Pernahkah anda dijangkiti demam campak? Ahli keluarga atau rakan anda? Tahukah anda, istilah perubatan demam campak ialah measles, diambil terus dari nama virus yang menyebabkannya iaitu virus measles.
Jangan keliru dengan cacar air (chicken pox) ya, yang ini disebabkan oleh virus lain pula. Ramai di antara masyarakat kita sering menyamakan demam campak ini dengan cacar air.
Demam campak merupakan jangkitan virus yang mudah tersebar. Ia menjangkiti orang lain melalui udara dengan titisan cecair apabila bersin atau batuk. Seperti yang ditulis oleh Dr Afiq Rahim di dalam artikel beliau, terdapat beberapa faktor yang boleh mengundang jangkitan ini. Jadi, kami sajikan di sini pengalaman beliau untuk pembacaan anda.
“Doktor, kami nak maklumkan kita ada satu kes Measles (Demam Campak) Positif di kawasan kita” pesan jururawat saya.
“Oh kes tahun lepas tu k?” Balas saya.
“Bukan doktor, kes baru. Ini kes notifikasi daripada HRPZ (Hospital Raja Perempuan Zainab Kota Bharu).”
“Kes disahkan berdasarkan klinikal atau ujian darah?” tanya saya.
“Ujian darah doktor”.
.
“Ibu pesakit ada dengan datang hari ini doktor cuma dia tolong bawa anak ‘madu’ dia untuk rawatan kes contact measles. Budak tu mengadu batuk lama.” sambung misi saya.
“Oh dia datang ke? Anak ‘madu’ dia? Menarik.” saya membalas.
Selang beberapa minit, seorang wanita berpurdah berpakaian hitam di dalam lingkungan umur saya masuk ke bilik saya bersama seorang anak kecil.
Keadaan anak kecil itu menarik perhatian saya.
Fizikalnya normal namun keadaan kebersihannya amat tidak memuaskan.
Mukanya comot, tangannya kotor dan kakinya kotor kehitaman bekas bermain di atas tanah, pakaiannya lusuh dan berbau. Kasihan adik ini bisik hati saya.
“Assalamualaikum puan. Silakan duduk puan” saya mempelawanya.
“Eh tak mengapa doktor. Anak ni dah batuk lama. Misi suruh mari klinik untuk rawatan lanjut. Dah lebih seminggu batuk tidak kebah.” Dia memulakan bicara.
.
“Adakah dia mengalami batuk berkahak?”
“Ya doktor. kahak tak pasti warna apa sebab dia telan” dia menjawab pertanyaan saya.
Saya meneruskan pertanyaan kemudian disusuli dengan pemeriksaan ke atas kanak-kanak itu.
“Baiklah puan, paru-paru anak puan ini mempunyai kahak. Memandangkan umurnya sudah lebih 2 tahun dan batuk berpanjangan maka saya akan berikan ubat batuk untuk mengurangkan gejalanya.” saya membuat keputusan.
“Maaf doktor, ini bukan anak saya tetapi anak madu saya. Saya hanya tolongnya membawa anak ini ke klinik” Dia menegaskan fakta.
“Oh maafkan saya. Di mana ibunya?”
“Ibunya sedang berpantang di rumah. Baru bersalin.” Balasnya lagi.
“Berapa orang anak sekarang di rumah puan?” Saya mula mengorek cerita.
“Kesemua sekali ada 8 orang“
“Puan tinggal sekali dengan madu puan?” saya bertanya lagi.
“Ya doktor. Saya tinggal dengan madu kedua. Madu pertama tinggal di tempat lain”.
Cerita semakin menarik.
“Puan boleh saya tahu bagaimana keadaan anak puan yang dijangkiti demam campak?” saya bertanya khabar anaknya.
“Alhamdulillah beransur pulih” balasnya.
“Boleh puan ceritakan apa yang berlaku kepada anak puan?” saya mahu mengetahui lanjut tentang kejadian yang menimpa anaknya.
“Dia demam panas selama beberapa hari. Kemudian badannya timbul campak. Saya berikan madu dan habbatusauda kepadanya tetapi demamnya tidak kebah.”
“Lalu dia mendapat SAWAN?” Saya mengutarakan soalan.
“Ya doktor….” Beliau tunduk sayu. Tona suaranya beransur hiba.
“Dia nyetok (Sawan) di rumah. Kami jadi panik. Terus saya bawanya ke hospital”
Beliau menyambung “Kemudian mereka tahan dia di wad beberapa hari. Hasil keputusan darah dia positif demam campak (Measles).”
“Puan, adakah puan menvaksin anak puan?” Saya melontaran soalan walaupun boleh di agak jawapannya. Saya hanya inginkan pengesahan.
“Tidak doktor, kesemua anak kami tidak divaksin. Suami saya melarang keras.” balasnya dengan nada kesal.
“Mengapa dia melarang puan? Ada dia berbincang dengan puan dan madu puan tentang hal vaksin ini?”
“Dia kata tuan guru dia yang melarangnya. Dia juga tidak suka berubat di klinik atau di hospital. Dia lebih suka berubat cara kampung.”
“Oh begitu rupanya.” saya mula memahami masalah mereka.
“Adakah suami puan melihat sendiri keadaan anak puan yang dimasukkan ke hospital baru-baru ini?” Saya ingin mencari punca masalah lagi.
“Dia tak tahu doktor. Suami saya keluar bersama jemaah tabligh. Dia tidak dapat dihubungi” Balasnya dalam nada kecewa.
“Eh takkanlah tidak boleh dihubungi langsung. Saya dulu pernah mengikuti jemaah tabligh. Takdalah sampai diharamkan telefon bimbit ketika keluar bersama jemaah” Saya mencari kepastian adakah jawapannya hanya permainan atau kebenaran.
“Entahla doktor. Memang dia tak tahu lagi keadaan anak kami.” Balasnya lagi tetapi dalam keadaan yang lebih serius.
“Baiklah puan, saya ingin bertanya dari hati ke hati. Puan dah lihat bagaimana keadaan anak puan yang sangat kasihan semasa di hospital betul?” Saya melontarkan soalan untuk dirinya berfikir.
Si Ibu mengangguk tanda setuju.
“Adakah puan mahu anak-anak yang lain menerima nasib yang sama?” saya bertanya lagi.
Dia menggelengkan kepala.
Tiada ibubapa yang sanggup melihat anak mereka menderita.
Betul tak tuan-tuan dan puan-puan?
“Kami nak jaga dan melindungi puan sekeluarga. Adakah puan sudi bekerjasama?” Saya cuba memberikan harapan baru kepadanya.
“Insyallah” balasnya dalam nada serba salah.
“Adakah puan bersetuju jika kami menvaksinkan anak puan termasuk semuanya tercicir di rumah itu?”
Soalan cepumas saya lontarkan kepadanya.
“Maafkan saya doktor. Bukan saya tak nak vaksin anak kami tetapi….suami yang tidak izinkan.”
Balasnya dalam keadaan serba salah dan kekeliruan.
“Sejujurnya apa yang puan rasa selepas melihat anak puan nyetok di rumah?”
“Saya rasa menyesal doktor, saya takut, saya jadi bimbang kehilangan dia. Bukan saya tidak mahu dapatkan rawatan tetapi suami kami tidak izinkan. Saya bawa dia ke hospital kerana TERPAKSA selepas dia nyetok tu. Saya yang jaga dia siang malam, tengok keadaan dia. Suami saya balik pon tidak. Kalo balik pon bukan tengok sangat anak-anak.”
Dia meluahkan perasaan.
Beliau menambah: “Saya pun tidak sangka boleh jadi seteruk ini. Abang-abang dan kakak-kakanya pun pernah kena demam campak tetapi semuanya baik sendiri.” wujud sesalan di bibirnya.
“Oh yeke, mungkin bukan demam campak kot sebab tak semua ruam yang timbul di badan bayi adalah campak.” Saya cuba mengurangkan penyesalan itu.
“Saya tak pasti doktor..”
“Baiklah puan, sekurang-kurangnya saya berasa lega mendengar luahan puan. Saya perlu bercakap dengan suami puan juga. Anak-anak lain yang tidak divaksin semuanya berisiko tinggi terjadi penyakit campak terutama bayi yang baru lahir itu.” Saya memberikan nasihat kepadanya.
