Jom fahami hikmah dugaan hidup buat pedoman kita bersama.
Bagaimana yang hidup pasti akan merasa mati, begitulah juga keadaannya bahawa setiap yang hidup pasti akan dilanda dugaan dan ujian. Selalunya bila kita diuji dengan dugaan, aka nada yang cuba menguatkan kita dengan mengatakan bahawa Allah uji sebab Allah sayangkan kita. Sebagai seorang hamba yang mengesakan Allah, pastinya kita harus mempercayai bahawa sememangnya dugaan yang datang adalah tanda Allah sayangkan kita hambanya.
Tahukah anda bahawa walau pun dugaan yang datang adalah sangat perit dan pahit untuk ditelan, yang sebenarnya dugaan hidup datang bersama hikmah. Namun mungkin kita tidak menyedarinya kerana terlalu fokus dengan kesukaran untuk menghadapi dugaan tersebut.
Seperti yang kami tulis diatas tadi, dugaan yang datang adalah kerana allah sayangkan kita. Allah nak kita sentiasa ingat dan dekat kepadaNya. Berapa ramai di antara kita yang melupakan Allah semasa senang? Terlalu sibuk mengejar dunia sehingga terlupa untuk mengumpul saham akhirat? Bila diuji, barulah nak dekatkan diri kepadaNya.
Apabila mendapat dugaan, biasanya kita akan kembali ke tikar sejadah untuk bersolat dan berdoa agar masalah dan dugaan kita dipermudahkan dengan segera. Apabila diuji barulah kita teringat untuk membanyakkan solat sunat, mengaji, berzikir, dan berselawat. Betul kan?
Itulah sebabnya kami katakana bahawa di antara hikmah dugaan hidup ialah untuk meningkatkan darjat kita di sisi Allah. Apabila kita banyak melakukan ibadat dan sentiasa mengingati Allah, pastinya kita akan mendapat darjat yang tinggi di sisi Allah. Insya Allah jika kita mati dalam keadaan sebegini, syurga menanti untuk kita di sana.
Semasa sedang menghadapi dugaan, pastinya ada yang akan bertanya kenapa kita diuji? Kenapa bukan orang lain? Jika ada terlintas persoalan ini di benak atau fikiran, ketahuilah bahawa sesungguhnya kita adalah manusia yang bertuah kerana terpilih untuk diuji. Tidak semua manusia bertuah untuk dipilih sebagai hamba yang istimewa untuk dinaikkan darjatnya di sisi Allah.
Oleh itu banyakkan bersabar dan redha semasa menghadapi dugaan hidup. Sentiasa ingatkan diri sendiri bahawa Allah uji sebab sayang dan dugaan yang datang ini akan meningkatkan darjat kita di sisi Allah. Ianya tak mudah namun bukan mustahil untuk dilakukan.
Hikmah dugaan hidup yang kedua ialah ia melatih diri kita untuk bersabar. Sebagai contoh, jika selama ini kita seorang yang sihat dan menjalankan gaya hidup yang aktif dan secara tiba-tiba kita jatuh sakit lalu terlantar di atas katil. Pastinya kita sedang mengalami dugaan yang sangat hebat dan memerlukan kesabaran yang tinggi. Daripada seorang yang aktif, kini untuk ke bilik air pun perlukan bantuan ahli keluarga.
Di sinilah hikmahnya. Allah sedang memberi peluang kepada kita untuk mendidik diri supaya menjadi seorang yang bersabar. Ketika diuji, banyakkan berzikir dan berselawat agar kita sentiasa ingat bahawa dugaan yang datang bukan untuk menyusahkan kita. Elakkan daripada terlalu ikutkan perasaan dan menyalahkan takdir. Jangan lepaskan kemarahan kepada orang sekeliling yang ada bersama kita.
Jika kita bersabar dan redha dengan dugaan yang sedang dihadapi, kita sudah berjaya mengharungi salah satu dugaan hidup yang dihantar oleh Allah kepada kita. Insya Allah satu hari nanti bila kita sihat semula, kita akan bangkit sebagai seorang manusia yang lebih baik dan sifat penyabar yang dipupuk semasa sakit akan menjadikan kita seorang manusia yang penyabar dan baik hati.
Selain mendidik kita untuk menjadi seorang yang penyabar, hikmah dugaan hidup yang lain juga ialah untuk mendewasakan kita. Sesungguhnya setiap ujian dan dugaan yang datang dalam hidup akan mematangkan fikiran dan menjadikan kita seorang manusia yang lebih baik. Jika tidak diuji, mungkin kita tidak akan menjadi manusia hebat seperti hari ini. Oleh itu percayalah dugaan yang datang adalah untuk kebaikan kita.
Apabila didatangi ujian dan masalah, pastinya kita akan menjadi seorang yang lebih cekal dan berhati waja. Malah kita lebih menyedari bahawa hidup ini tidak mudah. Semakin banyak ujian dan cabaran yang kita hadapi, semakin kita menjadi kuat dan matang dalam menghadapi pancaroba kehidupan. Bukankah ia sesuatu yang baik?
Sebagai seorang yang beragama islam, kita mengaku bahawa Allah adalah satu-satunya tuhan yang wajib disembah dan kita manusia yang hidup di dunia hanyalah hambanya yang hina. Ada kalanya kita terlupa bahawa kita hanyalah seorang hamba disebabkan oleh limpahan nikmat yang kita miliki.
Oleh itu, sesekali Allah hantar kita dugaan untuk memperingatkan bahawa kita hanyalah seorang hamba dan segala kesenangan dan kemewahan yang kita nikmati hari ini adalah datang dari Allah dengan izinNya.
Hikmah dugaan hidup yang terakhir ialah dugaan datang bersama pahala yang besar. Apabila diuji, kita akan mendapat pahala kerana sabar dan redha dengan apa yang sedang kita alami. Semasa diuji biasanya kita akan banyak melakukan amal ibadat untuk mendekatkan diri kepada Allah dan setiap amal ibadat yang dilakukan akan mendapat pahala yang banyak di akhirat nanti.
Itulah dia perkongsian tentang hikmah dugaan hidup yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Semoga kita semua dirahmati Allah dan dilimpahkan dengan keberkatan dan kasih sayang. Jika anda sukakan artikel ini,anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang doa murah rezeki dan doa dipermudahkan urusan