Artikel ini adalah tentang kesan makanan segera pada kesihatan. Jom baca semoga sama-sama mendapat manfaat.
Makanan segera dijual bagi memudahkan mereka yang ingin mencari snek makanan ringan dengan kadar yang cepat disediakan. Harga makanan segera juga boleh menjimatkan atau menjadi mahal mengikut jenis makanan yang dijual. Terdapat pelbagai variasi makanan segera yang dijual. Para pelanggan mempunyai banyak sebab untuk mereka terus menikmati makanan segera ini; ada yang sukakan rasanya, suasana tempat makan, harga yang berpatutan, mengikuti trend dan sebagainya.
Namun, makanan segera mempunyai beberapa kesan kesihatan yang buruk disebabkan cara penyediaan dan ramuan yang digunakannya. Kebanyakan makanan segera mengandungi ketumpatan tenaga yang sangat tinggi iaitu 158-163 kcal per 100 gram makanan yang boleh menyebabkan kesan negatif ke atas kesihatan kita. Kalori yang berlebihan daripada penggunaan akan ditukarkan menjadi lemak yang menyebabkan masalah obesiti atau berat badan berlebihan.
Oleh itu, artikel ini akan membincangkan kesan makanan segera yang boleh mendatangkan masalah kesihatan yang disokong oleh penemuan kajian penyelidikan saintifik yang pernah diterbitkan sebelum ini. Penemuan utama dan pemerhatian yang sering dikaitkan dengan kesan negatif makanan segera termasuklah risiko obesiti, dyslipidemia, diabetes dan penyakit kardiovaskular.
Peningkatan trend yang membimbangkan mengenai masalah berat badan berlebihan dan obesiti banyak dikaitkan dengan perubahan gaya hidup dan faktor persekitaran. Peralihan bekalan nutrisi sebelum ini daripada hidangan rumah yang cukup nutrisi kepada hidangan makanan segera yang menggunakan produk terproses dan minuman bergula merupakan faktor utama penyumbang epidemic obesiti sedunia.
Kajian lepas mendapati bahawa pengambilan makanan segera sekurang-kurangnya 2 kali seminggu berbanding kurang sekali seminggu telah menyebabkan penambahan berat badan melebihi 4.5 kg dalam kalangan remaja dan dewasa. Malahan, mereka yang kerap mengamalkan makanan segera sekurang-kurangya sehari seminggu akan mengalami peningkatan indek jisim badan, BMI sebanyak 0.13.
Berikut merupakan antara laporan pemerhatian lepas yang menyaksikan kesan makanan segera ke atas risiko obesiti:
Dyslipidemia ialah keadaan kepekatan lemak seperti kolesterol dan trigliserida yang terlalu tinggi dalam darah. Risiko penyakit kardiovaskular ini sering dikaitkan dengan amalan makanan segera. Masalah ini banyak dikesan di dalam sampel golongan dewasa usia pertengahan yang kerap makan makanan segera.
Kajian lepas juga mendapati bahawa peserta kajian yang mengambil makanan segera sekurang-kurangnya sebanyak 2.5 kali berbanding kurang 0.5 kali dalam seminggu mempunyai kandungan serum trigliserida sebanyak 117 mg/dl berbanding 95.52 mg/dl. Kandungan kolesterol pula ikut sama bertambah dan lebih banyak berbanding mereka yang kurang ke restoren makanan segera. Kajian ini telah diadakan selama 13 tahun.
Di samping itu, peningkatan pengambilan makanan segera dengan sumber makan segera yang pelbagai mencatatkan peningkatan risiko sebanyak 56-162% untuk mortaliti penyakit jantung disebabkan kandungan kolesterol yang bertambah.
Kesan negatif pengambilan makanan segera dalam perkembangan metabolik tidak normal telah banyak dilaporkan oleh kajian lepas. Makanan segera sering dikaitkan dengan risiko rintangan insulin, penyakit kencing manis, sindrom metabolik dan penyakit kardiovaskular.
Satu kajian yang dilakukan selama 15 tahun mendapati bahawa pengambilan makanan segera sekurang-kurangnya 2 kali seminggu akan menyebabkan rintangan insulin yang besar. Pengambilan produk daging terproses dalam makanan segera juga telah menyebabkan berlakunya sindrom metabolik.
Sementara itu, amalan makan makanan segera minimum 2 kali seminggu telah meningkatkan risiko kencing manis dan risiko kematian akibat masalah jantung tersumbat. Penemuan ini disokong secara ujian statistik matematik. Risiko menghidap kencing manis juga akan meningkat dalam kalangan mereka yang gemar memesan hamburger dan ayam goreng pada kadar sekurang-kurangnya 2 hidangan dalam seminggu.
Di samping itu, dilaporkan risiko sebanyak 21% lebih tinggi bagi mereka yang suka makan kentang goreng atau French fries di restoren makanan segera. Dalam satu kajian ke atas hampir 85 ribu wanita, pengambilan burger, ayam goreng, sosej, produk daging diproses dan kentang goreng menunjukkan peningkatan risiko kencing manis sebanyak 21%.
Masalah hati berlemak yang menjejaskan fungsi hati dalam sistem tubuh kita boleh berpunca daripada kesan makanan segera ini. Pemerhatian selama 4 minggu ke atas mereka yang kerap makan makanan segera sekurang-kurangnya 2 hidangan dalam sehari telah meningkatkan kandungan serum enzim alanine yang menandakan masalah risiko hati berlemak.
Makanan segera boleh dinikmati tetapi bukanlah secara kerap sehingga menjadi rutin. Kekurangan nutrisi dan penggunaan gula, garam, perasa, pengawet dan minyak yang tinggi dalam makanan segera menjadikan makanan segera tidak sesuai untuk dijadikan diet utama dalam kehidupan seharian.
Golongan dewasa seperti ibu bapa perlu sentiasa memantau anak-anak dan golongan remaja yang gemar memilih makanan segera ini supaya mereka tidak ketagih atau terlalu bergantung dengan makanan segera sehingga menjadi tabiat pemakanan yang tidak sihat.
Jemput juga baca artikel: