Artikel ini akan melihat tentang nutrisi makanan yang penting untuk kesihatan tubuh badan kita. “Apa itu diet yang menyihatkan tubuh?”

Persoalan ini sentiasa membelenggu pakar kesihatan kerana jawapannya adalah subjektif. Diet makanan berkhasiat atau makanan penuh nutrisi merupakan pendekatan yang diambil supaya tubuh badan bebas daripada penyakit.

Mengehadkan jumlah kalori, bersenam secara kerap, tidak merokok dan menjaga diet makanan seharian merupakan antara strategi yang dilakukan bagi mendapatkan dan mengekalkan berat badan yang ideal.

Oleh itu, artikel ini akan membincangkan nutriis makanan yang penting untuk kesihatan tubuh. Kajian penerbitan sekumpulan penyelidik dari Harvard pada tahun 2010 dirujuk untuk mengulas topik ini.

Lemak Makanan

Imej via Bidadari

Salah satu nutrisi makanan yang sering disalah anggap boleh mendatangkan kesihatan buruk ialah lemak. Kita sering dimomokkan bahawa “lemak itu bahaya” dan “lemak mengancam kesihatan.” Hal ini sebenarnya bercanggah dengan kesan kesihatan yang boleh diberikan lemak kepada kita.

Pertama sekali, lemak trans daripada minyak terhidrogen sememangnya tidak bagus untuk kesihatan kita yang mengancam sistem kardiovaskular. Pengambilan lemak trans boleh menyebabkan masalah kesihatan seperti kolesterol tinggi, kencing manis, batu karang, nyanyuk, masalah jantung dan penambahan berat badan.

Sementara itu, lemak yang memberikan kesan kesihatan yang positif ialah dari jenis lemak mono tidak tepu dan poli tidak tepu yang datang daripada sumber makanan bernutrisi seperti:

  • Minyak sayuran
  • Biji-bijian
  • Kekacang
  • Bijirin penuh
  • Omega 3 dalam ikan

Malah, lemak jenis ini sebenarnya amat bagus untuk kesihatan jantung, meningkatkan kepekaan insulin dan menstabilkan ritma jantung. Diet yang mengandungi lemak adalah baik sekiranya mengandungi 40% kalori daripada lemak, kurang lemak trans dan tinggi dengan lemak tidak tepu ini.

Protein

Sistem metabolik tubuh akan lebih cekap sekiranya tubuh badan menerima sumber bekalan protein yang mencukupi. Protein boleh diperolehi sama ada dari tumbuhan atau haiwan.

Terdapat banyak kajian yang menekankan kepentingan protein dalam diet sebagai nutrisi makanan untuk membantu proses pertumbuhan yang baik tanpa mendatangkan kesan mudarat ke atas kesihatan tubuh.

Sayur-sayuran dan Buah-buahan

Imej via Bidadari

“Makan lebih buah dan sayur” merupakan laungan kata-kata nasihat yang sering kali kita dengar untuk menunjukkan betapa pentingnya mendapatkan bekalan sayur dan buah yang mencukupi dalam diet seharian kita.

Makanan ini menyumbang kepada nutrisi yang pelbagai, antaranya:

  • Serat makanan
  • Karbohidrat yang akan dicerna perlahan untuk memberikan rasa kenyang yang lebih tahan lama
  • Vitamin dan mineral
  • Fitonutrien untuk melawan pelbagai masalah kesihatan seperti penyakit kardiovaskular, penuaan, masalah katarak mata dan penglihatan, menjaga sistem penghadaman dan sebagainya

Mengikut panduan di Amerika Syarikat, buah dan sayuran perlu dimakan dengan banyak sekali sekurang-kurangnya 5 hidangan dalam masa sehari.

