Lelaki kata kaum wanita sangat sukar difahami. Mungkin betul pernyataan tu. Namun, golongan lelaki juga tak kurang hebatnya bukan? Jika wanita sangat ‘complicated’ emosinya, lelaki pula tak nak kalah egonya. Siapa setuju?

Disebabkan sifat berlawanan inilah, lelaki dan perempuan diciptakan oleh Allah untuk saling melengkapi. Bayangkan jika seorang suami asyik moody setiap hari, macam mana nak jadi ketua keluarga? Itulah sebabnya sifat yang halus terletak dalam diri seorang wanita. Lelaki pula lebih cool, tegas dan mampu memimpin.

Kalau suami tiba-tiba terasa hati dengan kita, apa yang perlu dibuat? Jangan risau. Dalam artikel ni, penulis akan kongsikan tips dan cara untuk cairkan ego lelaki. Sebenarnya tak susah manapun, yang penting cuba dulu.

1.Biarkan keadaan tenang dulu

Tak seperti wanita, lelaki lebih suka menjauhkan diri jika berlaku salah faham atau pergaduhan. Sifat wanita pula hendak menyelesaikan masalah dengan cepat. Selagi tak selesai, selagi itulah emosi mereka terganggu.

Berbeza pula dengan lelaki. Itulah sebabnya mereka suka keluar dari rumah, berjumpa rakan-rakan atau melepak di restoran mamak. Jangan salah faham. Tindakan mereka ni bukan sebab nak lari dari masalah. Jauh sekali kerana perasaan menyampah.

Sebagai ketua keluarga, mereka perlu berfikir panjang sebelum bertindak. Oleh itu, langkah terbaik ialah biarkan mereka berada di zon tenang. Nanti dah surut amarah dan ego di dada, anda pasti terkejut melihat si suami pulang membawa bungkusan makanan.

2.Kurangkan bebelan

Ragam wanita yang satu ni memang tak boleh dielakkan. Hampir kebanyakan wanita sedar dan tanpa sedar suka membebel. Mungkin kerana penat menguruskan rumah tangga, banyak perkara yang perlu dibereskan dan pelbagai isu lagi menjadikan mulut mereka seperti bertih goreng. Tanpa sedar ego pasangan juga semakin melangit.

Namun, jangan pula kerap kita membebel dengan pasangan untuk isu kecil sekalipun. Tindakan ni akan membuat suami menjadi bosan dan meluat dengan perangai kita. Jika hendak memberi teguran, apa kata kurangkan sungutan. Baiki komunikasi dengan cara teguran yang lembut pada masa yang sesuai.

3.Jangan lokek memberi pujian

Sesekali berilah pujian kepada pasangan. Tak salah bukan? Kita sebagai wanita sanggup pakai baju cantik-cantik dan bersolek dengan harapan dipuji oleh si suami. Sama juga situasinya dengan pasangan. Walaupun mereka tak harapkan pujian, ringankan mulut berkata yang baik-baik.

Misalnya, suami sedang bersiap-siap ke tempat kerja. Anda pun berkata:

“Handsome suami kita hari ni. Kena pula warna baju ni dengan abang.”

Percayalah senyuman panjang yang terukir itu pasti mewarnai hari-hari mereka. Nak bekerja pun jadi bersemangat. Mana tahu nasib baik nanti, balik kerja anda pula yang dapat seutas gelang tangan. Suami yang kental sifat egonya pun boleh cair.

4.Menjadi pendengar setia

Antara sifat utama lelaki ialah menyimpan masalah dalam diri. Mereka jarang berkongsi masalah kecuali dengan orang yang sangat dipercayai seperti ibu, isteri dan sahabat baik. Itu pun ada yang sanggup menelan sendiri kerana ego dan tak nak dianggap lemah.

Oleh itu, jika pasangan menceritakan masalah mereka, jadilah pendengar yang baik. Mereka memilih kita kerana percaya dan selesa untuk berkongsi masalah. Jangan sesekali mengkritik idea atau luahan hati mereka. Hanya dengar dan pujuk. Jika perlu, berikan nasihat yang membina.

5.Anggap mereka seperti hero

Sebab apa kita mengahwini pasangan? Salah satunya sebagai pelindung diri dan anak-anak. Oleh itu, sebagai ketua keluarga, suami dianggap sebagai hero yang sanggup mengorbankan apa saja demi keluarga.

Jika ada sebarang masalah dalam keluarga, orang pertama yang perlu dirujuk mestilah suami. Jangan sesekali abaikan tugas dan tanggungjawab pasangan. Ini akan membuat ego mereka tercalar kerana pasangan seakan-akan meragui keupayaan mereka menyelesaikan masalah.

