Selain haruman bau daun pandan dalam hidangan dan wangian di sesebuah ruang, daun pandan ada banyak khasiat kesihatannya juga! Jom baca artikel ini untuk lebih tahu khasiat daun pandan.

Pandan atau Pandanus amaryllifolius adalah tumbuhan yang biasa digunakan terutamanya untuk masakan di Malaysia dan negara-negara lain di Asia Tenggara. Terdapat dua jenis pokok pandan iaitu pandan biasa dan pandan wangi.

Pokok pandan biasa ialah jenis yang biasa kita tanam di sekeliling rumah dan digunakan untuk kegunaan harian sementara pokok pandan wangi adalah lebih kecil dan berbau lebih wangi. Pandan wangi biasanya digunakan secara komersial untuk membuat kosmetik dan wangian.

Masyarakat kita biasanya menggunakan daun pandan dalam masakan namun tahukah anda bahawa selain mengharumkan masakan dan menaikkan aromanya, daun pandan juga mempunyai pelbagai khasiat yang baik untuk tubuh badan.Istimewa untuk anda, hari ini kami akan kongsikan khasiat daun pandan yang pasti membuatkan anda nak masukkan daun ini dalam setiap masakan anda selepas ini.

Imej via Bidadari

1. Menaikkan selera makan

Cuba perhatikan, apabila anda makan nasi lemak yang dibungkus dalam daun pandan, aromanya sahaja sudah membuka selera anda. Makin berselera anda untuk makan. Berbanding nasi lemak yang dibungkus dalam kertas biasa.

Malah, teh yang diserikan dengan daun pandan juga terasa lebih wangi dan menyelerakan. Sebaik sahaja anda mendapat tegukan yang pertama, keharumannya pasti membuatkan anda inginkan tegukan yang kedua.

Khasiat daun pandan yang pertama ialah untuk membantu menaikkan selera makan. Oleh itu, kalau anda berasa seperti tiada selera untuk makan, masukkan daun pandan ke dalam makanan dan minuman anda kerana aroma dari daun pandan akan menaikkan selera makan anda.

Penyelidik dari Thailand pada tahun 1993 telah mengenal pasti sebatian utama yang memberikan aroma daun pandan iaitu 2-acetyl-1-pyrroline.Sebatian ini dikenal pasti tidak bersifat toksik mahupun menyebabkan ketagihan. Malah, aroma ini banyak dikembangkan secara sintetik untuk menhasilkan bauan pandan tiruan dalam pelbagai produk industri.

2. Mengatasi sembelit atau cirit-birit

Orang dulu-dulu sangat bijak dalam menggunakan sumber alam sebagai ubat-ubatan. Selain untuk mewangikan masakan, daun pandan juga digunakan dalam masakan kerana ianya membantu menjaga kesihatan sistem penghadaman manusia.

Daun pandan membantu usus kita berfungsi dengan baik lalu mengelakkan daripada masalah sembelit atau cirit-birit. Nak kan usus yang sihat? Rajinkan diri untuk memasukkan daun pandan ke dalam masakan harian.Hal ini disokong dalam ulasan oleh penyelidik dari Indonesia dan Itali sebagai rawatan tradisional. Namun, masih belum ada ujian saintifik yang mengesahkan dakwaan ini mengenai mekanisme saintifik di sebalik kenyataan petua nusantara ini.

3. Mengatasi sakit kepala

Imej via Bidadari

Kalau anda mengalami sakit kepala, daun pandan boleh dijadikan sebagai alternatif untuk menghilangkan sakit kepala yang anda alami selain mengambil ubat tahan sakit. Caranya ialah dengan menyediakan teh daun pandan. Langkah-langkah untuk menyediakan teh daun pandan adalah seperti berikut:

  • Ambil satu uncang teh, rendamkan dalam secawan air panas.
  • Masukkan satu sudu gula merah atau madu.
  • Masukkan 3 potong daun pandan yang dihiris besar-besar.
  • Biarkan air menjadi suam agar aroma daun pandan diserap oleh teh tadi.
  • Minum apabila air tadi sudah suam.

Aroma dari teh daun pandan tadi akan berfungsi sebagai aromaterapi yang akan menyegarkan kepala anda sekali gus menghilangkan sakit kepala yang anda alami. Anda juga boleh hidu daun pandan untuk mengurangkan sakit kepala.

Aroma pandan turut memberikan kesan aromaterapi sebagaimana yang dilaporkan oleh penyelidik di Indonesia di Journal of International Dental and Medical Research pada tahun 2017, Mereka mendapati bahawa sebatian  2-acetyl-1-pyrroline dalam pandan boleh meredakan rasa resah dan kegelisahan.

4. Menurunkan suhu badan yang panas semasa demam

Imej via Bidadari

Apabila kita demam, suhu badan akan naik mendadak. Biasanya kita akan makan panadol sebagai salah satu usaha untuk menurunkan panas yang dialami.Namun, tahukah anda bahawa yang sebenarnya daun pandan juga boleh digunakan sebagai salah satu ikhtiar untuk menurunkan panas badan? Terdapat pelbagai cara untuk anda menurunkan suhu badan dengan daun pandan. Salah satu daripada resepi kegemaran kami ialah seperti berikut:

Bahan yang diperlukan:

  • 3 helai daun pandan
  • 3 sudu barli
  • 1 biji gula batu atau 1 sudu madu
  • 7 gelas air

Cara-caranya:

  • Masukkan air ke dalam periuk dan panaskan di atas dapur.
  • Masukkan semua bahan dan biarkan sehingga mendidih.
  • Ambil satu gelas dan biarkan sehingga suam. Minum sedikit demi sedikit sehingga suhu badan anda kembali seperti biasa.

