Ibu Ini Kongsi 4 Tips Didik Anak Cinta Al-Quran
Sebagai ibu bapa, kita pasti mahukan segala yang terbaik buat anak-anak. Mempunyai anak-anak yang cinta Al-Quran, bijak membaca Al-Quran dan menghafaz…

Ringkasan Ringkas
- Berdoa kepada Allah agar ditunjukkan jalan untuk menjadikan anak cinta Al-Quran.
- Mewujudkan Biah Al-Quran di rumah dengan istiqamah membaca Al-Quran sebagai teladan kepada anak.
- Menghidupkan kehidupan tanpa televisyen agar fokus dan masa untuk mengajar anak lebih mudah.
- Ibu bapa perlu sentiasa mengisi gelas ilmu dengan belajar Al-Quran untuk manfaat diri dan anak.
- Jadikan Al-Quran sebagai amalan harian dan panduan utama dalam kehidupan seharian.
Sebagai ibu bapa, kita pasti mahukan segala yang terbaik buat anak-anak. Mempunyai anak-anak yang cinta Al-Quran, bijak membaca Al-Quran dan menghafaz Al-Quran merupakan kurniaan terindah buat ibu ayah. Bagaimanakah cara untuk mendidik anak cintakan Al-Quran sejak awal usia? Ikuti perkongsian ibu ini iaitu Puan Siti Aminah Sulaiman, melalui laman Facebook beliau tentang tips menyemai rasa cinta pada Al-Quran dalam diri anak-anaknya yang bernama Muiz dan Nur Solehah. Semoga ianya bermanfaat buat kita semua.

Foto Kredit : therightfulrecital.com
PERKONGSIAN DARIPADA SEORANG IBU
Sebenar tak susah nak dapat anak yang ‘ketagih’ baca Al-Quran. Sepanjang pengalaman saya mengajar anak-anak menghafaz Al-Quran, saya lihat ada beberapa faktor yang menjadikan anak itu mudah untuk dididik cintakan Al-Quran. Saya kongsikan apa yang perlu kita buat supaya kita mudah nak ajar anak, anak suka baca dan hafaz Al-Quran.
1. DOA
Ini paling penting. Saya mula dengan berdoa dahulu kepada Allah supaya Allah tunjukkan jalan bagaimana nak jadikan anak saya cinta kepada Al-Quran. Allah Maha Baik, Dia sememangnya tidak pernah menghampakan hambaNya. Lambat atau cepat, Dia akan beri pada waktu yang paling sesuai. Berdoalah wahai ibu ayah. Jangan bergantung harap pada manusia, tetapi letak harapan sepenuhnya kepada Allah. Pelbagai keajaiban akan berlaku dengan izinNya.

Foto Kredit : islamidia.com
2. BIAH AL-QURAN
Saya perasan anak-anak saya ni, bila ‘time’ saya rajin baca Al-Quran, mereka pun rajin ambil sendiri Al-Quran nak baca, tak perlu saya suruh atau paksa. Tapi kalau ‘time’ saya sendiri tak sentuh Al-Quran, memang liat nak suruh anak baca Al-Quran. Ini yang saya belajar daripada pengalaman selama 8 tahun mengajar anak-anak menghafaz Al-Quran di rumah. Situasi ini menunjukkan betapa pentingnya mewujudkan suasana Al-Quran itu di rumah. Inilah yang dipanggil Biah Al-Quran. Anak-anak perlu melihat ibu atau ayah mereka sentiasa istiqamah membaca Al-Quran dan tanpa sedar, anak akan terdorong untuk menjadi rajin membaca Al-Quran juga.

Foto Kredit : furkannesli.com
3. HIDUP TANPA TELEVISYEN
‘Part’ ini paling susah. Sejujurnya saya memang ‘hantu’ TV sejak kecil lagi. Cakap sahaja apa-apa cerita, mesti saya akan melekat depan TV, drama bersambung-sambung lagi saya suka. Tetapi saya perasan, apabila saya cuba ajar anak saya Al-Quran, TV menjadi satu masalah besar buat saya. Saya susah nak fokus mengajar anak dan masa saya menjadi sangat singkat bila ada TV, sebab akan ada sahaja cerita yang ingin saya tonton. Akhirnya, saya buat keputusan untuk potong siaran TV di rumah dan itu berlaku pada 5 tahun yang lepas. Alhamdulillah, rupanya ia adalah pengorbanan yang berbaloi. Mulai hari itu, saya mempunyai lebih banyak masa untuk mengajar anak-anak, dan saya juga punya masa untuk diri saya sendiri mempelajari Al-Quran.

Foto Kredit : pinterest.fr
4. SENTIASA ISI GELAS ILMU
Untuk berjaya dalam mendidik anak, ibu bapa perlu sentiasa mengisi gelas ilmu. Bagaimana kita nak tumpahkan ilmu kepada anak kita jika gelas kita sendiri kosong, bukan? Saya sedar yang diri saya serba kekurangan ilmu Al-Quran. Lalu saya terus ambil Pakej Kombo 10 Kelas untuk belajar Ibrah Al-Quran dengan Ustaz Syaari Ab Rahman. Tahun ini dan tahun-tahun seterusnya, akan menyaksikan saya menjadi pelajar Al-Quran bersama dengan anak-anak saya. Lebih banyak kita belajar, lebih banyak rupanya kita tidak tahu. Jangan malu mengakui kelemahan diri, terus belajar untuk menambah ambah ilmu.

Foto Kredit : muslimmatters.org
JADIKAN AL-QURAN AMALAN HARIAN
Latih diri kita dan anak-anak untuk melazimi ayat-ayat Al-Quran dalam kehidupan seharian. Jadikan Al-Quran sebagai panduan utama dalam apa jua perkara yang kita lakukan. Adakah kita sudah membaca Al-Quran hari ini? Semoga kita dapat menjadi contoh terbaik buat anak-anak dalam membentuk mereka menjadi generasi celik dan cinta Al-Quran. *Sumber asal tips mendidik anak cinta Al-Quran ini dikongsikan oleh Puan Siti Aminah Sulaiman melalui laman Facebook peribadinya dan diterbitkan semula dengan kebenaran beliau.