‘Rejab’ bermaksud membesarkan atau mengagungkan. Ketahui kelebihan bulan Rejab yang kita tidak sedar.
Imam Ibnu Rajab al-Hanbali menjelaskan, maksud Rejab ialah ‘agung’ (Lata’if al-Ma’arif, 117). Oleh itu, bulan Rejab adalah bulan yang agung dan mulia.
Selain itu, bulan ini dinamakan bulan ‘Rejab’ kerana bangsa Arab sejak zaman sebelum Islam dahulu, telah mengagungkan bulan ini dengan tidak berperang atau memulakan apa-apa pergaduhan. Lalu, selepas kedatangan Islam, pegangan ini diteruskan dengan mengharamkan orang-orang Islam memulai peperangan, tetapi diharuskan apabila diancam atau diserang.
Rejab merupakan bulan ke tujuh tahun Hijrah dan merupakan antara empat bulan Haram atau ‘al-Ashur al-Hurum’ atau bulan yang dimuliakan dalam islam dan diharamkan berlakunya peperangan atau pembunuhan iaitu termasuklah bulan Muharam, Zulkaedah dan Zulhijah).
Seperti firman Allah SWT dalam surah al-Taubah : 36, yang bermaksud;
“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah 12 bulan, (yang telah ditetapkan) dalam kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi. Antaranya empat bulan haram (yang dihormati). Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya)”
Selain itu, Abu Bakrah berkata, Nabi Muhammad SAW bersabda;
“Sesungguhnya masa itu beredar sebagaimana hari Allah mencipta langit dan bumi iaitu setahun itu ada dua belas bulan. Antaranya ada empat bulan haram (yang dihormati) iaitu tiga bulan berturut-turut: Zulkaedah, Zulhijjah, dan Muharram. Seterusnya Rejab iaitu antara bulan Jamadilakhir dan Syaban.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Berada dalam bulan haram yang dimuliakan menjadikan bulan ini sentiasa aman dan selamat. Wah banyaknya kelebihan bulan Rejab.
Selain itu terdapat beberapa peristiwa penting yang menjadikan bulan Rejab ini istimewa dan mulia, antaranya adalah:
#1 Berlakunya Peristiwa Israk Dan Mikraj
Peristiwa Isra’ dan Mikraj yang menurut kebanyakan ulama bersetuju bahawa ianya berlaku pada 27 Rejab. Peristiwa besar ini telah menjadi bukti penting akan kerasulan Nabi Muhammad SAW.
Dalam peristiwa itu, Baginda telah diisrakkan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dan kemudian dimikrajkan, sehingga ke setiap lapisan langit dan mengadap Allah SWT lalu menerima perintah kewajipan solat lima waktu.
Rasulullah SAW juga menemui setiap nabi dan rasul selain dipersembahkan keadaan di syurga dan neraka serta dipertunjukkan dengan pelbagai kekuasaan Allah SWT. Paling menakjubkan dengan izin Allah SWT, perjalanan tersebut hanya berlaku dalam satu malam sahaja.
Firman Allah dalam surah al-Isra’ : 1 yang bermaksud;
“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya Muhammad pada malam hari dari Masjidil Haram di Mekah, ke Masjidil Aqsa di Palestin, yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda kekuasaan dan kebesaran Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
#2 Turunnya Perintah Allah Berpindah Kiblat ke Arah Masjidil Haram
Perlaksaan solat dengan berkiblatkan ke rah Masjid al-Aqsa berlangsung lebih kurang 16-17 bulan, sebelum diwahyukan untuk berubah ke arah Masjidil Haram.
Rasulullah SAW sangat menginginkan kiblat umat Islam sama dengan kiblat Nabi Adam a.s dan dan Nabi Ibrahim a.s. Baginda sering berdoa dan sangat berharap permintaan itu diperkenankan oleh Allah SWT. Sehingga akhirnya Allah memakbulkan permintaan Baginda itu.
Firman Allah dalam surah al-Baqarah : 144 yang bermaksud;
“Kerap kali Kami melihat engkau wahai Muhammad, berulang-ulang menadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah muka mu ke arah Masjidil Haram tempat letaknya kiblat dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya…”
Selain itu terdapat peristiwa lain yang turut berlaku dalam bulan Rejab, iaitu:
#3 Berlakunya Perang Tabuk
Perang Tabuk berlaku pada tahun ke-9H antara umat Islam dengan tentera Rom di satu kawasan bernama Tabuk yang terletak di wilayah paling utara semenanjung Tanah Arab.
