Menyendawakan bayi adalah salah satu daripada rutin wajib yang perlu anda lakukan dalam penjagaan bayi, terutamanya bagi bayi yang berumur dibawah satu tahun. Sebaik sahaja disahkan mengandung pastinya anda telah melakukan banyak bacaan tentang cara sendawakan bayi.

Terdapat pelbagai kaedah untuk sendawakan bayi. Namun ada beberapa teknik adalah cara yang terbaik di mana bayi anda akan sendawa dengan cepat tanpa anda perlu berusaha keras sehingga lenguh tangan dan kepenatan. Nak tahu caranya?

cara sendawakan bayi
Sumber: Miasowi

Kenapa perlu sendawakan bayi anda?

Semasa bayi anda menyusu, akan ada angin yang masuk ke mulut dab perut bayi anda selain susu. Angin yang masuk tadi, jika tidak dikeluarkan akan terus terperangkap di dalam sistem penghadaman lalu menyebabkan bayi anda berisiko untuk mengalami:

  • Kembung. Bayi yang kembung akan mengalami kesakitan yang teramat sangat lalu menyebabkan bayi anda menangis berpanjangan, meragam, dan tidak mahu tidur.
  • Perut tidak selesa. Angin yang terperangkap tadi juga akan menyebabkan bayi anda mengalami ketidakselesaan pada perut.
  • Tersedak susu. Angin yang tidak dikeluarkan melalui sendawa atau kentut boleh terkeluar sendiri secara paksa melalui mulut bayi anda dan keluar bersama susu lalu menyebabkan bayi anda mengalami tersedak susu. Tersedak susu adalah sangat merbahaya dan boleh menyebabkan kematian.
  • Muntah susu. Selain tersedak susu, angin yang terperangkap dalam sistem pencernaan bayi anda boleh menyebabkan bayi anda mengalami muntah susu. Muntah susu juga tidak kurang bahayanya. Lebih-lebih lagi kalau ia berlaku semasa bayi anda sedang tidur.

Bilakah waktu yang paling sesuai untuk sendawakan bayi anda?

Mungkin anda tertanya-tanya, bilakah waktu yang paling sesuai untuk menyendawakan bayi anda. Memilih waktu yang terbaik untuk sendawakan bayi juga memainkan peranan yang sangat penting bagi mengelakkan berlakunya perkara tidak diingini seperti yang kami senaraikan di atas. Waktu yang terbaik untuk sendawakan bayi anda adalah seperti berikut:

  • Bagi bayi yang menyusu dengan menggunakan botol. masa terbaik untuk menyendawakan bayi anda ialah selepas bayi anda menyusu sebanyak 2 hingga 3 auns atau 60 hingga 90 ml susu. Jika bayi anda menyusu lebih daripada jumlah ini, berhenti sejenak semasa mencapai jumlah ini untuk menyendawakan bayi, kemudia sambung semula proses penyusuan.
  • Sementara bagi bayi yang menyusu badan pula, anda perlu sendawakan bayi sebelum bertukar kepada payudara sebelah. Ianya adalah bertujuan supaya memberikan ruang kepada perut bayi untuk minum lebih susu di samping membantu membuatkan bayi lebih kenyang. Bagi bayi yang menyusu badan, anda perlu sendawakan bayi anda sebaik sahaja bayi anda selesai menyusu.

Apakah cara sendawakan bayi yang terbaik dan cepat?

Pastinya anda tak sabar-sabar untuk mengetahui cara sendawakan bayi yang ingin kami kongsikan. Sebelum itu, ingin kami ingatkan supaya anda sediakan sehelai tuala kecil untuk melapik badan anda kerana bayi anda mungkin termuntah semasa proses menyendawakan. Melapik badan anda dengan kain akan mengelakkan baju anda daripada terkena muntah. Cara untuk sendawakan bayi yang boleh anda cuba ialah:

1. Sandarkan bayi anda ke bahu.

Ini adalah cara sendawakan bayi yang paling mudah, berkesan, cepat, dan tidak akan membuatkan anda mengalami lenguh tangan akibat memegang bayi dan menepuk dalam masa yang sama. Caranya:

  • Anda boleh pilih untuk duduk atau berdiri.
  • Lapikkan tuala kecil tadi ke bahu anda.
  • Angkat bayi, letakkan bayi ke atas badan anda dan lentokkan kepala bayi anda di bahu.
  • Tepuk dan gosok belakang bayi anda dengan cepat tapi perlahan sehingga bayi anda sendawa.
  • Jika anda sendawakan bayi dengan cara ini, bayi anda akan sendawa dengan cepat kerana posisi badannya yang tegak dan laluan angin terbuka.

2. Ribakan bayi dalam keadaan meniarap

Cara kedua yang ingin kami cadangkan kepada anda untuk dicuba ialah dengan meribakan bayi anda dalam posisi meniarap. Caranya ialah:

  • Anda duduk bersila.
  • Ambil tuala kecil tadi dan lapikkan kaki anda yang akan anda letakkan kepala bayi.
  • Letakkan bayi ke atas riba anda secara melintang dengan kepalanya berada di atas salah satu kaki anda. Kepala bayi anda berada betul-betul di atas lutut anda.
  • Sebelah tangan anda akan digunakan untuk menyokong dada bayi manakala sebelah lagi anda gunakan untuk menepuk belakang bayi.
  • Lentokkan badan bayi anda sedikit ke hadapan untuk memudahkan bayi anda sendawa.
  • Jika bayi anda baru lahir, pastikan leher dan kepala bayi anda disokong dan tidak terkulai. 
  • Tepuk dan gosok belakang bayi anda dengan cepat namun perlahan. Lebihkan menepuk dan menggosok di bahagian kiri bawah belakang bayi kerana di situ terletaknya sistem pencernaan bayi anda.
  • Tepuk dan gosok sehingga bayi anda sendawa.

Sediki tips untuk anda, jika anda sudah menepuk dan menggosok belakang bayi anda untuk tempoh yang lama namun masih gagal untuk sendawa, anda boleh alihkan badan bayi anda atau bertukar kepada posisi yang lain. Selain itu, jika semasa proses menyendawakan, bayi anda meragam tetapi tidak juga sendawa, mungkin angin dalam sistem pencernaan bayi anda terhalang.

cara sendawakan bayi
Sumber: Kidspot

Apa yang boleh anda lakukan ialah urut dengan lembut pada bahagian perutbayi anda. Atau anda juga boleh lakukan pergerakan ‘mengayuh basikal’ dalam keadaan bayi anda berbaring. Insya Allah bayi anda akan sendawa dengan mudah.

Itulah dia cara sendawakan bayi yang ingin kami kongsikan pada hari ini.  Jika anda sukakan artikel ini, anda juga pasti akan sukakan perkongsian kami mengenai cara hilangkan kembung bayisenaman bayi dan resepi makanan bayi 6 bulan.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.