Ayuh ketahui jenis-jenis neraka dan tingkatannya.

Sebagai umat islam, kita wajib percaya akan kewujudan syurga dan neraka, jika syurga sering dikaitkan dengan tempat indah atas balasan baik kepada golongan yang patuh akan perintah Allah, apakah pula neraka?

Dalam bahasa Arab neraka disebut ‘naar’  atau (an-nar). Kata ‘neraka’ juga disebutkan banyak kali dalam al-Quran dan ditegaskan bahawa  bahan bakar neraka adalah dari manusia dan batu (ada yang memaksudkan berhala).

Neraka adalah tempat  pembalasan, penyeksaan dan hukuman bagi golongan  yang derhaka pada Allah SWT dan engkar akan ajaran  Rasulullah SAW. Ada yang terus kekal dalam neraka selamanya dan ada juga yang akan masuk ke syurga akhirnya setelah dihukum dalam neraka, sesuai dengan dosa-dosanya yang telah diperbuat.

Siksaan yang paling ringan dalam neraka adalah sandal api yang boleh mendidihkan otak.

“Sesungguhnya penghuni neraka yang paling ringan siksaannya ialah orang yang diberi sepasang sandal yang talinya terbuat dari api neraka, lalu mendidihlah otaknya kerana panasnya yang laksana air panas mendidih di dalam periuk. Dia mengira tiada seorangpun yang menerima siksaan lebih dahsyat dari itu, padahal dialah orang yang mendapat siksaan paling ringan.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Allah SWT telah menyatakan dengan jelas dalam al-Quran tentang tingkatan neraka, hukuman kepada para penghuni mengikut  jenis-jenis neraka bersesuaian dengan kesalahan dan dosa semasa di dunia.

Rasulullah SAW Menangis Mendengar Kisah Neraka

Anas bin Malik r.a berkata:

“Jibril datang kepada Rasulullah SAW pada waktu yang ia tidak biasa datang dalam keadaan berubah mukanya, maka ditanya oleh Baginda, ‘Mengapa aku melihat kau berubah muka?’

Jawab Jibril, ‘Ya Rasulullah SAW, aku datang kepadamu di saat Allah SWT menyuruh supaya dikhabarkan penyalaan api neraka, maka tidak layak bagi orang yang mengetahui neraka jahanam itu benar, seksa kubur itu benar, dan seksa Allah SWT itu terbesar untuk bersuka-suka sebelum ia merasa aman daripadanya’.

Lalu Rasulullah SAW bersabda, ‘Ya Jibril, jelaskan padaku sifat Jahanam’. Jawabnya, ‘Ya Rasulullah, ketika Allah SWT menjadikan jahanam, maka dinyalakan 1,000 tahun sehingga merah kemudian dilanjutkan 1,000 tahun sehingga putih. Kemudian, 1,000 tahun sehingga hitam, maka ia hitam gelap, tidak pernah padam nyala dan baranya’.

‘Demi Allah SWT yang mengutus engkau dengan hak, andaikan terbuka sebesar lubang jarum nescaya akan membakar penduduk dunia semuanya kerana panasnya’.

‘Demi Allah SWT yang mengutus engkau dengan hak, andaikan satu baju ahli neraka itu digantung di antara langit dan bumi, nescaya akan mati penduduk bumi kerana panas dan basinya’.

‘Demi Allah SWT yang mengutus engkau dengan hak, andaikan seorang di hujung barat terseksa, nescaya akan terbakar orang yang di hujung timur kerana sangat panasnya’.

‘Jahanam itu sangat dalam dan perhiasannya besi dan minumannya air panas campur nanah dan pakaiannya potongan api. Api neraka itu ada tujuh pintu, setiap pintu ada bahagiannya dari lelaki dan perempuan’.

Baginda bertanya lagi, ‘Apakah pintu-pintunya bagaikan pintu-pintu rumah kami?’ Jawab Jibril, ‘Tidak, tetapi selalu terbuka, setengahnya di bawah dari lainnya, dari pintu ke pintu jarak perjalanan 70,000 tahun, tiap pintu lebih panas daripada yang lain 70 kali ganda’.

Tanya Rasulullah SAW, ‘Siapakah penduduk pintu masing-masing?’ Jawab Jibril, ‘Pintu yang pertama untuk orang munafik dan orang kafir setelah diturunkan hidangan mukjizat Nabi Isa a.s serta keluarga Firaun sedang namanya al-Hawiyah’.

