Penyakit kencing manis ini adalah salah satu penyakit yang merbahaya kerana banyak kesan sampingannya. Contohnya, kabur penglihatan, kebas kaki, luka lambat sembuh dan pelbagai lagi. Menurut kajian, kaum india yang paling ramai mempunyai penyakit kencing manis.
Di Malaysia, terdapat ramai rakyat Malaysia yang mempunyai penyakit kencing manis. Hal ini amat serius kerana terdapat kajian yang mengatakan bahawa penyakit kencing manis boleh mengakibatkan mati pucuk. Apakah kaitan penyakit kencing manis dan mati pucuk? Info sebenar mengenai penyakit kencing manis mengakibatkan mati pucuk.
Dr. Suhazeli Abdullah merupakan doktor pakar keluarga di sebuah klinik. Cara beliau terang dan memberi nasihat amat jelas dan mudah difahami. Mari kami kongsikan kata-kata Dr. Suhazeli Abdullah mengenai isu ini.
Apa yang pasti adalah penyakit kencing manis itu sendiri boleh menyebabkan ‘erectile dysfunction’ atau mati pucuk. Kandungan gula yang tinggi dalam darah boleh menyerang saraf. Apabila saraf rosak signal untuk mendapatkan rangsangan seksual akan teraniaya. Arakian, terjadilah mati pucuk.
Begitu juga wanita yang mempunyai kencing manis selalunya sukar untuk hamil kerana gangguan hormon kesuburan. Paras gula yang tinggi akan menyukarkan tindakbalas hormon ke atas kliang telur wanita.
Selain dari lemah tenaga batin, kencing manis yang tidak terkawal juga adalah salah satu punca ketidaksuburan organ peranakan samada wanita atau lelaki. Ini juga adalah fakta.
Gula penting dalam pembentukan air mani samada air mani lelaki atau wanita (sperma dan ovum). Tetapi kandungan gula yang tidak terkawal boleh merosakkan sistem pembentukan air mani tersebut secara optima. Oleh yang demikian doktor akan selalu menasihati pesakit kencing manis agar mengawal paras gula mereka ke paras yang terbaik sebelum berusaha untuk hamil.
Menjadi dakyah sesetengah pihak yang benci kepada kaedah perawatan moden, menuduh ubat kencing manislah punca utama berlakunya mati pucuk dan mandul.
Padahal mereka lupa, matlamat utama rawatan adalah untuk mengawal kencing manis sekaligus boleh memulihkan semula kekuatan tenaga batin pesakit. Ubat kencing bukan punca masalah mati pucuk.
Malah sebaliknya kajian mendapati metformin (ubat kencing manis) boleh digunakan untuk merawat wanita yang mandul. Rawatan metformin ini bagi kes yang khusus dan perlu dibincang dengan pakar. Pendek kata, metformin adalah selamat digunakan untuk salah satu dari rawatan kesuburan wanita dan ianya terjamin tidak mencacatkan janin jika hamil.
Begitulah juga insulin, selamat digunakan. Doktor selalu menasihati para pesakit kencing manis yang tidak terkawal dan mempunyai masalah kesuburan agar mengambil ubat kencing manis tanpa ingkar. Tujuannya supaya kencing manis mereka terkawal dan peluang untuk hamil adalah tinggi.
*Jika kita ada masalah penyakit peribadi yang kita malu untuk dikongsikan kepada orang lain, pergilah berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan nasihat. Doktor-doktor sudi membantu dan memberi nasihat kepada pesakitnya.
Hal-hal ini kita tidak perlu malu untuk bercerita kepada doktor, kalau tidak bagaimana kita mahu menyelesaikan masalah ini. Semoga info ini memberi manfaat kepada anda dan orang-orang tersayang.
Artikel ini diberi kebenaran penuh daripada penulis. Baca artikel penuh di sini.