Artikel ini tentang cara-cara DIY gambar passport yang mudah dan menjimatkan. Hampir kebanyakan negara di dunia menggunakan gambar pasport untuk urusan rasmi dan penting. Di negara kita sendiri, gambar pasport diwajibkan untuk beberapa perkara penting.

Jika hendak buat kad pengenalan, visa mahupun pasport antarabangsa, gambar pasport benda utama yang perlu disediakan. Selain itu, untuk segala jenis lesen tidak kira lesen kenderaan, lesen perniagaan juga memerlukan gambar pasport.

Kemasukan ke tadika, sekolah dan universiti juga mewajibkan gambar pasport berserta dokumen-dokumen lainnya. Jangan lupa, sijil nikah juga memerlukan gambar pasport ya! Begitu penting gambar pasport dalam urusan penting di negara kita.

Namun, yang menjadi masalahnya ialah kalau ambil gambar pasport dan cuci di kedai, harganya bukan murah. Setiap 4 keping harganya dalam RM16 hingga RM18. Bukan sekeping yang perlu digunakan, kadang-kadang sampai 3 4 keping untuk satu urusan.

gambar pasport
Imej Via Bidadari

DIY Gambar Pasport

Di zaman kemelesetan ekonomi disebabkan pandemik COVID-19 yang melanda negara, kita semua perlu berjimat-cermat. Apa kata kita buat DIY gambar pasport guna telefon sahaja. Lebih mudah, jimat dan praktikal.

Kadang-kadang gambar pasport yang diambil di kedai pun bukannya cantik. Bergantung kepada jurukameranya. Kalau rajin edit, nampak menariklah gambar. Mahal 1 hal, muka pun macam baru bangun tidur dan tidak bersedia.

Kalau kita DIY sendiri gambar pasport, bolehlah kita edit mengikut kepuasan hati. Tapi, jangan pula edit bersungguh-sungguh sampai orang pandang muka kita berkali-kali sebab berbeza dengan gambar pasport.

Nak tahu caranya? Jom baca!

Cara DIY Gambar Pasport Guna Telefon 1

Ikuti langkah-langkah yang disenaraikan oleh Cik Puan Kam dalam blognya.

  1. Ambil gambar sendiri

Minta tolong adik-beradik atau kawan-kawan ambil gambar anda berlatarbelakangkan dinding kosong berwarna putih atau berwarna. Kalau dinding berwarna, pastikan warnanya kontras dengan baju atau tudung.

  • Muat turun aplikasi PicsArt

Setelah berpuas hati dengan gambar yang diambil, sila muat turun aplikasi PicsArt di Google Play atau App Store. Kemudian, tekan ‘All Photos’ dan pilih gambar yang hendak diedit untuk buang bahagian latar belakang tersebut.

gambar pasport
Imej Via Bidadari
  • Proses mengedit gambar

Kemudian, tekan ‘Cutout’ (lambang gunting) dan lambang ‘Autocut’ (lambang manusia). Pada masa ini, gambar keseluruhan wajah kita akan menjadi warna merah. Kawasan yang tidak bertanda merah (dinding), maksudnya akan dibuang.

Setelah ditanda merah, tekan lambang ‘Arrow’ di atas untuk ‘Save As Sticker.’ Setelah disimpan, buka balik PicsArt. Anda perlu pilih template ‘Color Backgrounds.’ Cari warna biru cair sama seperti pasport yang dicuci di kedai. Seterusnya, tekan ‘Sticker.’

Gambar yang disimpan awal-awal tadi cari di bahagian ‘My Stickers > Cutouts.’ Masukkan ke latar belakang biru cair tadi. Susun atur saiz dan kedudukan agar mengikut standard biasa.

Setelah semuanya selesai, pilih ‘Tools > Crop > Free.’ Pada bahagian ini, ia bertujuan untuk membuang lebihan latar belakang biru cair tadi. Setelah siap buang lebihan, sila ‘Save’ gambar pasport DIY anda itu.