‘Pintu kedua tempat orang musyrikin bernama Jahim, pintu ketiga tempat orang shobi’in bernama Saqar, pintu keempat tempat Iblis dan pengikutnya dari kaum Majusi bernama Ladza, pintu kelima orang Yahudi bernama Huthomah, pintu keenam tempat orang Nasara bernama Sa’eir’.

Kemudian Jibril dalam diam kerana segan pada Rasulullah sehingga ditanya, ‘Mengapa engkau tidak terangkan penduduk pintu ketujuh?’ Jawab Jibril, ‘Dalamya orang yang berdosa besar dari umatmu yang sampai mati belum sempat bertaubat’.

Maka Baginda jatuh pengsan dan Jibril meletakkan kepala Baginda di pangkuannya sehingga sedar kembali.

Sesudah sedar, Baginda bersabda: ‘Ya Jibril, sungguh besar kerisauanku dan sangat sedihku, apakah ada seorang daripada umatku yang akan masuk ke dalam neraka?’

Jawab Jibril, ‘Ya, iaitu orang yang berdosa besar dari umatmu’. Kemudian Rasulullah SAW menangis, Jibril juga menangis.

Lalu mereka berdua mendengar firman Allah SWT , ‘Wahai Jibril, wahai Muhammad! Sesungguhnya Aku menjauhkan kalian berdua dari  jenis neraka dalam islam. Tetapi janganlah kamu merasa aman dari siksaKu!”

Jenis-jenis Neraka dan Penghuninya

Terdapat tujuh jenis neraka yang disediakan Allah SWT kepada para umatnya yang melakukan dosa semasa hidup di dunia, iaitu:

1) Jahannam

Neraka Jahannam berada di tingkat teratas, iaitu bermula dari tingkat paling atas sehingga ke bawah (terakhir). Merupakan neraka yang paling dasyat siksaannya dan  menempatkan kaum kafir yang kekal di sini selama-lamanya selain umat Islam yang melakukan dosa besar dan tidak bertaubat.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’:169 yang bermaksud:

“Orang kafir dan orang aniaya, mereka tidak diampunkan Allah dan tidak pula ditunjukkan jalan melainkan ke neraka Jahanam. Mereka kekal dalam neraka itu selamanya. Yang demikian itu mudah sekali bagi Allah.”

 

2) Ludza

Neraka ini di tingkat kedua yang dihuni pendusta agama Allah  SWT dan berpaling daripada Islam. Firman Allah bermaksud:

“Sebab itu Kami beri khabar menakut kamu dengan neraka Ludza (neraka yang menyala-nyala). Tiada yang masuk ke dalamnya melainkan orang celaka, iaitu orang mendustakan agama dan berpaling daripadanya.”

(al-Lail: 14-16)

3) Huthamah

Neraka di tingkat ketiga ini adalah tempat hukuman bagi golongan yang lalai dalam menunaikan perintah Allah SWT lantaran dipengaruhi oleh duniawi.

Neraka ini juga menjadi tempat pembalasan bagi golongan yang suka mengumpulkan harta berupa emas atau perak, kedekut untuk mengeluarkan zakat serta menghina orang miskin.

Di neraka ini harta yang mereka kumpulkan itu akan dibakar dan diminumkan sebagai siksaan kepada mereka.

“Kecelakaanlah bagi setiap pengumpat lagi pencela, Yang mengumpulkan harta dan menghitung-hitung, Dia mengira bahwa hartanya itu dapat mengkekalkannya, Sekali-kali tidak! Sesungguhnya dia benar-benar akan dilemparkan ke dalam Huthamah. Dan tahukah kamu apa Huthamah itu?(iaitu) api (yang disediakan) Allah yang dinyalakan, Yang (membakar) sampai ke hati. Sesungguhnya api itu ditutup rapat atas mereka, (sedang mereka itu) diikat pada tiang-tiang yang panjang.”

(al-Humazah: 104)

4) Sa’eir

Neraka ini neraka dihuni oleh golongan yang tidak amanah terhadap harta anak yatim.  Nama neraka ini terdapat dalam surah  an-Nisa’: 10, surah  al-Mulk: 5,10,11 dan beberapa surah lagi.

“Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan api sepenuh perutnya dan mereka akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala (neraka).”

