Pernah dengar tentang phantom pregnancy atau kehamilan dengan kantung bayi kosong? Ia adalah keadaan di mana seorang ibu mengalami tanda-tanda kehamilan malah telah disahkan mengandung semasa mendapatkan pemeriksaa di klinik.

Apabila imbasan ultrasound dilakukan akan kelihatan kantung bayi di skrin. Namun lama-kelamaan ibu merasakan bahawa tanda-tanda mengandung semakin hilang dan apabila ke klinik untuk pemeriksaan dan imbasan ultrasound, kantung bayi kelihatan kosong tanpa kehadiran bayi.

Kalau ikutkan orang tua zaman dahulu, jika keadaan ini berlaku mereka akan mengatakan bahawa bayi dalam kandungan telah hilang kerana dicuri oleh orang bunian. Ia adalah kepercayaan orang lama. Namun tahukah anda bahawa yang sebenarnya ada penjelasan dari segi sains untuk keadaan ini. Istimewa untuk anda, hari ini kami akan kongsikan info tentang kantung bayi kosong termasuklah tanda dan punca-puncanya.

kantung bayi kosong
Sumber: Medicalnewstoday

Apakah yang dimaksudkan dengan kantung bayi kosong?

Kantung bayi kosong atau kehamilan kosong dipanggil sebagai blighted ovum. Dari sudut perubatan moden, kehamilan dengan kantung bayi yang kosong berlaku kerana embrio tidak terbentuk atau tidak berkembang semasa proses kehamilan berlaku. Semasa proses kehamilan, ovum dan sperma akan bercantum lalu menempel pada dinding rahim.

Setelah tempelan berlaku, sepatutnya embrio mula terbentuk dan berkembang dengan sempurna. Jika embrio langsung tidak terbentuk atau gagal untuk berkembang, maka berlakulah blighted ovum atau kehamilan dengan kantung bayi kosong. Ianya tidak ada sebarang kaitan dengan sebarang aktiviti paranormal atau alam ghaib.

Walau bagaimana pun, wanita yang mengalami kehamilan kosong akan tetap mengalami tanda-tanda kehamilan biasa kerana kehadiran plasenta atau kantung bayi di dalam rahim menyebabkan berlakunya perubahan hormon dalam badan, terutamnya hormon HCG yang akan meningkat sebaik sahaja seorang wanita mengandung.

Apakah punca seorang wanita mengalami kehamilan dengan kantung bayi kosong atau blighted ovum?

Sekali lagi kita akan melihat situasi ini dari sudut perubatan moden. Menurut kajian saintifik, terdapat dua punca kenapa keadaan ini berlaku iaitu disebabkan oleh:

1. Ketidak normalan pada kromosom

Semasa proses kehamilan, janin akan terbentuk daripada kromosom yang datang daripada ibu dan bapanya iaitu XX dan XY. Untuk pembentukan janin yang sempurna, kromosom tersebut haruslah berada dalam keadaan yang normal dan sempurna. Apabila embrio terbentuk daripada kromosom yang tidak normal, secara automatik tubuh badan si ibu akan menolak embrio tersebut.

Apabila tubuh badan menolak embrio tadi, ia tidak akan berkembang dengan baik lalu menyebabkan kantung bayi kosong. Jikaembrio tadi berjaya terbentuk dan berjaya berkembang sekali pun, kebiasaannya kandungan tadi akan gugur sebelum mencecah usia 8 minggu kerana tubuh badan akan terus menerus menolak kehadiran embrio itu disebabkan oleh kromosom yang tidak normal dan dianggap sebagai benda asing yang menumpang di dalam rahim.

kantung bayi kosong
Sumber: Surabayaonline

2. Sel tidak terbahagi dengan sempurna

Punca kedua kehamilan dengan kantung bayi kosong ialah disebabkan oleh sel janin yang tidak sempurna. Ovum dan sperma yang bercantum memiliki kromosom yang normal dan sempurna. Malangnya semasa proses persenyawaan, proses pembahagian sel tidak berjalan dengan baik di mana sel tidak terbahagi dengan sempurna.

Apabila sel tidak terbahagi dengan sempurna, ia dianggap sebagai sel yang tidak normal lalu akan ditolak oleh tubuh badan si ibu. Sama seperti kes kromosom tidak normal di atas tadi.

3. Faktor genetik

Punca kehamilan dengan kantung bayi kosong yang seterusnya ialah disebabkan oleh faktor genetik yang dibawa oleh ibu atau pun ayahnya.

Jika salah seorang daripada mereka mempunyai sejarah keluarga dengan kehamilan tanpa kantung bayi, maka mereka mempunyai risiko untuk mendapat kehamilan yang sama walau pun kromosom dalam sel ovum dan sperma mereka adalah normal dan sempurna serta proses pembahagian sel semasa persenyawaan telah berjalan dengan lancar.

Apakah tanda kehamilan dengan kantung bayi kosong?

Terdapat beberapa tanda atau simptom yang akan dialami oleh seorang ibu seandainya dia mengalami kehamilan dengan kantung bayi kosong. Walau bagaimana pun, kebanyakan tanda ini mungkin tidak disedari oleh si ibu. Di antara tanda kehamilan dengan kantung bayi kosong ialah:

  • Tiada alahan mengandung walau pun haid sudah lewat. Apabila kantung bayi atau plasenta melekat di dinding rahim tanpa janin, secara automatik haid anda akan menjadi lewat disebabkan oleh kehadiran hormon HCG yang memberikan petanda bahawa anda mengandung. Walau bagaimana pun disebabkan oleh kandungan anda tanpa janin, maka hormon yang dikeluarkan tidak cukup banyak untuk menyebabkan anda mengalami alahan mengandung atau morning sickness. Namun mungkin anda tidak perasan tanda ini kerana tidak semua orang mengalami morning sickness.
  • Pendarahan atau spotting. Pendarahan yang dimaksudkan ialah pendarahan yang sedikit dengan tompokan sahaja. Bukannya pendarahan yang banyak seperti haid.
  • Imbasan ultrasound menunjukkan tiada janin di dalam kantung bayi atau plasenta. Ini adalah tanda yang mengesahkan bahawa kandungan anda adalah tanpa bayi. Kebiasaannya jika kantung bayi sudah berukuran 25 mm dan kelihatah kosong, anda akan dianggao sebagai mengalami kehamilan dengan kantung bayi kosong. Kebiasaannya anda akan dinasihati untuk menunggu kantung tersebut gugur sendiri. Apabila ia gugur, anda akan mengalami pendarahan seperti datang bulan dengan sedikit kesakitan seperti senggugut.
kantung bayi kosong
Sumber: Marriageandbeyond

Itulah dia info tentang kantung bayi kosong yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan artikel ini, anda juga mungkin berminat untuk membaca perkongsian kami tentang khasiat safron, kebaikan folik asid untuk ibu mengandung, dan susu kambing untuk ibu mengandung.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.