  • Cetak gambar pasport

Sebelum mencetak gambar pasport DIY ini, anda buka semula PicsArt. Pilih ‘Collages > Grids.’ Tekan gambar pasport tersebut 8 kali untuk mendapatkan turutan gambar.

Kemudian, tekan ‘Ratio’ gambar dan pilih saiz ‘3:2.’ Klik pada ‘Adjust Border’ untuk memilih ketebalan bingkai gambar. Setelah berpuas hati, ‘Save To Phone.’

Sekarang, anda sudah boleh cetak gambar pasport DIY anda untuk pertama kalinya. Pasti rasa bangga bukan? Anda boleh mencetaknya di kiosk layan diri yang kini banyak terdapat di pusat membeli-belah. Malahan, ada juga di pekan dan bandar.

Kalau mempunyai mesin pencetak di rumah, lebih baik manfaatkannya. Anda perlu gunakan glossy paper bersaiz 4R.

  • Cara mencetak melalui telefon

Anda perlu memuat turun aplikasi Brother iPrint & Scan. Kemudian, pilih menu ‘Print.’ Kemudian, tekan ‘Photo’ dan tandakan (tick) pada gambar yang hendak dicetak. Selepas itu, tekan ‘Done.’

Sebelum cetak, semak dulu ‘Setting Printer.’ Pilih jenis kertas glossy dan ‘Borderless Off’ (bagi yang sudah buat bingkai gambar awal-awal tadi). Setelah semuanya betul, tekan ‘Print.’

Cara DIY Gambar Pasport Guna Telefon 2

gambar pasport
Imej Via Bidadari

Ikuti perkongsian DIY gambar pasport yang dikongsikan oleh saudara Harith Faizal melalui laman Facebook miliknya.

  1. Muat turun aplikasi Photo Grid

Anda boleh mendapatkannya secara percuma di Play Store. Setelah itu, ambil gambar dengan berpakaian kemas mengikut standard yang ditetapkan.

Pada bahagian latar belakang, pastikan pasang langsir atau kain berwarna biru cair yang plain. Jika tidak, anda perlu PhotoShop untuk edit. Banyak kerja pula nanti.

Pilih ‘Potrait’ dan potong (crop) gambar mengikut ratio ‘3:4’. Sila pastikan muka dan badan anda penuh 3/4 daripada gambar yang akan kena crop. Kemudian, ‘Rotate’ gambar 90 darjah sama ada mengikut arah jam atau lawan arah jam.

‘Save’ gambar pada format 1080P JPG. Tekan pada gambar yang disimpan tadi sebanyak 8 kali. Pilih ‘Layout’ 8 keping yang sama saiznya. Pada bahagian ‘Ratio’ pilih ‘2:3’ untuk mendapatkan gambar saiz 4R.

Klik bahagian ‘Border’ untuk membina bingkai. Pastikan ada bingkai untuk memisahkan kelapan-lapan gambar tadi. Kemudian, ‘Save’ sekali lagi menggunakan kualiti 2048P JPG.

  • Proses mencetak

Selepas siap ‘Save’, ‘Rotate’ kembali gambar dalam keadaan biasa. Jangan lupa simpan gambar untuk kegunaan akan datang. Anda boleh cetak di kedai, kiosk mahupun di rumah.

Mudah bukan? Selain mudah dan menjimatkan, anda juga boleh menjadikan kemahiran ini sebagai sumber pendapatan sampingan. Bagi para pelajar yang mempunyai mesin pencetak di rumah, apa kata cuba jalankan perniagaan gambar pasport DIY.

Iklankan perkhidmatan anda ini di media sosial sama ada Facebook, Instagram dan sebagainya. Pasti mendapat sambutan kerana harganya di kedai bukan murah. Ada yang menjualnya RM6 untuk 8 keping. Sangat berbaloi.

Anda juga boleh mencuba DIY kad jemputan kahwin dan DIY permainan anak yang menjimatkan kos.

Rujukan

  • DIY Gambar Passport Guna Phone (link)
  • Facebook Harith Faisal (link)

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.