Nabi Muhammad saw adalah seorang nabi ikutan yang tidak ada tolak bandingnya. Baginda adalah insan yang amat sempurna untuk dijadikan ikutan. Keperibadian Baginda sangat elok dan tidak mustahillah mengapa Allah SWT amat menyayangi Baginda sehingga diberi syafaat yang sangat tinggi.
Bertuah para sahabat yang dapat duduk secara berdepan sehingga dapat bersama-sama Baginda memperjuangkan Islam. Bertuah juga para wanita solehah yang dapat menjadi isteri Baginda semasa hayatnya.
Bagi anda yang masih belum tahu sepenuhnya siapakah wanita yang telah duduk bangun memperjuangkan Islam bersama Baginda, di sini akan dikongsikan serba sedikit info mengenali para isteri Baginda yang wajib untuk kita ketahui.
Isteri-isteri Nabi Muhammad SAW ialah wanita-wanita mulia yang telah berkahwin dengan Nabi Muhammad. Isteri-isteri baginda dikenali sebagai “Ummahatul Mukminin” yang bermaksud “Ibu-ibu kepada orang-orang beriman”. Gelaran ini datang dari firman Allah di dalam al-Quran:
“Nabi itu lebih menolong dan lebih menjaga kebaikan orang-orang yang beriman daripada diri mereka sendiri; dan isteri-isterinya adalah menjadi ibu mereka…” — Surah Al-Ahzab, petikan ayat ke-6
1 – Siti Khadijah binti Khuwailid
Manusia pertama masuk Islam. Rasulullah tidak berpoligami semasa hayat Siti Khadijah. Berusia 40 tahun ketika berkahwin dengan Nabi. Wanita paling terhormat di kalangan kaumnya dari segi keturunan, kekayaan dan kepintaran. Meninggal tahun ketiga sebelum hijrah.
2 – Saudah binti Zam’ah
Wanita pertama dinikahi selepas kewafatan Siti Khadijah. Berusia 65 tahun ketika berkahwin dengan Nabi. Rasulullah meminangnya untuk menjaga anak-anak Rasulullah dengan Khadijah.
3 – Aisyah binti Abu Bakar
Satu-satunya isteri yang dikahwini semasa anak dara. Rasulullah mengahwininya bagi merapatkan lagi hubungan dengan Sayidina Abu Bakar. Berusia 9 tahun ketika berkahwin dengan Nabi. Wanita paling alim dalam pengetahuan agamanya.
4 – Hafsah binti Umar
Untuk merapatkan hubungan baik dengan bapanya, Sayidina Umar, dan memuliakan suaminya yang syahid dalam perang Uhud. Berusia 21 tahun ketika berkahwin dengan Nabi. Pandai menulis dan berbahasa.
5 – Zainab binti Khuzaimah
Rasulullah menikahinya demi memuliakan suaminya yang syahid dalam Perang Uhud. Berusia 29 tahun ketika berkahwin dengan Nabi. Beliau digelar ummu al-Masakin (ibu orang-orang miskin) kerana sikap penyayang dan kelembutannya terhadap mereka.
6 – Ummu Salamah Hindun binti Abu Umayyah
Berusia 34 tahun ketika berkahwin dengan Nabi bagi memecah tembok permusuhan dengan kabilah Bani Makhzun terhadap Islam dan memadamkan kebencian mereka. Wanita pertama hijrah ke Habsyah. Paras cantik dan akal pintar.
7 – Zainab binti Jahsy
Seorang yang sangat kuat beribadah, paling banyak bersedekah dan memuliakan orang miskin. Berusia 35 tahun ketika berkahwin dengan Nabi. Perkahwinan dengan Rasulullah adalah perintah langsung daripada Allah.
8 – Juwairiyah binti Al-Harith
Tawanan perang bani Mustalaq yang dibebaskan oleh Rasulullah dan kemudian dinikahi Baginda. Berusia 21 tahun ketika berkahwin dengan Nabi. Banyak berpuasa dan beribadat.
9 – Safiyyah binti Huyai
Pembebasan daripada tawanan perang. Berusia 17 tahun dan sudah menjanda ketika berkahwin dengan Nabi. Beliau bersifat lemah lembut dan bersikap benar.
10 – Ummu Habibah Ramlah binti Abu Sufiyan
Berusia 31 tahun ketika berkahwin dengan Nabi bagi memperbaiki hubungan dengan Abu Sufiyan. Berhijrah ke Habsyah bersama suaminya dan suaminya meninggal di sana. Nabi meminang beliau menerusi raja Najasyi.
11 – Maimunah binti Al-Harith
Berusia 25 tahun ketika berkahwin dengan Nabi bagi menyebarkan syiar Islam. Paling bertakwa dan bersungguh-sungguh menyambung silaturahim.
12 – Mariah binti Syam’un
Hadiah daripada Raja Muqawqis. Satu-satunya isteri yang mempunyai zuriat selepas Siti Khadijah.
Di zaman yang sudah semakin berakhir ini, ada segelintir individu menganggap Baginda Nabi Muhammad SAW berkahwin ramai hanya demi nafsu namun hakikatnya dakwaan itu sama sekali salah. Lihat sendiri siapakah yang isteri nikahi. Rata-rata dari isteri Baginda adalah yang berstatus janda dengan jumlah anak yang ramai. Ada yang merupakan balu kepada para sahabat yang telah gugur syahid.
Ada juga di antara pernikahan Rasulullah yang disebabkan oleh aspek politik. Pernikahan tersebut dilakukan demi untuk untuk menghindari permusuhan atau membebaskan tahanan.
Di antaranya, pernikahan beliau dengan Juwairiyah binti al-Harits, pemuka Bani Mushthaliq dari Khaza’ah, yang ditahan umat Islam. Sementara pernikahan beliau dengan Ummu Habibah Ramlah binti Abu Sufyan memiliki pengaruh besar terhadap islamisasi dan mengikis perlawanan Abu Sufyan terhadap Islam. Ini boleh memberitahu yang Baginda berkahwin bukan demi kerana nafsu sebaliknya untuk menjadi pelindung.