Kematian akibat jangkitan kencing tikus atau Leptospirosis bukanlah perkara yang baru di Malaysia. Malah, pastinya ada kenalan anda yang lumpuh atau mengalami kerosakan organ dalaman disebabkan oleh penyakit merbahaya ini.

Benarkah kencing tikus berlaku disebabkan oleh penyakit bawaan tikus? Bagaimanakah cara jangkitan dan rawatan untuk penyakit kencing tikus?

Apakah yang dimaksudkan dengan kencing tikus?

Penyakit kencing tikus atau nama lainnya Leptospirosis adalah sejenis penyakit berjangkit yang menjangkiti manusia disebabkan oleh bakteria Leptospira yang disebarkan melalui haiwan.

Jika manusia yang dijangkiti oleh penyakit ini tidak diberikan rawatan dan ubat dengan kadar segera, penyakit ini boleh merebak ke seluruh badan, merosakkan organ dalaman, dan malah boleh membawa maut.

cara jangkitan kencing tikus dan rawatan
Sumber: Jomlahcuti

Adakah penyakit kencing tikus merupakan penyakit berjangkit yang dibawa oleh tikus sahaja?

Pada asalnya, bakteria Leptospira ini dikatakan datang dari tikus dan merebak melalui air kencing binatang yang kotor tersebut. Namun hari ini, kajian mendapati bahawa penyakit kencing tikus bukan sahaja boleh berlaku disebabkan oleh tikus, malah ianya boleh berpunca daripada pelbagai binatang lain, termasuklah haiwan liar dan haiwan peliharaan seperti:

  • Anjing
  • Hamster
  • Tikus belanda
  • Tupai
  • Arnab
  • Tikus
  • Rakun
  • Serigala

Haiwan yang telah dijangkiti oleh bakteria Leptospira dan menjadi pembawa penyakit kencing tikus mungkin akan menunjukkan gejalan dan tanda-tanda penyakit tersebut, namun sekadar menjadi pembawa dan tidak memindahkan penyakit tersebut kepada manusia yang berhampiran atau kebetulan terkena air kencingnya.

Bagaimanakah cara jangkitan kencing tikus? Bagaimana ia merebak kepada manusia?

Kajian terkini mendapati bahawa terdapat beberapa cara untuk bakteria
Leptospira berjangkit daripada haiwan bawaan kepada manusia. Di antara cara yang paling kerap berlaku di Malaysia ialah:

  • Jangkitan melalui air yang tercemar dengan air kencing haiwan bawaan kencing tikus. Contohnya air sungai, air kolam, air tasik, dan air di kawasan taman tema yang dicemari oleh air kencing haiwan pembawa penyakit ini. Jika anda melakukan aktiviti rekreasi seperti mandi-manda, berenang, dan berkayak di dalam air yang tercemar, anda berisiko tinggi untuk dijangkiti penyakit yang boleh membawa maut ini.
  • Jangkitan melalui sentuhan kulit. Jika haiwan pembawa penyakit kencing tikus meninggalkan air kencing di sesebuah kawasan, air kencing tersebut boleh menyebabkan jangkitan kepada manusia yang melalui kawasan tersebut. Sebagai contoh, sekiranya seekor serigala pembawa kencing tikus kencing yang dikurung di dalam zoo kencing di dalam kurungannya, penjaga zoo yang membersihkan kurungan tersebut mempunyai risiko tinggi untuk dijangkiti. Mereka yang bekerja di persekitaran yang berpotensi untuk dicemari oleh air kencing haiwan pembawa kencing tikus adalah seperti petani, penternak, peladang, pekerja rumahsembelihan, doktor haiwan, pemotong kayu balak di dalam hutan, pekerja sistem pembentungan, pesawah dan anggota tentera yang sedang melakukan latihan di dalam hutan.
  • Jangkitan dari alatan rumah yang dicemari air kencing haiwan pembawa kencing tikus. Tahukah anda bahawa alatan yang ada di dalam rumah juga boleh menjadi punca anda mendapat penyakit kencing tikus. Di antara situasi yang boleh menyebabkan anda berisiko untuk mendapar jangkitan kencing tikus ialah jangkitan dari air kencing anjing peliharaan, jangkitan dari binatang sembelihan, ruang perangkap air di dalam bilik mandi, dan termakan makanan yang telah digigit oleh haiwan bawaan penyakit kencing seperti tikus, tupai dan arnab.
  • Jangkitan semasa banjir. Bencana banjir merupakan salah satu situasi yang menyebabkan pelbagai penyakit berjangkit menular di kalangan manusia. Kencing tikus boleh menjadi wabak semasa banjir dimana air kencing tikus yang membawa penyakit ini akan mencemarkan air lalu terkena pada kulit manusia yang luka, atau masuk dalam mata, hidung atau mulut lalu menyebabkan berlakunya jangkitan.
cara jangkitan kencing tikus dan rawatan
Sumber: Lifestyle

Apakah tanda dan gejala penyakit kencing tikus?

Sekiranya anda atau orang tersayang dijangkiti oleh penyakit kencing tikus, tubuh badan akan menunjukkan simptom-simptom yang berikut. Tempoh masa pengeraman bakteria Leptospira di dalam tubuh badan adalah di antara 2 hingga 26 hari namun kebiasaannya anggaran biasa sebelum tubuh badan mula menunjukkan simptom kencing tikus adalah dalam tempoh 10 hari. Di antara simptom pertama yang akan ditunjukkan ialah:

  • Demam
  • Menggigil
  • Sakit anggota tubuh badan
  • Sakit kepala
  • Batuk tanpa kahak
  • Loya-loya dan mual-mual
  • Muntah
  • Cirit-birit
  • Sakit sendi
  • Sakit tulang
  • Sakit tekak
  • Sakit perut
  • Radang pada selaput mata

Selain itu, pesakit yang telah dijangkiti oleh penyakit kencing tikus juga mungkin mengalami:

  • Sakit otot
  • Pembesaran organ limpa atau hati
  • Bengkak pada saluran kelenjar
  • Kekerasan otot
  • Perubahan bunyi dalam paru-paru
  • Ruam

Apakah rawatan untuk penyakit kencing tikus?

Di antara rawatan yang boleh diberikan ialah dengan cara-cara berikut:

  • Pemberian ubatan antibiotik dengan cara ubat telan atau suntikan ke dalam saluran darah seperti Cephalosporim, Penicillin G,
    Ampicillin , Doxycycline, Chloramphenicol, Amoxicillin, Ceftriaxone dan Erythromycin untuk membunuh bakteria Leptospirosis.
  • Penjagaan sokongan bagi mengatasi segala simptom yang dialami oleh pesakit.
  • Terdapat juga satu petua merawat kencing tikus dengan menggunakan serai. Caranya ialah ambil beberapa batang serai termasuk daunnya. Basuh hingga bersih lalu direbus. Air rebusan serai tadi boleh diminum oleh pesakit kencing tikus.
cara jangkitan kencing tikus dan rawatan
Sumber: Tampabaybraininjuryblog

Itulah dia info tentang cara jangkitan kencing tikus dan cara rawatan yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang penyakit SLE, penyakit tibi, penyakit gout, dan penyakit HFMD.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.