Bulan Muharam adalah salah satu bulan yang tergolong dalam bulan haram, selain bulan Zulkaedah, Zulhijjah dan Rejab. Sesuai dengan ‘Muharram’ sendiri yang bermaksud  ‘diharamkan atau dilarang’.

Bulan-bulan ini diharamkan daripada melakukan keburukan dan digalakkan berbuat kebaikan dan amal ibadah. Allah SWT melarang peperangan atau pertumpahan darah dalam bulan ini, namun larangan tersebut telah digugurkan selepas pembukaan kota Mekah.

Seperti  firman Allah SWT dalam surah al-Taubah;

Sesungguhnya jumlah bulan menurut Allah ialah dua belas bulan, (sebagaimana) dalam ketetapan Allah pada waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya ada empat bulan haram. Janganlah kamu menganiaya dirimu dalam (bulan yang empat) itu, dan perangilah kaum musyrikin semuanya sebagaimana mereka pun memerangi kamu semuanya. Dan ketahuilah bahwa Allah beserta orang-orang yang takwa.”

(at-Taubah : 36)

Bulan Muharram juga sangat terkenal dengan hari Asyura yang bertepatan pada 10 Muharram, iaitu hari kesepuluh dalam bulan tersebut. Pada hari tersebut bukan sahaja disunatkan berpuasa, namun terdapat banyak peristiwa dalam sejarah Islam yang menjadikan hari asyura sangat istimewa. Sebab itu jugalah bulan Muharram dianggap mulia dan disebut sebagai bulan para nabi dan mukjizat mereka.

Apakah keistimewaan 10 Muharam ini? Apakah peristiwa yang istimewa itu? Berikut beberapa peristiwa tersebut;

1. Allah Menerima Taubat Nabi Adam

Nabi Adam AS yang melanggari perintah Allah SWT dengan memakan salah satu buah larangan di syurga, telah diturunkan ke bumi bersama Hawa.

Nabi Adam sangat menyesal atas perbuatannya berdoa dan bersungguh-sungguh memohon keampunan Allah SWT seperti yang termaktub dalam al-Quran;

“Wahai Rabb kami, sesungguhnya kami telah menzalimi diri kami sendiri. Dan apabila Engkau tidak mengampuni kami, tentunya kami termasuk dari orang-orang yang rugi.”

Pada 10 Muharam, Allah SWT telah menerima taubat Nabi Adam AS.

2. Nabi Yusuf Dibebaskan Dari Penjara

Selepas dilanda ujian fitnah dari Zulaikha, Nabi Yusuf  AS dihukum penjara sebelum dibebaskan pada 10 Muharram.

Semasa di penjara, Nabi Yusuf tidak berputus asa atau mengeluh. Baginda tetap bersabar dan beriman kepada Allah SWT selain berdakwah kepada para penghuni penjara.

3. Nabi Musa Diselamatkan Daripada Dikejar Firaun

Dalam peristiwa inilah yang menjadi tetapan puasa Asyura pada 10 Muharam. Termaktub dalam kitab Injil, orang-orang Yahudi menetapkan hari puasa pada 10 Muharam sebagai tanda syukur bahawa Nabi Musa dan Bani Israil terselamat dari cengkaman Firaun.

4. Nabi Yunus Diselamatkan Dari Dalam Perut Ikan

Nabi Yunus AS yang berputus asa dalam berdakwah kepada kaumnya telah dihukum oleh Allah SWT melalui seekor ikan Nun.  Ikan nun telah menelan Nabi Yunus dan Baginda terperangkap dalam perut ikan itu selama  40 hari.

Lalu Nabi Yunus segera bertaubat dan tidak berhenti memohon ampun dari Allah SWT semasa berada dalam perut ikan nun.

“Tiada Tuhan melainkan Engkau (Ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada teraniaya, tolonglah daku! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang zalim.”

Lalu Allah SWT telah menerima doa dan taubat Nabi Yunus AS dan Baginda dibebaskan dari perut ikan itu pada 10 Muharam.

5. Penglihatan Nabi Yaakob Dipulihkkan

Nabi Yaakub AS telah kehilangan penglihatannya lantaran terlalu banyak bersedih akan kehilangan anak kesayangannya, Nabi Yusuf. Apatah lagi usia Baginda ketika itu juga semakin lanjut.

Namun, itu juga adalah teguran dari Allah SWT kepada Nabi Yaakub yang terlalu kasihkan puteranya melebihi segalanya.

Ketika Nabi Yusuf AS mengetahui keadaan bapanya, Baginda meminta diberikan pakaiannya kepada bapanya dan diusapkan di wajah bapanya. Dengan izin Allah dan mukjizat Nabi Yusuf AS penglihatan Nabi Yaakub pulih selepas 80 tahun.

6. Turunnya Kitab Taurat Pada Nabi Musa

Nabi Musa AS adalah Nabi yang diizinkan untuk berbicara langsung dengan Allah SWT. Dengan itu, Baginda mendapat gelaran ‘kalimullah’ yang bermakna orang yang diajak berbicara langsung oleh Allah SWT.

Baginda mendapat wahyu selepas peristiwa tenggelamnya Firaun dan pengikutnya di Laut Merah, Nabi Musa pergi ke Gunung Sinai dan berpuasa selama 40 hari. Kemudian Baginda menerima wahyu dan kitab Taurat sebagai petunjuk kepada kaumnya, Bani Israel.

7. Nabi Sulaiman Mendapat Kerajaan

“Dan Kami kurniakan kepada Nabi Sulaiman kuasa menggunakan angin untuk perjalanannya: sepagi perjalanannya adalah menyamai perjalanan biasa sebulan, dan sepetang perjalanannya adalah menyamai perjalanan biasa sebulan; dan Kami alirkan baginya matair dari tembaga; dan (Kami mudahkan) sebahagian dari jin untuk bekerja di hadapannya dengan izin Tuhannya. Dan sesiapa dari jin itu yang menyeleweng dari perintah Kami, Kami akan merasakannya (pukulan) dari azab api neraka.”

(Saba: 12)

Nabi Sulaiman AS telah dianugerahi Allah SWT dengan kerajaan yang sangat besar dan megah merangkumi manusia, binatang dan jin. Baginda mewarisi takhta kerajaan yang agung dan kenabian dari bapanya, Nabi Daud AS.

Nabi Sulaiman AS juga diberikan mukjizat dan kelebihan yang luar biasa sehingga mampu menundukkan pergerakan angin, iaitu sebulan sebelum angin itu sampai kepadanya sehingga sebulan setelah melepaskannya.

Selain itu, Pada 10 Muharam juga telah berlaku banyak lagi peristiwa penting dalam Islam:

  • Nabi Isa AS diangkat ke langit.Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.
  • Nabi Nuh AS diselamatkan Allah keluar dari perahunya dan banjir besar.
  • Nabi Ibrahim AS diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud.
  • Nabi Ayub AS dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya.
  • Allah SWT menjadikan Malaikat Jibril.
  • Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah.
  • Diampuninya kesalahan Nabi Muhammad SAW yang lepas dan selepasnya.
  • Hari pertama Allah SWT menciptakan alam.
  • Hari pertama Allah SWT menurunkan hujan.
  • Allah menjadikan ‘Arasy.
  • Allah SWT menjadikan Luh Mahfuz.
  • Hari Pertama Allah SWT menurunkan rahmat

Penutup: Peristiwa di Bulan Muharram Yang Mulia Dengan Kisah-Kisah Kenabian

Muharram juga ditandai sebagai bulan pertama dalam tahun baharu, iaitu sebagai tahun baru Islam atau tahun baru hijriah. Pembaharuan ini telah dilakukan semasa kekhalifahan  Saidina Umar Al-Khattab.

Peristiwa-peristiwa yang berlaku pada hari Asyura atau sepanjang bulan Muharram membuktikan kehebatan dan kekuasaan Allah SWT serta kebenaran mukjizat para Rasul pesuruh Allah SWT.

Penuh dengan kisah-kisah tentang para rasul menjadikan Muharram bukan sahaja bulan haram tetapi bulan kenabian yang dimuliakan. Bahkan segala peristiwa ini seeloknya diingati dan difahami oleh semua umat Islam.

Rujukan:

  1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
  2. Pusat Islam UPM
  3. Popmama.com
  4. Harakah Daily

Bacaan Lain:

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.