Perang ini juga menjadi peperangan terakhir yang diketuai dan disertai oleh Rasulullah SAW. Bahkan menjadi peperangan yang dimenangi oleh pasukan Islam tanpa pertumpahan darah kerana pihak musuh telah menawarkan perdamaian terlebih dahulu.
Banyak ujian dan hikmah daripada peperangan ini yang memberi pengajaran kepada umat Islam, tentang penyatuan dan perpaduan, asas iman Islam yang kukuh serta kesan sikap munafik yang memburukkan maruah agama dan masyarakat.
#4 Hijrah Pertama ke Habsyah
Hijrah pertama ke Habsyah berlaku pada tahun ke-5 kenabian Rasulullah SAW atau pada tahun 615M.
Walaupun hijrah ini hanya disertai 14 orang termasuk empat orang wanita, namun penghijrahan ini telah berjaya menyelamatkan akidah umat Islam ketika itu. Terutamanya bagi golongan yang baru memeluk Islam daripada ditekan dan disiksa. Habsyah dipilih kerana pemerintahnya yang bertoleransi dan lebih terbuka dengan agama Islam.
#5 Pembebasan Baitul Maqdis
Baitul Maqdis mula dibuka semasa pemerintahan Khalifah Saidina Umar bin al-Khattab dan beratahan selama 500 tahun di bawah pemerintahan Islam.
Namun, kota itu berjaya ditawan oleh pasukan Salib selama 50 tahun.
Kemudian, pada bulan Rejab 583H (September/Oktober 1187), pasukan Islam yang diketuai oleh Salahuddin al-Ayyubi telah berjaya membebaskan kota al-Quds semula daripada penjajahan Kristian dan mengembalikan pemerintahan Islam di kota itu.
#6 Kelahiran Imam Syafie
Imam Syafie dilahirkan pada 150H, bersamaan 767M di Gaza, Palestin. Beliau merupakan salah seorang daripada empat imam mazhab besar dalam ilmu Fiqah, iaitu pengasas kepada mazhab Syafie.
Peninggalannya yang paling agung dan berharga ialah kitab al-Umm yang masih menjadi rujukan penting sehingga kini.
#7 Penghapusan Sistem Khilafah
Selepas 760 tahun pembebasan Baitul Maqdis pada 28 Rejab 1342H, sistem khalifah akhirnya dijatuhkan oleh seorang pemerintah sekular di Turki, iaitu Mustafa Kamal Pasha Atartuk.
Kesannya, konsep pemerintahan yang dibentuk oleh Rasulullah SAW atau pemerintahan secara berkhalifah telah dilenyapkan dan diganti dengan pemerintahan republik ataupun kapitalisme-sekularisme. Selain itu wilayah Islam juga dipecahkan kepada negeri-negeri kecil sebagai memenuhi konsep nasionalisme.
#8 Kelahiran Ali ibn Abi Talib
#9 Perjanjian Aqabah Kedua
#10 Kemenangan tentera Islam dalam Perang Khaibar
Tidak ada sesuatu amalan atau ibadah yang sengaja dikhususkan untuk bulan ini. Namun terdapat amalan ibadah yang digalakkan dan bersifat umum yang boleh dipertingkatkan, seperti:
Bulan Rejab sangat sesuai untuk dijadikan sebagai penggerak untuk meningkatkan amalan ibadah kita. Tambahan lagi, Rejab adalah bulan yang kian hampir dengan Ramadan, jadi sesuailah untuk dijadikan sebagai bulan persediaan untuk menemui bulan mulia itu. Jadi, lebih mudahlah kita untuk berlumba beribadah di bulan Ramadan nanti jika sudah melakukan persediaan dan momentum lebih awal.
Dengan itu, laluilah bulan Rejab tanpa mengkhususkan ibadah atau amalan tertentu selagi tidak terdapat rujukan atau hadis yang pasti dan tepat mengenainya. Semoga kita sentiasa beristiqamah atau berterusan dalam beribadah bukan sahaja dalam buan Rejab tetapi di bulan-bualn lain juga, amin. Semoga mendapat manfaat daripada artikel kelebihan bulan Rejab ini.
Jemput baca artikel menarik lain seperti; Hari Tasyrik dan Kelebihannya dan Kelebihan Sedekah
Rujukan: