Ketahui hak suami selepas bercerai.

Bila sebut tentang penceraian pastinya yang terlintas di fikiran adalah musnahnya sebuah rumah tangga yang dibina dengan ikatan kasih sayang. Akan ada isu perebutan hak penjagaan anak.

Akan ada isu tuntutan nafkah untuk anak-anak dan juga hafkah isteri sepanjang tempoh eddah. Kebanyakan isu yang ditonjolkan adalah berkenaan hak seorang isteri dan anak-anak yang menjadi mangsa perceraian.

Namun tahukah anda bahawa yang sebenarnya seorang suami juga mempunyai hak tersendiri selepas sebuah perceraian berlaku. Namun hak seorang suami jarang diperkatakan memandangkan orang lelaki dilihat sebagai seorang yang kuat untuk menghadapi sebuah perceraian. Hari ini kami akan kongsikan info berkenaan hak seorang suami selepas bercerai sebagai panduan kita semua.

hak suami selepas bercerai
Sumber: Theberkat

Harta sepencarian

Harta sepencarian merujuk kepada semua harta-benda termasuk rumah, tanah, kereta, barang kemas, perabot, simpanan, wang ringgit, dan apa sahaja benda berharga yang diperolehi secara bersama oleh pasangan suami isteri semasa perkahwinan mereka masih berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syara’. Bahasa kasarnya, apa sahaja yang diperolehi sepanjang tempoh perkahwinan adalah dianggap sebagai harta sepencarian walau pun cuma salah seorang yang bekerja.

Sebagai contoh, sepanjang berkahwin cuma isteri yang bekerja sedangkan suami tidak mempunyai sebarang pendapatan. Sungguh pun cuma isteri yang mempunyai mata pendapatan semasa berkahwin dan harta yang dimiliki dibeli menggunakan duit isteri, ianya masih dianggap sebagai harta seperncarian dan sebaik sahaja perkahwinan mereka berkahir, ianya perlu dibahagikan mengikut hukum syarak.

Harta sepencarian boleh dituntut oleh suami atau isteri di Mahkamah yang mempunyai berbidangkuasa ke atas pernikahan mereka. Menurut akta di Malaysia, harta sepencarian termasuklah:

  • Wang ringgit
  • Harta alih
  • Harta tak alih
  • Apa-apa aset yang diperolehi atas perkongsian bersama dalam tempoh perkahwinan.

Tuntutan Harta Sepencarian ini hendaklah dibuat oleh suami di Mahkamah Tinggi Syariah yang mempunyai bidang kuasa ke atas rumah tangga yang telah dibubarkan.

Hak penjagaan anak (Hadhanah)

Hadhanah bermaksud hak penjagaan ke atas anak-anak yang masih kecil dan belum berupaya untuk menguruskan dirinya sendiri tanpa penjagaan orang dewasa. Mengikut Hukum Syara’ dan Undang-undang keluarga Islam yang berkuatkuasa di Malaysia, ibu adalah orang yang paling berhak untuk mendapat hak penjagaan ke atas anak-anaknya yang masih kecil iaitu berumur di bawah umur 7 tahun bagi anak lelaki dan 9 tahun bagi anak perempuan.

Bagi anak yang melebihi had umur yang dinyatakan di atas, jika berlaku pertikaian mengenai hak jagaan ke atas anak tersebut, mahkamah akan menentukan siapa yang berhak untuk mendapat hak jagaan berdasarkan pilihan yang dibuat oleh anak-anak tersebut samada hendak tinggal bersama ibu atau bapa.

Walau bagaimana pun terdapat keadaan di mana suami yang bercerai boleh berjaya dalam tuntutan hak penjagaan anak bila mana dia berjaya membuktikan bahawa isterinya tidak layak untuk mendapat hak jagaan. Ketidak layakan tersebut boleh datang dari segi:

  • Keadaan emosi atau psikologi ibu
  • Keadaan kesihatan ibu
  • Pekerjaan ibu
  • Tempat tinggal ibu
  • Dan sebab-sebab lain yang membuatkan seorang ibu tidak layak untuk menjaga anak yang menjadi rebutan

Tuntutan hak jagaan anak atau Hadhanah boleh dibuat oleh suami di Mahkamah Tinggi Syariah kawasan yang mempunyai bidang kuasa ke atas rumah tangga yang dibubarkan.

Tanggung jawab seorang suami selepas bercerai

Selain berbicara tentang hak, adalah penting untuk kita membincangkan sekali tentang tanggung jawab yang digalas oleh seorang suami selepas bercerai. Tuntutan hak seharusnya dilakukan seiring dengan menjalankan tanggung jawab yang digalas dibahu. Di antara tanggung jawab suami selepas bercerai ialah:

  • Nafkah eddah iaitu nafkah yang wajib dibayar oleh seorang suami kepada bekas isteri yang diceraikannya selama tempoh eddah raji’e. Nafkah eddah termasuklah iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal yang ditetapkan mengikut Hukum Syara’.
  • Mut ’ah adalah satu bayaran yang wajib dibayar oleh seorang suami kepada isteri yang telah diceraikan tanpa sebab yang munasabah mengikut Hukum Syara’. Kadar mut’ah boleh ditentukan melalui persetujuan oleh kedua-kedua belah pihak. Sekiranya berlaku pertikaian mengenai kadar mut`ah yang perlu dibayar, ianya akan ditentukan oleh pihak mahkamah mengikut kesesuaian kes.
  • Nafkah anak adalah nafkah yang wajib dibayar oleh seorang suami bagi menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan isteri. Nafkah anak termasuk makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan perubatan mengikut kemampuan suami.
  • Tunggakan nafkah ialah nafkah yang tidak ditunaikan oleh suami kepada isterinya sepanjang tempoh perkahwinan dan menjadi hutang hutang ke atas suaminya sebaik sahaja perkahwinan mereka dibubarkan. Tunggakan nafkah wajib dibayar oleh seorang suami kepada bekas isterinya.
  • Hak tempat tinggal. Seseorang isteri yang diceraikan berhak mendapat tempat tinggal yang disediakan oleh bekas suaminya semasa dalam tempoh eddah.

Itulah dia info tentang hak suami selepas bercerai yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Adalah sangat penting untuk kita memahami bahawa bukan sahaja hak yang perlu dituntut malah tanggung jawab juga perlu dilaksanakan dengan penuh rasa tanggung jawab tanpa menyebabkan anda pihak yang tertindas atau rasa dianiaya. Lebih-lebih lagi berkaitan dengan isu nafkah anak-anak dan hak penjagaan anak-anak.

hak suami selepas bercerai
Sumber: Hijabandheels

Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan perkongsian kami pada hari ini, anda juga dijemput untuk membaca artikel kami tentang isteri tidak hormat suami persediaan untuk menjadi suami, dan punca isteri merajuk dengan suami.

Sumber:

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.