Nak tahu cara forensik anggar masa kematian? Dengan bantuan lalat!
Artikel ini membentangkan kes-kes yang menggunakan pendekatan forensik entomologi untuk membuat anggaran masa kematian mayat yang dijumpai di tempat kejadian. Kedudukan ketinggian bangunan di mana kematian berlaku juga main peranan.
Penyiasatan entomologi forensik adalah bidang kajian berdasarkan pemahaman taburan dan kelakuan komuniti serangga pemakan bangkai atau mayat. Hasil kajian tersebut dipersembahkan di mahkamah atau mana-mana sistem pengadilan sebagai sokongan bahan bukti secara saintifik.
Dalam artikel ini, tiga kes forensik yang berlaku di bangunan kediaman tinggi di Malaysia dilampirkan bersama penerangan kepentingan lalat dalam forensik entomologi untuk membantu siasatan jenayah, khususnya dalam penentuan anggaran masa kematian.
Tiga kes forensik ini adalah sebahagian daripada kajian kes forensik yang berlaku pada tahun 2012, sebagaimana yang pernah dilaporkan dalam kertas kajian Syamsa et al. (2015).
Semua mayat ditemui di bangunan tinggi yang terletak di kawasan bandar di Kuala Lumpur. Autopsi atau bedah siasat telah dijalankan di Unit Forensik, Jabatan Patologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Kuala Lumpur.
Antara isu yang dihadapi untuk menganggarkan masa kematian mayat yang ditemui mati di bangunan tinggi, menggunakan kaedah forensik entomologi adalah apabila bangunan boleh bertindak sebagai penghalang fizikal untuk melambatkan ketibaan serangga dan proses bertelur.
Seorang wanita berusia 36 tahun didapati mati di dalam bilik tidur di tingkat 15 apartmen pada 03 Januari 2012. Dia ditemui dalam keadaan berbaring di atas lantai bilik tidurnya dalam kedudukan yang terdedah.
Mayat wanita tersebut sudah berada pada fasa pereputan yang hampir lengkap dengan cecair badan sudah mula terkumpul di bahagian bawah badan. Pil perancang kehamilan ditemui berada bersebelahan dengan mayat. Semua tingkap dan pintu ditutup, kecuali tingkap di kawasan dapur.
Suhu purata bilik tersebut ialah 26.7ºC. Dia tinggal bersendirian dan didapati tidak menghubungi saudara-maranya dekat lebih sebulan. Punca kematian tidak diketahui.
Larva lalat S. nudiseta instar ketiga (sudah berada pada kitaran hidup larva ketiga) dan lalat dewasa jenis sarkofagid ditemui menghurung kawasan abdomen dan rambut. Banyak pupa lalat jenis Megaselia scalaris melekat pada rambut dan juga bertaburan di atas lantai.
Anggaran masa kematian untuk kes ini dianggarkan berdasarkan kitar hayat lengkap pupa lalat M.scalaris yang dikumpulkan di tempat kejadian.
Berdasarkan tarikh kemunculan lalat dewasa pada 07 Januari 2012 selepas pemendapan telur yang berlaku pada 26 Disember 2011, maka, masa kematian yang dianggarkan adalah 8 hingga 9 hari dari tarikh penemuan badan.
Anggaran masa kematian ini berpadanan dengan anggaran yang dikeluarkan oleh ahli patologi forensik berdasarkan ciri-ciri patologi mayat.
Walaupun kehadiran lalat sarkofagid sering dijumpai dalam kes-kes forensik di Malaysia, lalat ini tidak digunakan dalam anggaran masa kematian kerana maklumat yang tidak mencukupi dan tidak konsisten tentang biologi dan kitaran hayat mereka.
Rajah untuk Kes 1 (a) Larva lalat yang menghurung kawasan abdomen, (b) larva pada rambut (c) pupa pada rambut (d) pupa di atas lantai
Pada 08 Februari 2012, satu mayat yang mula mereput milik wanita berusia 75 tahun ditemui di dalam bilik tidurnya di tingkat ke-11 di rumah flat 18 tingkat. Mayat dijumpai berbaring di sebelah kanan dengan bendalir dan cecair badan terkumpul di lantai. Mayat berpakaian penuh dengan baju malam, seluar dan stokin. Menurut saksi, dia terakhir dilihat pada 24 tahun Januari 2012.
Unit rumah tersebut ditutup selain daripada tingkap di kawasan dapur. Suhu purata di kawasan kematian ialah 28.5ºC. Punca kematian adalah disebabkan oleh oklusi koronari yang disebabkan oleh atheroma (masalah pembuluh darah).
Bahan bukti entomologi dikumpulkan pada 09 Februari 2012, yang terdiri daripada pupa lalat M. scalaris yang melekat pada pakaian serta perabot berhampiran di mana mayat ditemui berbaring. Larva instar ketiga daripada S. nudiseta merupakan spesis yang paling banyak dijumpai pada badan si mati. Beberapa lalat sarkofagid dan pupa S. nudiseta dijumpai di lantai.
Terdapat juga kehadiran larva bersaiz sederhana instar ketiga, yang kemudiannya dikenal pasti sebagai Chrysomya megafephala.
Tidak seperti Kes 1, anggaran masa kematian untuk kes ini telah dianggarkan berdasarkan kitaran hidup S. nudiseta.
Berdasarkan pada tarikh kemunculan dewasa pada 18 Februari 2012, pemendapan telur dianggarkan telah berlaku antara 29 Januari 2012 dan 2 Februari 2012. Memandangkan spesies ini mungkin tertarik kepada mayat yang sudah busuk, tambahan empat hari tempoh untuk lalat ini bertelur telah dimasukkan ke dalam pengiraan. Oleh itu, anggaran masa kematian telah dianggarkan 12 ± 2 hari dari tarikh mayat ditemui.
Ahli patologi forensik menganggarkan dua minggu masa kematian sebelum badan ditemui.
Rajah untuk Kes 2 (a) larva pada badan mayat (b) larva pada pakaian (c) pupa di atas lantai (d) pupa di atas perabot
Mayat seorang lelaki berusia 52 tahun ditemui di ruang tamunya di tingkat atas unit rumah kedai 5 tingkat pada 11 Mac 2012. Suhu purata bilik ialah 27.3ºC. Dia berpakaian penuh dan berbaring di atas tilam. Sekumpulan cecair badan terkumpul menunjukkan proses penguraian yang telah berlaku. Tingkap di kawasan bilik tidur dan dapur didapati dibuka.
Spesimen entomologi di tempat kejadian dikumpulkan pada 12 Mac 2012. Pelbagai saiz larva dikenal pasti sebagai S. nudiseta, lalat Chrysomya rufifacies dan sarkofagid didapati menghurung mayat terutamanya pada leher dan bahagian atas separuh badan selain di bawah selimut. Banyak pupa daripada M. scalaris telah didapati bertaburan di kawasan tilam yang kering dan lantai.
Masa kematian telah dianggarkan mengikut kitaran hidup S. nudiseta berdasarkan pada tarikh kemunculan lalat dewasa pada 22 Mac 2012, dan dikira bahawa pemendapan telur boleh berlaku antara 02 hingga 06 Mac 2012. Masa kematian dianggarkan 11 ± 2 hari sebelum penemuan selepas mengambil kira tempoh S. nudiseta bertelur.
Anggaran ini juga berpadanan dengan anggaran yang dikeluarkan oleh ahli patologi forensik
Rajah untuk Kes 3 (a) larva pada leher dan kawasan muka (b) pelbagai saiz larva di kepala mayat (c) larva pada selimut (d) pupa di atas cadar tilam