diamalkan dalam diet makanan.

6. Memulihkan kerosakkan kulit

Imej via Bidadari

Fungsi vitamin A dan beta karoten  sangat berguna bagi kesihatan mata dan kulit, daya ketahanan tubuh serta peranakan .Alpha karoten yang terdapat di dalam labu juga dapat mengelakkan dari terkena penyakit barah, awet muda dan terlindung daripada penyakit katarak.

Selain itu, karotenoid mengurangi risiko penyakit kardiovaskular dan meningkatkan antibodi di dalam tubuh badan kita.

7. Melancarkan peredaran darah di dalam badan

Fungsi asid pantothenik di dalam labu ialah vitamin ini dapat melancarkan peredaran darah di dalam badan. Ia secara tidak langsung dapat mengurangkan stress.

8. Menurunkan kolesterol dalam darah dan mencegah kanser

Ia juga dapat menurunkan kolestrol di dalam badan dan dapat mencegah daripada terkena kanser.

Kajian yang diterbitkan oleh Cambridge University Press pada tahun 2010 menunjukkan bahawa labu yang kaya dengan alkaloids, flavonoids, palmitic, asid oleik dan asid linoleik memberi kesan positif dalam merendahkan kolesterol selain melawan radikal bebas dalam tubuh yang boleh menyebabkan kanser.

9. Menguatkan struktur tulang

Labu terutama labu kuning dipercayai mempunyai zat magnesium dan kalsium yang tinggi. Zat magnesium di dalam labu dapat menguatkan struktur tulang dan gigi. Magnesium juga berperanan penting untuk melindungi fungsi jantung dan menjamin kondisi badan kita.

10. Menjaga Kesihatan Kandungan

Ia amat sesuai kepada ibu yang mengandung kerana ia dapat menjamin kesihatan anak di dalam kandungan kerana labu kaya dengan khasiat zat besi. Ia berupaya membawa oksigen di dalam badan yang secara tidak langsung dapat mengekalkan kesihatan dan fungsi otak bayi.

11. Menyihatkan mata

Imej via Bidadari

Kandungan vitamin A dalam buah ini salah satu khasiatnya adalah membuat penglihatan Anda menjadi lebih tajam.

12. Mencegah hipertensi

Buah labu mengawal tekanan darah dan mencegah penyakit hipertensi atau tekanan darah tinggi.

Hal ini disokong secara penyelidikan saintifik oleh Kwon dan rakan-rakan pada tahun 2007 yang melihat kesan kehadiran fenolik dan antioksidan lain dalam labu yang membantu aktiviti enzim dalam mengawal tekanan oksidatif peringkat selular dan seterusnya mengawal tekanan darah.

Itulah dia khasiat labu yang ingin kami kongsikan kepada anda. Jika anda sukakan artikel ini, anda juga pasti akan sukakan perkongsian kami tentang khasiat kopi, khasiat aloe vera, dan khasiat peria.

Rujukan

  1. Caili, F. U., Huan, S., & Quanhong, L. I. (2006). A review on pharmacological activities and utilization technologies of pumpkin. Plant foods for human nutrition61(2), 70-77. (link)
  2. Kwon, Y. I., Apostolidis, E., Kim, Y. C., & Shetty, K. (2007). Health benefits of traditional corn, beans, and pumpkin: in vitro studies for hyperglycemia and hypertension management. Journal of medicinal food10(2), 266-275. (link)
  3. Lazos, E. S. (1986). Nutritional, fatty acid, and oil characteristics of pumpkin and melon seeds. Journal of Food Science51(5), 1382-1383. (link)
  4. Stevenson, D. G., Eller, F. J., Wang, L., Jane, J. L., Wang, T., & Inglett, G. E. (2007). Oil and tocopherol content and composition of pumpkin seed oil in 12 cultivars. Journal of agricultural and food chemistry55(10), 4005-4013. (link)
  5. Yadav, M., Jain, S., Tomar, R., Prasad, G. B. K. S., & Yadav, H. (2010). Medicinal and biological potential of pumpkin: an updated review. Nutrition research reviews23(2), 184-190. (link)

 

Artikel ini telah dikemaskini oleh Dr. Muhammad Jefri bin Mohd Yusof.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.