Minuman

Imej via Bidadari

Tubuh badan kita memerlukan air masak sebagai minuman yang terbaik. Air masak mengandungi 0 kalori dan tanpa pewarna atau pengawet. Air masak membantu tubuh kekal hidrat dan melancarkan proses sel untuk menyingkirkan toksin dari dalam tubuh secara semula jadi dan selamat. Menariknya, air juga membantu kita untuk rasa kenyang dengan lebih lama.

Selain air masak, minuman yang selalu diambil ialah kopi dan teh. Dengan cara penyediaan yang betul, kedua-dua kopi dan teh boleh membekalkan nutrisi makanan yang bagus untuk kesihatan. Antara laporan yang ditemui berkenaan kebaikan minuman tersebut ialah menurunkan risiko penyakit kencing manis, mengurangkan masalah jantung, bersifat anti kanser dan mencegah pembentukan batu karang.

Dua jenis minuman yang bermasalah dan perlu dijauhi ialah (1) minuman bergula (soda, jus buah, minuman bergas) dan (2) minuman beralkohol. Satu tin minuman bergas mempunyai kandungan gula yang bersamaan 8-10 sudu besar gula. Pengambilan minuman sebegini sudah banyak dikaitkan dengan masalah pertambahan berat badan dan serangan kencing manis.

Kepentingan Pengambilan Makan Bernutrisi

Seorang penyelidik dari Universiti Ege, Turki bernama Sahnur Irmak pada tahun 2020 ada menerbitkan ulasannya berkenaan kepentingan nutrisi makanan kepada kesihatan dan masyarakat.

Menurutnya, nutrisi yang baik dan seimbang adalah penting untuk:

  • gaya kehidupan yang sihat
  • mengekalkan berat badan yang ideal
  • mengurangkan risiko penyakit kronik
  • mempromosikan kesihatan secara keseluruhan

Tabiat pemakanan yang tidak sihat akan menyebabkan epidemic obesiti dan risiko penyakit berbahaya. Di Amerika Syarikat, hampir 1/3 daripada golongan dewasanya mengalami masalah obesiti dan 17% kanak-kanak dan remaja dalam lingkungan umur 2-19 tahun turut mengalami masalah tersebut. Sementara itu di UK, separuh daripada populasi di negara itu adalah obes atau mempunyai masalah berat badan berlebihan.

Malah, bagi negara kita, penduduk di Malaysia merupakan negara yang paling banyak menghadapi masalah obesiti jika dibandingkan dengan negara Asia Tenggara yang lain.

Antara masalah kesihatan yang sering dilaporkan apabila tidak mengamalkan makanan yang bernutrisi ialah:

  • Masalah jantung
  • Tekanan darah tinggi
  • Kencing manis
  • Osteoporosis
  • Kanser

Panduan Diet Makanan Sihat

Kesimpulannya, berikut ialah panduan yang boleh diikuti untuk mendapatkan gaya hidup yang sihat:

  • Pilih lemak sihat berbanding lemak tidak sihat (lemak trans).
  • Protein daripada sumber tumbuhan adalah lebih baik daripada protein daripada sumber haiwan.
  • Lebihkan buah-buahan dan sayur-sayuran.
  • Hidratkan diri dengan minuman air kosong dan minuman yang kurang atau tanpa gula.
  • Cukupkan keperluan vitamin dan mineral seharian.
  • Rutin amaaln bersenam

Jemput juga baca artikel tentang:

Rujukan

  • Irmak, S. (2020). The importance of nutrition for health and society. Journal of Food Nutrition and Health (link)
  • Pangaribowo, E. H., Gerber, N., & Torero, M. (2013). Food and nutrition security indicators: a review. (link)
  • Skerrett, P. J., & Willett, W. C. (2010). Essentials of healthy eating: a guide. Journal of midwifery & women’s health55(6), 492-501. (link)

Penulis: Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kimia (persekitaran dan kimia polimer) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut menerima ijazah sarjana sains kimia (mod penyelidikan) dan ijazah sarjana muda sains forensik dari universiti yang sama.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.