Bila baca tentang kebaikan vitamin C pasti yang terlintas dalam minda ialah khasiatnya untuk kecantikan kulit dan mengubati selsema. Namun, tahukah anda bahawa vitamin C banyak kebaikan lain untuk manusia?

Dalam artikel ini, penulis akan kongsikan tentang kebaikan vitamin C yang ramai tak tahu. Sebelum perbincangan dilanjutkan berkaitan kebaikannya, jom kita baca tentang vitamin C terlebih dulu.

Apa Maksud Vitamin C?

Vitamin C atau asid askorbik ialah sejenis vitamin larut air. Maksudnya, tidak seperti vitamin yang lain, ia tidak disimpan dalam jumlah yang banyak dalam badan. Lebihan vitamin C dalam badan akan disingkirkan melalui air kencing.

Sesetengah haiwan mampu menghasilkan vitamin C sendiri. Namun berbeza pula dengan manusia yang perlu mendapatkan vitamin ini daripada makanan semula jadi atau makanan tambahan (suplemen kesihatan).

Secara umumnya vitamin C penting untuk pembentukan kolagen dan sebagai antioksida semula jadi. Pembentukan kolagen penting untung memberikan struktur kepada tulang rawan, saluran darah dan otot.

Apabila kekurangan vitamin C, kita tidak boleh menggantikan kolagen di dalam badan. Maka, pelbagai komplikasi kesihatan akan timbul. Tisu badan menjadi rosak dan menyebabkan penyakit gusi berdarah (skurvi) dan sebagainya.

Dos Harian Vitamin C

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dos harian vitamin C berbentuk suplemen bagi Malaysia ialah seperti berikut:

Kumpulan Umur Dos Harian (mg/hari)
Bayi 0-5 bulan

6-11 bulan

25 mg

30 mg

Kanak-kanak 1-6 tahun

7-9 tahun

30 mg

35 mg

Remaja 10-18 tahun 65 mg
Dewasa 70 mg
Wanita mengandung 80 mg
Wanita menyusu 85 mg

Perlu diingatkan bahawa vitamin C selamat diambil mengikut dos yang ditetapkan seperti jadual di atas. Namun begitu, pengambilan dos yang tinggi iaitu 2000 mg untuk jangka masa panjang tidak disarankan. Ia boleh menyebabkan komplikasi buah pinggang.

Apakah Sumber Vitamin C?

kebaikan vitamin c

 Imej via Bidadari

Anda boleh mendapat khasiat vitamin C yang optimum melalui buah-buahan dan sayur-sayuran. Antaranya ialah jambu batu, buahan sitrus, kiwi, betik, strawberi dan sebagainya. Manakala, dari sumber sayuran banyak terdapat di dalam tomato, kubis bunga, kubis, brokoli dan banyak lagi.

Kebaikan Vitamin C

Selain dapat mencantikkan kulit agar kelihatan awet muda dan berseri-seri, terdapat banyak khasiat vitamin C dari sudut kesihatan. Antaranya ialah:

1.Mengurangkan risiko penyakit kanser

Sebuah kajian membuktikan dengan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran yang kaya vitamin C risiko penyakit kanser dapat dikurangkan. Namun begitu, vitamin C dalam suplemen kesihatan tidak memberikan manfaat seperti ini.

2. Mengurangkan paras asid urik

Apabila asid urik tinggi di dalam darah, ia akan berkumpul di sendi dan tisu lembut pada sendi. Ini akan menyebabkan penyakit gout. Gout ialah sejenis penyakit artritis yang menyebabkan keradangan, bengkak dan kesakitan pada bahagian sendi. Sakitnya bukan kepalang.

Bagi pesakit gout, vitamin C sangat baik untuk mengurangkan asid urik di dalam darah. Mereka digalakkan makan makanan yang kaya dengan vitamin C dan juga boleh mengambil suplemen.

 3. Meningkatkan zat besi dalam tubuh

Zat besi sangat penting untuk menghasilkan sel darah merah dan mengagihkan oksigen di seluruh tubuh. Bagi orang yang kurang zat besi di dalam badan, anda digalakkan mengambil vitamin C dalam diet harian.

Suplemen vitamin C dapat meningkatkan penyerapan zat besi dalam pemakanan harian. Zat besi yang terdapat di dalam sayur-sayuran, kadangkala lambat diserap oleh tubuh. Vitamin C dapat mempercepat proses ini.

 4. Meningkatkan imuniti badan

Vitamin C sangat penting dalam sistem imun manusia. Antaranya vitamin C menggalakkan penghasilan sel darah putih. Sel darah putih berfungsi untuk melindungi tubuh daripada terkena jangkitan penyakit.

Kajian juga mendapati vitamin ini dapat mengeringkan luka dengan cepat. Malahan, orang yang mudah dijangkiti selsema dan demam, digalakkan mengambil vitamin C.

5. Melambatkan masalah penglihatan golongan tua

Bagi golongan yang sudah berumur masalah penglihatan (age related macular degeneration) ialah perkara yang biasa terjadi. Namun begitu, suatu kajian telah membuktikan bahawa pengambilan vitamin C, E, zink, beta karotena dan copper melambatkan masalah ini.

6. Menguatkan ingatan

Kajian mendapati orang yang mengalami dementia atau nyanyuk mempunyai vitamin C yang kurang dalam darah. Masalah dementia selalunya menyerang golongan yang sudah tua. Masalah ini menyebabkan mereka tidak mampu mengingati sesiapa dan tidak memahami apa yang berlaku di sekeliling.

Oleh itu, untuk mengelakkan masalah ini berlaku, kita perlu mengambil vitamin C secukupnya sejak muda lagi.

7. Mengurangkan risiko penyakit kronik

Vitamin C ialah sejenis antioksida yang kuat. Ia mampu menguatkan pertahanan badan kita. Antioksida ini dapat meningkatkan sistem imum dan menghalang tubuh daripada serangan radikal bebas.

Dengan pengambilan vitamin C yang cukup dikatakan bahawa dapat meningkatkan atioksida dalam darah sehingga 30%. Kesannya tubuh dapat melawan penyakit secara semula jadi.

8. Menghilangkan stres

Bagi orang yang mengalami tekanan dan kemurungan, dikatakan bahawa pengambilan vitamin C dapat membantu mereka. Bagi perokok tegar, kaki botol dan individu yang obesiti, biasanya bahan utama yang terdapat dalam ubatan mereka  ialah vitamin C.

9. Kurangkan risiko strok

Dalam Jurnal Nutrisi Kinikal Amerika, mendapati bahawa orang yang mempunyai kandungan vitamin C yang tinggi di dalam darah berisiko rendah mendapat strok. Risiko mendapat strok 42% lebih rendah berbanding mereka yang kurang vitamin C.

Setakat ini saja perbincangan penulis tentang topik kebaikan vitamin C. Jangan lupa mengamalkan pemakanan yang sihat dan seimbang. Pengambilan pelbagai nutrien yang seimbang sangat penting untuk kesihatan kita.

Jangan lupa baca tentang 10 vitamin C terbaik untuk kesihatan dan khasiat vitamin C untuk ibu mengandung.  Moga bermanfaat.

Rujukan

  • Kepentingan dan Ketoksikan Vitamin C (link)
  • 7 Impressive Benefits of Vitamin C Supplements (link)
  • Vitamin C Benefits, Sources, Supplements and More (link)

Penulis: Zuraidah Muhidden

Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.