(an-Nisa’-10)

5) Saqar

Neraka di tingkat kelima, antara penghuninya adalah orang tidak bersolat, percaya kepada perkara bidaah, tidak memberi makanan orang miskin atau kesusahan, tidak percaya kepada hari akhirat, suka mengumpat, memfitnah, mengadu domba dan memecahbelahkan persaudaraan.

Firman Allah SWT;

“Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan neraka Saqar itu? Ia membakar mangsanya dengan tidak meninggalkan sisa dan tidak membiarkannya (binasa terus). Ia terus-menerus membakar kulit manusia.”

( al-Muddatstsir: 27-29)

Dalam ayat ini digambarkan neraka Saqar adalah tempat penyeksaan yang sangat pedih. Dinyatakan penyeksaannya berupa sengatan api yang membakar kulit manusia secara terus menerus sehingga hangus tanpa meninggalkan apapun sisa, tetapi meninggalkan rasa sakit yang berpanjangan.

6) Jahim

Neraka ini berada di tingkat keenam. Penghuninya yang melakukan dosa besar seperti berzina, membunuh, mendustai agama Allah SWT, serta minum arak akan menerima pembalasan di sini.

Firman Allah SWT:

“Dan diperlihatkan dengan jelas  jenis neraka Jahim kepada orang-orang yang sesat.”

(asy-Syu’araa : 91)

Golongan musyrik yang menyekutukan Allah juga menerima siksaan dalam neraka ini dan akan disiksa oleh para sesembahan mereka.

“Dan orang-orang yang kafir dan mendustkana ayat-ayat kami , mereka itulah penghuni neraka Jahim.”

(al-Maidah: 86)

7) Hawiyah

Neraka paling bawah menempatkan golongan yang memusuhi Nabi. Walaupun neraka ini paling bawah, apinya sangat panas. Firman Allah SWT bermaksud:

“Siapa yang ringan timbangan, dia dilemparkan ke neraka Hawiyah. Tahukah kamu apakah neraka Hawiyah? Ia adalah api yang sangat panas.”

(al-Qariah: 8-11)

Neraka ini juga disediakan bagi golongan yang semasa hidup di dunia mengerjakan kebaikan bercampur dengan keburukan. Termasuklah yang tidak mengendahkan ajaran Islam; wanita yang tidak menutup aurat, lelaki yang memakai sutera dan emas, golongan yang memakan rezeki dengan cara tidak halal, riba dan sebagainya.

Penutup: Tinggalkan hal yang boleh mengheret kita ke azab neraka, perbanyakkan amalan yang membawa ke syurga.

Mendengarkan nama serta para penghuninya saja sudah membuatkan kita gerun, takut dan ngeri, apatah lagi membayangkan diri sendiri berada dalam golongan ahli neraka itu. Sesungguhnya, tidak ada manusia yang mampu menahan azab neraka yang dahsyat ini, bahkan tidak ada sesiapapun yang mahu menjadi bahan bakarnya, nauzu billahi min zalik!

Namun, inilah hukuman yang diciptakan oleh Allah SWT bagi orang-orang yang ingkar kepada-Nya dengan berterusan berbuat dosa, menyekutukan-Nya, tidak mendirikan solat, berzina dan sebagainya.

Ingatlah bahawa Allah  SWT bukan sahaja mencipta neraka untuk sengaja menghukum hamba-Nya, bahkan adanya syurga sebagai ganjaran kepada ketaatan serta habuan bagi sesiapa yang bertakwa dan beribadah. Lalu burulah syurga, tinggalkan hal-hal yang akan mengheret kita ke neraka kelak.

Allah SWT berfirman:

“Peliharalah dirimu dari api  jenis neraka dalam Islam yang bahan bakarnya manusia dan batu, yang disediakan bagi orang-orang yang kafir.”

(al-Baqarah: 24)

Semoga ini membantu menjadi laluan agar dijauhkan diri daripada perbuatan buruk yang mendorong kita ke neraka-neraka Allah Azzawajalla, amiin.

 

Jika anda menyukai perkongsian kami ini, pasti anda juga menyukai artikel menarik kami tentang 4 Golongan Yang Haram Disentuh Api Neraka (Wajib Baca!)

 

Rujukan

  1. www.islampos.com
  2. www.thepatriots.asia
  3. Iluminasi.com

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.