Air daun pandan dan barli sememangnya terbukti berkesan untuk menurunkan suhu badan yang panas. Malah ia juga membantu untuk menghilangkan batuk dan selsema. Lagi banyak daun pandan yang anda masukkan, lebih bagus khasiatnya untuk tubuh badan dengan pertambahan lebih banyak antioksidan.

Selain itu, anda juga boleh masukkan daun pandan dalam masakan lain yang disediakan semasa anda demam. Nasi yang dimasak bersama daun pandan juga tinggi khasiatnya untuk menghilangkan demam.

Atau pun anda boleh alas pinggan yang digunakan untuk menghidang makanan semasa anda demam.Bukan sahaja ia menaikkan selera makan anda, malah membantu anda cepat sembuh semula.Berdasarkan laporan saintifik para penyelidik di UPM Serdang pada tahun 2011, antara sebatian bioaktif yang bermanfaat untuk tubuh yang dijumpai dalam pandan ialah seperti flavonoid, fenolik, rutin, epicatechin, catechin, asid galik, asid sinamik dan asid ferulik.

Semua sebatian ini mampu memberikan nilai kesihatan yang baik daripada merawat demam hinggalah berpotensi sebagai penawar antikanser. 

5. Mengatasi insomnia

Imej via Bidadari

Anda ada masalah untuk tidur malam? Jenuh bergolek di atas katil namun masih tak berjaya untuk tidur, apa kata anda gunakan daun pandan untuk membantu anda tidur?Caranya sebelum tidur minum teh pandan yang boleh anda sediakan sendiri. Cara untuk menyediakan teh pandan adalah seperti berikut:

  • Ambil satu uncang teh, rendamkan dalam secawan air panas.
  • Masukkan seketul gula batu atau satu sudu kecil madu.
  • Masukkan sebatang serai yang telah diketuk.
  • Masukkan sedikit halia yang telah diketuk.
  • Masukkan5 potong daun pandan yang dihiris besar-besar.
  • Biarkan air menjadi suam agar aroma daun pandan, serai, dan halia diserap oleh teh tadi.
  • Minum apabila air tadi sudah suam.

Daun pandan mempunyai satu bahan yang bernama alkaloid yang membantu tubuh badan berasa relaks dan tenang. Apabila anda berasa tenang, lebih mudah untuk tubuh anda berehat dan tertidur.

Nak lagi mudah tidur? Potong daun pandan halus-halus dan letakkan di sebelah katil anda. Aroma daun pandan akan mengharumkan bilik tidur dan menenangkan perasaan anda.Sekumpulan penyelidik dari Jepun pada tahun 2000 menamakan sebatian alkaloid ini hampir mirip dengan nama ‘pandan’ iaitu pandamarilactonine-A dan -B.

Sebatian ini turut memberikan kesan aromaterapi selain aktiviti antioksidan yang tinggi dalam tubuh. Itulah dia info tentang khasiat daun pandan yang ingin kami kongsikan pada hari ini.

Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan perkongsian kami, anda juga dijemput untuk membaca artikel kami tentang:

Rujukan

  1. Ghasemzadeh, A., & Jaafar, H. Z. (2013). Profiling of phenolic compounds and their antioxidant and anticancer activities in pandan (Pandanus amaryllifolius Roxb.) extracts from different locations of Malaysia. BMC complementary and alternative medicine13(1), 341. (link)
  2. Laksanalamai, V., & Ilangantileke, S. (1993). Comparison of aroma compound (2-acetyl-1-pyrroline) in leaves from pandan (Pandanus amaryllifolius) and Thai fragrant rice (Khao Dawk Mali-105). Cereal chemistry70, 381-381. (link)
  3. Nor, F. M., Mohamed, S., Idris, N. A., & Ismail, R. (2008). Antioxidative properties of Pandanus amaryllifolius leaf extracts in accelerated oxidation and deep frying studies. Food chemistry110(2), 319-327. (link)
  4. Pradopo, S., Sinaredi, B. R., & Januarisca, B. V. (2017). Pandan Leaves (Pandanus Amaryllifolius) Aromatherapy and Relaxation Music to Reduce Dental Anxiety of Pediatric Patients. Journal of International Dental and Medical Research10(3), 933-937. (link)
  5. Sujarwo, W., & Caneva, G. (2015). Ethnobotanical study of cultivated plants in home gardens of traditional villages in Bali (Indonesia). Human Ecology43(5), 769-778. (link)
  6. Takayama, H., Ichikawa, T., Kuwajima, T., Kitajima, M., Seki, H., Aimi, N., & Nonato, M. G. (2000). Structure characterization, biomimetic total synthesis, and optical purity of two new pyrrolidine alkaloids, pandamarilactonine-A and-B, isolated from Pandanus amaryllifolius Roxb. Journal of the American Chemical Society122(36), 8635-8639. (link)

 

Artikel ini telah dikemaskini oleh Dr. Muhammad Jefri bin Mohd Yusof.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.