Jom ketahui cara selesaikan hutang. Perkara yang paling menyerabutkan otak ialah apabila kita dibebani hutang yang bertimbun. Masalah hutang bukan saja dihadapi oleh golongan dewasa tetapi juga para pelajar. Kebanyakan orang akan berhutang apabila keadaan kewangan mendesak.
Namun, yang menjadi masalah ialah orang yang menerima hutang seakan-akan lupa pada janji mereka. Pemberi hutang pula yang terpaksa meminta wang mereka tanpa malu. Perkara sebegini tak sepatutnya berlaku.
Dalam artikel ni, penulis akan mengupas topik tentang hutang. Yang paling menarik, cara-cara selesaikan hutang dengan cara yang mudah juga akan dikongsikan. Sebelum tu, jom kita baca hukum hutang dari konteks agama Islam.
Dalam Islam, perbuatan memberi dan meminta hutang dibenarkan dalam syarak. Jika kita dalam kesempitan wang, kita dibenarkan dan disunatkan meminta tanpa perlu rasa bersalah. Biasanya kita akan berhutang dengan ahli keluarga, saudara-mara dan kawan-kawan.
Mengapa Islam membenarkan perbuatan berhutang? Hikmahnya ialah Islam amat menggalakkan umatnya untuk bersikap tolong-menolong untuk tujuan kebaikan. Malahan, dengan bantuan yang diberikan, hubungan sesama umat Islam akan lebih kukuh.
Selain itu, hikmah pensyariatan amalan memberi hutang dapat mengajak mereka yang berkemampuan menghulurkan bantuan kepada orang yang susah. Justeru, amalan memberi hutang digalakkan dalam Islam dengan tujuan kebaikan.
Apabila penerima hutang tak membayar wang yang dipinjamnya, perbuatan mereka amat berdosa di sisi agama. Ini kerana membayar hutang adalah wajib. Amalan yang awalnya bertujuan memberi pertolongan berakhir dengan persengketaan yang boleh memutuskan hubungan siraturrahim.
Bukan saja ia membawa keretakan dalam hubungan kekeluargaan dan persahabatan, tetapi juga memusnahkan kepercayaan yang diberi. Jika pemberi hutang pula yang mengalami masalah kewangan, sudah tentu mereka mengharapkan duitnya dipulangkan semula.
Oleh itu, janganlah kita mengambil mudah isu ni sehingga mengabaikan amanah yang diberikan. Dalam Hadis Riwayat Muslim (1886), “Diampunkam semua dosa bagi orang yang terkorban mati syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia).”
Begitu besar tanggungjawab orang yang berhutang untuk membayar hutangnya dalam Islam. Jadi, bagi anda yang mempunyai masalah untuk membayar hutang tak kiralah pada adik-beradik atau kawan-kawan, bank dan pinjaman pendidikan, boleh amalkan tips-tips ini.
Kita sedia maklum untuk membayar hutang bukanlah mudah. Lebih-lebih jika kita tiada sumber kewangan yang banyak. Namun, jangan risau. Setiap masalah pasti ada jalan keluar.
Apa yang anda perlu lakukan ialah berusaha untuk membayar hutang dengan 8 tips cara selesaikan hutang di bawah. Pastikan anda bersungguh-sungguh dan jangan separuh jalan pula.
1. Senaraikan Semua Pendapatan
Ini merupakan langkah pertama yang perlu dibuat iaitu menulis semua punca pendapatan. Anda boleh menulis semua maklumat tentang hutang anda di dalam sebuah buku. Ia berguna sebagai rujukan pada masa akan datang.
Pendapatan yang perlu disenaraikan termasuklah gaji bersih, elaun, bonus, pendapatan sampingan dan sebagainya. Cara ini memberi pandangan yang jelas kepada anda tentang jumlah pendapatan yang anda terima setiap bulan.
