Kewajipan sebelum menikah bukan satu perkara main-main. Seorang lelaki muslim yang akan menikah perlu tahu apakah kewajipan yang perlu dipenuhinya sebelum menikahi mana-mana wanita. Ini penting supaya kewajipan sebagai sepasang pasangan suami isteri dapat diteruskan dengan baik untuk mencapai kehidupan yang bahagia. Ia juga penting dalam meneruskan legasi keturunan yang soleh dan solehah di atas muka bumi ini.
Sejujurnya, sebelum menikah ini ada banyak persiapan yang perlu dilakukan. Kewajiban sebelum menikah kebanyakannya terletak pada si lelaki kerana beliaulah yang akan bergelar ketua dalam rumah tangga yang bakal di bina itu.
Perkahwinan ialah antara ibadah yang paling disukai oleh iblis dan syaitan untuk dirosakkan kerana kesannya bukan sahaja kepada individu terbabit bahkan mampu menjadi krisis yang besar dan mengundang pelbagai dosa sampingan yang lain seperti permusuhan, perebutan hak, fitnah dan sebagainya.
Imam Muslim rahimahullah meriwayatkan sebuah hadis daripada Jabir ra yang menyebutkan bahawa Rasulullah salallahualaihiwasalam pernah bersabda yang bermaksud :
“Sesungguhnya iblis meletakkan singgahsananya di atas lautan. Kemudian dia mengirimkan bala tenteranya untuk menghasut manusia melakukan kejahatan. Orang bawahan yang paling hampir kedudukannya dengan iblis adalah yang menimbulkan fitnah paling besar kepada manusia. Seorang daripada mereka datang dan berkata, ‘Aku telah melakukan ini dan itu.’ Lalu Iblis pun menjawab : ‘Engkau belum melakukan apa-apa lagi yang besar.”
Nabi sallallahualaihi wasallam melanjutkan, “Lalu datanglah seorang daripada mereka dan berkata, “Aku telah mengikuti manusia sehingga aku tidak meninggalkan mereka melainkan dalam keadaan aku telah berhasil memisahkan seorang suami dan isterinya.’’ Lalu iblis pun memanggilnya agar dia dekat dengan Iblis dan berkata, “Sebaik-baik fitnah adalah usaha yang telah engkau lakukan.” (Hadis Sahih riwayat Muslim)
Antara perkara-perkara yang wajib di beri perhatian oleh setiap bakal pengantin lelaki sebelum membuat keputusan untuk menikahi mana-mana wanita adalah :
Nak belajar ilmu berumahtangga ni tak susah. Jika ada kawan baik, saudara mara mahupun adik beradik yang agak rapat untuk berbincang segala benda tanpa segan, maka tanyalah pada mereka tentang ilmu rumahtangga ini. Paling penting tanyakan pada mereka yang telah lama berkahwin dengan kehidupan yang tampak bahagia. Jangan pula di tanya pada sesiapa yang rumahtangganya sendiri nampak sedang berada di ambang penceraian.
Anda juga boleh membeli buku-buku berkaitan ilmu rumahtangga yang banyak terdapat di kedai-kedai buku. Jika kurang modal untuk membelinya anda boleh saja ke mana-mana perpustakaan negeri dan bolehlah cari bahan bacaan yang berkaitan. Paling senang baca saja perkongsian dari mana-mana website atau blog sebagai contoh website Bidadari.my ini sendiri.
Setelah rasa ilmu sudah semakin cukup maka tanyalah pada diri sendiri sama ada sudah benar-benar bersedia untuk beri komitmen yang padu dan penuh pada bakal isteri. Jika ya ini bermakna anda sudah semakin bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang suami.
Perkara penting perlu diberi perhatian ada pada nawaitu diri sendiri. Sila pastikan anda berkahwin atas dasar agama kerana Allah SWT bukannya kerana nafsu semata-mata. Ini penting demi memiliki rumahtangga bahagia yang kekal lama. Jika sekadar berkahwin kerana nafsu tidak mustahil rumahtangga itu akan goyah dengan mudah.
Menikahi mana-mana wanita dengan cara yang baik untuk memiliki hubungan yang suci adalah satu sikap yang terpuji. Ini bukan saja untuk menghalang daripada berlakunya maksiat sebaliknya ia boleh dijadikan sebagai langkah awal untuk memiliki zuriat sendiri yang akan di bentuk bersama untuk menjadi anak yang soleh dan solehah. InshaAllah.
Selain daripada sikap di atas, si suami perlu beri perhatian lain juga. Ini penting kerana perkahwinan bukan sekadar penyatuan antara dua hati tetapi ia akan turut melibatkan perkara yang bersifat duniawi. Maka antara kewajiban lain yang sangat penting sebelum menikah ini adalah seperti :
Untuk pengetahuan bakal-bakal penganti juga, terdapat 3 (tiga) fasa ikatan untuk menuju ke arah sesebuah perkahwinan ini. Tiga fasa tersebut adalah Taaruf, Khitbah dan akhir sekali barulah Nikah.
Taaruf ini bermaksud berkenalan dan saling ambil tahu dengan tidak melanggar syarak. Ia jauh berbeza dengan cara perkenalan semasa couple bercinta-cinta tu. Taaruf ini lebih pada proses mengenali tetapi dengan cara tidak bertemu bertentang mata berdua-duaan.
Ia boleh dilakukan dengan cara bertukar biodata peribadi diri, gambar dan bertanya pada orang lain seperti sahabat baik, pensyarah, jiran dan sebagainya mengenai diri si bakal pasangan. Nak lebih senang stalk jer dia punya akaun media sosial seperti facebook, instagram dan sebagainya.
Manakala Khitbah pula bermaksud alam pertunangan di mana ke dua-duanya benar-benar sudah berpuashati dan bersetuju untuk saling hidup bersama sebagai pasangan tanpa ada sebarang paksaan dari mana-mana pihak. Dalam Islam jika si lelaki dan si perempuan sudah benar-benar bersetuju untuk menikah maka itu sudah di kira sebagai satu ‘pertunangan’ yakni sebuah janji! Cincin itu hanyalah adat sahaja.
Akhir sekali sudah tentulah Nikah yang akan benar-benar menghalalkan ikatan dan sentuhan antara si pasangan tersebut. Inilah ikatan sebenar dan cara terbaik yang patut diberi perhatian sebagai sebuah kewajipan sebelum menikah. Bila di mulai dengan cara yang baik dengan lafaz kerana Allah SWT , InshaAllah akan menjadi semakin mudah segala impian untuk bersama tu.
Jika dah jumpa pasangan yang sesuai, sudah rasa diri ada segala keyakinan dan amat bersedia untuk galas segala tanggungjawab. Jangan tunggu lama-lama, terus saja masuk meminang untuk melangkah ke alam rumahtangga yang penuh bahagia.