Rezeki yang tidak diduga seperti kerja baharu, kesihatan yang berpanjangan, rumah yang besar, anak yang ramai dan lain-lain lagi adalah anugerah terindah kurniaan Allah SWT. Ia tidak tertakluk kepada wang ringgit dan harta benda semata-mata.

Yang pasti, rezeki juga adalah kehidupan yang bahagia, berjaya dan mencukupi bagi setiap orang. Sama ada cukup atau tidak, yang penting rezeki tersebut adalah berkat. Apabila berkat, anda akan sentiasa rasa cukup, tidak mengalami kepayahan dan kesukaran dalam sesuatu perkara. Pendek kata, semua urusan anda berjalan dengan lancar.

Seseorang mukmin yang mencari rezeki di atas muka bumi Allah ini perlu meletakkan niat, azam atau disebut juga dengan ‘Iltizam’ di dalam hati masing-masing. Mencari rezeki bukan sahaja untuk mendapat kesenangan hidup tetapi mesti meletakkan keutamaan bagi mendapatkan rezeki yang halal dan barakah serta diredhai oleh Allah S.W.T.

keberkatan rezeki
Imej via [travelogjutawan]

Punca Keberkatan Rezeki

Dalam usaha untuk menjemput rezeki yang halal dan berkat, seseorang muslim mestilah menurut segala perintah agama sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. Kemudiannya, dituruti oleh para sahabat serta ulama-ulama pada masa kini.

Terdapat beberapa punca dan syarat bagi seseorang mukmin itu mendapatkan rezeki yang baik dan berkat sentiasa. Kemungkinan terdapat beberapa sebab kenapa sesuatu rezeki itu berkat dalam kehidupan anda. Sekaligus menjadikan seseorang manusia itu hidup dalam keadaan yang tenang, lapang dan bahagia.

Terdapat beberapa punca rezeki masuk tanpa diduga untuk umat Islam amalkan dalam mencari rezeki yang berkat dan diredhai oleh Allah S.W.T.. Bagi anda yang nak tahu punca rezeki masuk tanpa diduga ni, jom ikuti sampai habis ya? Semoga rezeki kita sering mendapat keberkatan daripada Allah S.W.T.:

keberkatan rezeki
Imej via [frontdesk]

1. Niat Mencari Rezeki Kerana Allah S.W.T.

Seseorang yang mencari rezeki hendaklah memasang niat untuk bekerja kerana Allah dan membantu umat Nabi Muhammad S.A.W. Apabila seseorang mukmin telah membetulkan niatnya mencari rezeki kerana Allah, mereka akan melakukan pekerjaan yang halal, jujur dan ikhlas tanpa mempertikaikan jumlah rezeki yang diperolehi tidak kiralah sikit ataupun banyak.

Keberkatan rezeki datang dalam niat seseorang walaupun setiap manusia mempunyai bentuk rezeki yang berbeza-beza. Ada yang mendapat rezeki dalam bentuk material seperti kenaikan pangkat, jumlah pendapatan yang banyak dan terdapat juga mereka yang gajinya tidak besar tetapi kesihatannya sentiasa baik, anak-anak yang bijak pandai dan sebagainya. Justeru niat bekerja sebagai satu ibadah akan mendatangkan keberkatan rezeki kepada kita.

2. Sentiasa Bangun Awal Pagi

Untuk mendapat rezeki yang berkat, seseorang itu hendaklah membiasakan diri dengan amalan bangun di awal pagi kerana Rasulullah S.A.W. sering berdoa kepada Allah S.W.T. agar memberkati umatnya yang bangun di awal pagi.

Justeru, dengan menjalani kehidupan di awal pagi bukan bertujuan untuk mengejar kekayaan dunia, tetapi untuk mendapat keberkatan rezeki. Para ulama dan sahabat memulakan hari mereka seawal pagi untuk merebut doa Rasulullah SAW dan seterusnya mendapat kehidupan yang berkat.