“Suami saya tidak dapat dihubungi doktor..” dia menegaskan situasi dirinya.
“Ok, jika suami puan pulang ke rumah, tolong sampaikan salam kepadanya dan berpesan untuk berjumpa saya. Buat masa ini, misi-misi kami akan melakukan lawatan berkala ke rumah puan untuk memastikan keadaan anak-anak selamat.”
Kami menutup bicara pada petang itu.
Seusai sahaja wanita berpurdah dan berjubah gelap itu beredar meninggalkan bilik kami, saya terus bertanya jururawat saya yang berada di bilik sejak awal menemani kami.
“Bagaimana keadaan rumah dia dan status sosial dia sekeluarga?”
“Mereka ini hidup berpindah randah doktor. Miskin. Berpindah ke sini sebab ada orang dermakan rumah tu untuk mereka berteduh.
Rumahnya kecil tapi doktor, memang kotor sangat. Tingkap tidak dibuka, gelap, berbau busuk dan bersepah-sepah.” balas jururawat saya menerangkan keadaan rumah yang dilawatinya pada pagi tadi.
“Saya buat sistem upah untuk anak-anak dia. Jika mereka kemaskan rumah kita beri upah kepada mereka. Niat derma terus doktor kepada anak-anak dia. Kesian mereka”.
Saya angguk setuju dengan tindakan murni jururawat saya.
Termenung saya memikirkannya halnya pada petang itu selepas waktu pejabat.
Pelbagai faktor menjadi punca berlakunya jangkitan Measles ini.
Di dalam hal ini, selain faktor penolakan vaksin, faktor kebersihan, kemiskinan dan persekitaran memainkan peranan utama.
Kebanyakkan Penyakit berjangkit sangat mudah menjangkiti mangsa dengan 5 perkara ini:
1. Persekitaran yang sesak (rumah kongsi / setinggan / kawasan dibanjiri pendatang asing/ Pasar Malam).
2. Sikap Pengotor (Yang ini semua faham rasanya).
3. Kemiskinan – masalah sosio-ekonomi menyebabkan mereka fokus menyara keluarga lebih utama daripada kesihatan dan lain-lain keperluan.
4. Fahaman “Aku Tidak Pedulisme” atau Liberalisme – satu fahaman yang hanya mementingkan diri sendiri atau mereka berhak memilih cara hidup sendiri. Maka Mereka memilih untuk tidak menvaksinkan anak-anak mereka.
5. Cetek Ilmu dan kesedaran tentang vaksin. Kadangkala mereka menerima ilmu yang salah tentang vaksin daripada pihak lain.
Saya menyokong saranan pihak KKM agar ibubapa memastikan anak-anak diberi imunisasi yang secukupnya.
Pemberian vaksin adalah satu ikhtiar untuk mengelakkan dari mendapat penyakit-penyakit berjangkit yang berbahaya seperti Polio, Tb, Pertusis, Difteria dan pelbagai lagi.
Sudah tentu kesungguhan optimum telah, sedang dan akan dilakukan oleh pihak KKM bagi membendung gajala wabak kuman tersebut bagi memastikan rakyat sihat.
Penyakit tersebut berisiko tinggi membawa maut atau mendatangkan komplikasi yang serius.
Kaedah yang paling ampuh ketika ini adalah pencegahan melalui vaskinasi.
KKM juga menjamin bahawa vaksin yang diberikan adalah selamat dan halal untuk digunakan.
Pesanan saya buat para ibubapa yang menolak vaksin atau masih belum melengkapkan jadual immunisasi anak-anak anda:
Jangan “sudah terantuk baru tengadah”.
*Kalau bukan kematian, komplikasi kesihatan lain yang kekal seumur hidup boleh berlaku gara-gara demam campak ini, jika rawatan sesuai tidak diberi secepatnya. Jadi, jangan lupa share info ini!
*Artikel ini telah diterbitkan dengan kebenaran penulis. Untuk post asal penulis, boleh rujuk di sini.