“Mama, kenapa pokok tu besar?”

“Mama, kenapa hujan tu turun?”

“Ayah, kenapa atok tu pakai tongkat?”

“Ayah, kenapa atok tu solat atas kerusi?”

Kenapa itu..

Kenapa ini…

Anda pernah alami situasi ini?. Persoalan demi persoalan yang dilontarkan si anak kecil tanpa henti. Sehingga kita rasa dah tak nak jawab apa-apa, diam lagi baik. 😂

Jangan risau, bukan anda sahaja yang kena berhadapan dengan situasi ini. Menurut Dr. Bustam Kamri, Dekan Sekolah Sains Sosial di Kolej Yayasan Melaka, bagi kanak-kanak soalan ‘kenapa’ membolehkan mereka mempelajari tentang dunia sekeliling mereka.

Soalan ‘kenapa’ juga membantu menyuburkan proses pembelajaran mereka. Kanak-kanak didorong oleh perasaan ingin tahu tentang dunia sekeliling dan seterusnya akan membina konsep, kemahiran, perbendaharaan kata dan kefahaman tentang perkara yang mereka tidak pernah ketahui sebelum ini.

Sebagai orang dewasa, menjadi tanggungjawab kita untuk memenuhi keperluan perasaan ‘ingin tahu’ mereka dengan memberi tindak balas sewajarnya supaya dapat mewujudkan proses pembelajaran yang positif.

Bagaimana Cara Membantu Perasaan Ingin Tahu Kanak-Kanak?

Demi menggalakkan proses pembelajaran dalam kehidupan kanak-kanak, setiap soalan yang dilontarkan oleh mereka perlulah dijawab dengan sebaiknya. Bukan hanya membiarkan soalan itu sepi dan hanya mengundang kekecewaan dalam diri si kecil.

Cara yang terbaik untuk memberi respon kepada perasaan ingin tahu kanak-kanak ialah:

1. Memberi Respon Dengan Cepat Dan Mudah

Anda perlu cuba menyediakan jawapan secepat mungkin terus untuk menjawab soalan mereka sama ada secara ringkas atau terperinci. Bergantung kepada pengetahuan anda sendiri dan tahap pemahaman kanak-kanak.

Sebagai contoh, jika anak bertanya “Kenapa hujan turun?”, kita boleh terus menjawab sebagai sumber air kepada hidupan, menyuburkan tanaman dan sebagainya.

Jika perasaan ingin tahu mereka lebih mendalam dan mempunyai minat yang tinggi dalam sesuatu perkara yang dibincangkan, anda bolehlah menerangkan konsep tersebut dengan lebih terperinci.

Contohnya, kita boleh menerangkan proses pembentukkan hujan kepada kanak-kanak dengan lebih berinformasi tetapi santai dengan kaedah bercerita (story-telling).

2. Utarakan Persoalan Kembali Kepada Kanak-Kanak

Menjawab soalan dengan soalan kembali adalah salah satu cara menggalakkan pemikiran kritis kanak-kanak. Mereka akan cuba berfikir tentang soalan yang mereka sendiri utarakan dan mencari jawapan kepada soalan tersebut.

“Kakak rasa kenapa hujan turun?”.

“Kakak rasa kenapa bila awan gelap tu tanda hujan nak turun?”

Ini adalah contoh soalan dijawab dengan soalan kembali. Biarkan kanak-kanak bertindak balas dengan soalan asalnya. Cara ini akan membantu dalam mengasah kemahiran penyelesaian masalah (problem-solving) dalam diri mereka.

3. Hargai Dan Raikan Minat Mereka

Tunjukkan sokongan anda terhadap minat setiap anak-anak. Jika mereka berminat dengan dunia sains, bawa mereka ke perpustakaan untuk mencari buku-buku yang berkaitan atau ke pusat sains yang berhampiran.

Lakukan aktiviti bersama seperti melukis dan berwarna gambar rajah yang menerangkan proses pembentukkan hujan demi memberi kefahaman yang mendalam dalam proses pembelajaran mereka.

Oleh itu, ibu bapa, pendidik atau sesiapa sahaja perlulah memberi respon yang positif dengan setiap soalan ‘kenapa’ yang ditanya oleh kanak-kanak. Proses ini penting dalam proses pembelajaran mereka tentang dunia sekeliling yang baru dan ingin diterokai.

Perasaan ingin tahu tentang sesuatu perkara adalah asas kepada pembinaan kemahiran berfikir aras tinggi dalam diri mereka juga. Jadi, raikan setiap soalan mereka kerana kita ingin melahirkan seorang pemikir agung dewasa kelak!

Sumber: MelakaKini, Dr. Bustam Kamri.

Penulis: Faz

Merupakan graduan Psikologi dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan sekarang memilih untuk menjadi surirumahtangga sepenuh masa demi keluarga. Seorang ibu yang sangat mempunyai minat yang mendalam dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak dan kekeluargaan. Diharapkan dapat berkongsi ilmu seluas-luasnya dengan masyarakat melalui setiap penulisan yang ditulis. Klik sini untuk Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.