Bagi sesetengah para ulama yang menjalankan perniagaan, di siang hari mereka gigih mencari rezeki dan apabila menjelang malam, mereka menghabiskan waktu untuk beribadat kepada Allah SWT.

keberkatan rezeki
Imej via [syahida]

3. Sering Bersedekah

Bersedekah adalah memberikan sedikit sebanyak sebahagian yang kita miliki kepada orang lain. Allah S.W.T menjanjikan balasan ataupun pulangan yang pasti kepada mereka yang bersedekah untuk orang lain tidak kiralah apa jua bentuk sedekah sekali pun.

Keberkatan rezeki juga datang asbab dari bersedekah. Walaupun bersedekah pada awalnya dapat mengurangkan harta yang kita miliki, namun, Allah S.W.T. akan menggantikannya dengan berlipat-lipat ganda rezeki.

Namun begitu, bersedekah sebaik-baiknya dengan niat kita berharap mendapatkan balasan di akhirat berbanding mengharapkan balasan di dunia.

4. Banyakkan Bersyukur

Bersyukur merupakan cara untuk berterima kasih atas rezeki yang diberikan oleh Allah S.W.T. kepada kita. Lihat sajalah, bagaimana Allah S.W.T. sangat mudah memberi rezeki yang lebih kepada mereka yang sering bersyukur.

Ada saja rezeki bagi mereka yang tidak mengeluh, walaupun dalam keadaan yang terbatas dan serba kekurangan. Itu kerana mereka mendapat keberkatan rezeki.

Bukankah perkara ini juga sudah dijanjikan oleh Allah S.W.T. di dalam Al-Quran, bahawa sesiapa yang bersyukur maka Allah akan menambahkan nikmat-Nya namun bagi mereka yang mendustakan, maka akan mendapat azab yang pedih. Firman Allah S.W.T. :

“(Ingatlah) ketika Rabbmu memaklumkan, “Sesungguhnya jika kalian bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, akan tetapi jika kalian mengingkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku sangat berat.”

(Surah Ibrahim : Ayat 7)

keberkatan rezeki
Imej via [hisbah]

5. Banyakkan Beristighfar

Istighfar juga menjadi salah satu amalan punca rezeki masuk tanpa diduga dan mendapat keberkatan rezeki. Kadang-kadang, dosa yang telah kita lakukan akan menutup pintu rezeki dalam diri walaupun kita sudah berusaha sebaik mungkin.

Istighfar merupakan zikir memohon ampun atas dosa-dosa yang pernah kita lakukan dan mendapatkan keberkatan rezeki kembali. Imam Al-Hasan Al-Bashri juga menyuruh manusia beristighfar jika mengalami kesusahan, kemiskinan, tanaman yang sedikit hasilnya serta menginginkan zuriat. Jadi, perbanyaklah istighfar dalam apa jua kesusahan sekali pun. Firman Allah S.W.T. :

“Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhanmu dan bertaubatlah kepadaNya. (Jika kamu mengerjakan yang demikian), nescaya Dia akan memberi kenikmatan yang baik (terus-menerus) kepadamu sampai kepada waktu yang telah ditentukan, dan Dia juga akan memberikan kepada tiap-tiap orang yang mempunyai keutamaan (balasan) keutamaan-Nya. Jika kamu berpaling, maka sesungguhnya aku takut kamu akan ditimpa seksa di hari Kiamat”. 

(Surah Hud : Ayat 3)

Apa yang perlu difahami oleh kita semua adalah rezeki yang sedikit tetapi berkat dan bercukupan adalah jauh lebih baik dari rezeki yang melimpah ruah tetapi tidak berkat. Semoga rezeki kita semuanya mendapat berkat. Jom baca juga amalan menjemput rezeki, sebab solat dikaitkan dengan rezeki dan Doa murah rezeki.

Rujukan:

  1. beanahomequran
  2. akuislam
  3. mediamaklumat

Penulis: zulrina

Meminati dunia perniagaan, travel dan makanan.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.