6.Menjaga kecantikan luaran

Bila kita keluar bekerja atau menghadiri majlis, perkara pertama yang dititikberatkan tak lain tak bukan tentulah pakaian dan rupa. Sanggup beli baju mahal-mahal. Sanggup bersolek berjam-jam lamanya. Siap buka YouTube nak belajar cara pakai tudung ikut trend terkini.

Malangnya bila berada di rumah, kita hanya memakai T-Shirt dan berkain batik saja. Alasannya senang nak buat kerja rumah. Sebenarnya tak menjadi masalah. Yang penting, nampak bersih, kemas dan wangi. Yang perlu kita pertontonkan kecantikan ialah kepada pasangan, bukannya orang lain di luar sana.

Suami yang penat di tempat kerja, pasti mengharapkan kedamaian hati apabila pulang ke rumah. Bayangkan balik saja rumah, nampak isteri menyambutnya dengan senyuman ikhlas. Kecantikan isteri pasti akan menambat hati mereka. Bila terlalu banyak kerja, mereka mesti penat dan ego untuk mengakuinya.

7.Menjaga kecantikan dalaman

Kaum lelaki paling suka dengan pasangan yang bersikap lembut, manja, hormatkan orang tuanya dan pandai menguruskan rumah tangga. Jangan sering menunjukkan sifat negatif di hadapan mereka terutamanya dengan anak-anak dan ahli keluarga.

Sikap negatif yang keterlaluan seperti suka mengumpat, cemburu buta, syak wasangka dan sebagainya akan membuat mereka berasa tertekan. Bila sedang marah, lebih baik diam.

Jangan menggunakan ayat-ayat yang negatif sehingga membuatkan pasangan malas nak melayan drama anda. Hujung-hujung anda pula yang sakit kepala dengan ego pasangan.

8.Menerima diri mereka seadanya

kelemahan lelaki

Imej via Bidadari

Setiap pasangan mengharapkan isteri mereka menerima kelebihan dan kekurangan diri mereka seadanya. Jika ada masalah kewangan misalnya, cuba berbincang cara untuk meningkatkan ekonomi keluarga. Dengan dunia serba moden ni, pelbagai pekerjaan boleh dilakukan.

Jangan sesekali membanding-bandingkan pekerjaan, kemampuan dan tanggungjawab suami dengan orang lain. Yang paling penting, jangan sesekali bercerita tentang kemampuan lelaki lain dengan pasangan anda. Itu umpama mencurah minyak ke dalam api yang sedang marak.

9.Menjaga kehormatan diri

Sebagai seorang isteri mithali, kita mestilah menjaga harga diri sebagai wanita yang sudah berumah tangga. Jaga batasan pergaulan dengan lawan jantina di tempat kerja. Cukuplah hubungan anda dengan rakan-rakan lelaki hanya sebagai rakan sekerja.

Jangan sesekali berhubungan dengan mereka di luar waktu kerja. Jika ada situasi yang memerlukan anda bekerja dengan rakan lelaki misalnya dalam suatu projek, beritahu suami anda. Hubungan tanpa batasan akan menimbulkan fitnah dan memberi kesan pada rumah tangga anda.

10.Masak sedap-sedap

Kalau suami sedang marah, tak kirahlah disebabkan kesilapannya atau pun anda, cuba masak sedap-sedap untuknya. Sesekali mengalahlah untuk suami kan. Masak lauk kegemarannya. Lepas tu, letak atas meja hias cantik-cantik.

Balik rumah, bila terhidu bau asam pedas kegemaran terbanglah egonya dibawa angin lalu. Pasti dengan senyuman meleret, sang suami menyuruh anda menemaninya makan. Kan kata orang-orang tua kita, nak ikat suami, ikat perutnya dulu.

11.Patuh suruhan agama

Sebagai orang Islam, ini adalah perkara paling asas yang perlu ada dalam sebuah rumah tangga. Pastikan kita solat berjemaah dengan anak-anak. Marah macam mana pun, ada masalah teruk sekalipun, jangan lupa solat berjemaah. Hanya inilah yang menjadi pendinding diri.

Jika suami sedang marah, jangan biarkan dia solat bersendirian. Pujuk dia untuk solat bersama-sama. Aminkan doa-doanya selepas solat. Percayalah, pasti egonya akan mencair.

Diharapkan tips yang dikongsikan ni akan menjadi panduan berguna bagi semua pembaca. Nak cairkan ego lelaki mudah saja, cari titik kelemahan mereka. Namun, gunakan kelemahan tu dengan cara yang positif.

Bagi lelaki pula, jangan terlalu ego. Sesekali berlembutlah dengan pasangan. Jika ada yang tak kena, nasihatkan mereka dengan baik dan lembut. Jika rumah tangga nak bahagia, perlu saling bekerjasama dan berusaha menjaganya dengan baik.

*Jemput juga baca artikel kriteria lelaki idaman wanita dan hadiah untuk lelaki

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.