2. Senaraikan Semua Komitmen Bulanan
Langkah seterusnya ialah menyenaraikan semua komitmen bulanan. Komitmen bulanan ini bermaksud apa sahaja bayaran yang perlu dijelaskan secara bulanan. Antaranya ialah:
a. Bil air
b. Bil elektrik
c. Ansuran kereta
d. Ansuran rumah atau sewa rumah
e. Bayaran pulang pinjaman pendidikan
f. Ansuran kad kredit
g. Insuran
h. Bayaran pakej perkhidmatan televisyen berbayar
i. Bil telefon
j. Perbelanjaan pendidikan anak-anak (bas, buku, duit makan dan sebagainya)
kPerbelanjaan dapur
3.Membuat Tabungan
Setelah membuat senarai semua pendapatan dan komitmen bulan yang anda tanggung, kira baki pendapatan yang tinggal. Misalnya selepas membayar kesemuanya, baki wang anda tinggal RM500.
Pastikan sekurang-kurangnya separuh (RM250) atau suku (RM125) daripada jumlah itu dibuat tabungan. Cara yang paling baik ialah simpan di dalam bank. Wang inilah yang akan digunakan untuk membayar semula hutang anda itu.
4.Membuat Pekerjaan Sampingan
Jika baki selepas ditolak pelbagai perbelanjaan masih tidak mencukupi atau baki menjadi negatif, anda perlu melakukan sesuatu. Caranya ialah membuat pekerjaan sampingan.
Jika sudah berumah tangga, anda bersama-sama pasangan boleh membuat bisnes online dari rumah. Jika mempunyai kepakaran dalam membuat kek, biskut atau masakan, anda boleh menggunakan kelebihan itu. Selain itu, anda juga boleh menjual tudung, pakaian, minyak wangi dan sebagainya.
Jika mempunyai latar belakang pendidikan yang tinggi, kenapa tidak mencuba untuk menjadi tutor secara part time? Malah banyak lagi pekerjaan yang boleh anda lakukan dari rumah sahaja. Sudah tentu, anda dapat meningkatkan pendapatan keluarga.
5.Berjimat-Cermat
Sehingga anda melunaskan semua hutang, pastikan anda berbelanja secara berhemah. Potong perbelanjaan yang tak perlu seperti bercuti di luar negara, tukar kereta baru, membuat ubah suai rumah dan sebagainya.
Fokus untuk menyimpan duit. Anda perlu menganggap dalam pendapatan anda, ada wang milik orang lain yang bukan hak anda. Anda perlu pulangkan semula wang tersebut sebagai amanah yang dipikul.
6.Bayar Secara Ansuran
Langkah seterusnya ialah senaraikan kesemua hutang bermula yang paling sedikit hingga yang paling banyak. Anda boleh membayar hutang yang paling sedikit dahulu. Kemudian, barulah fokus untuk bayar hutang-hutang yang lain.
Setelah memperoleh pendapatan yang selesa, anda boleh membuat bayaran hutang secara ansuran jika tak mampu bayar penuh. Yang paling penting ialah usaha anda untuk keluar daripada beban hutang.
7. Jangan Berdiam Diri
Tindakan lari dari hutang adalah tidak wajar sama sekali. Malahan, orang yang memberi hutang boleh saja menuntut wang mereka bila-bila masa. Namun, sebaliknya pula berlaku, orang yang memberi hutang pula terpaksa memujuk untuk mendapatkan wang mereka kembali.
Jika tak mampu dan masih berusaha untuk mengumpul wang, maklumkan pada pihak terbabit. Ini dapat mengelakkan permusuhan dan salah faham. Malahan tindakan berdiam diri dan tidak memberi respons, boleh menyebabkan anda diheret ke muka pengadilan.
Jika anda membuat pinjaman pendidikan, namun masih belum dapat pekerjaan yang sesuai atau gaji yang rendah, maklumkan kepada institusi terbabit. Tulis surat formal dan nyatakan masalah yang anda hadapi. Pihak terbabit akan memberi nasihat dan pandangan cara anda boleh membayarnya kelak.
8. Berdoa dan Tawakal
Sentiasa berusaha untuk mengubah nasib diri dan keluarga. Jika tak mampu pulangkan wang yang dipinjam, cari jalan untuk menyelesaikannya. Walaupun Islam tak melarang amalan memberi dan menerima hutang, jangan jadikan ia sebagai tabiat dalam diri.
Jika anda mampu memulangkan semula wang tersebut, tak jadi masalah. Namun, yang memeningkan kepala bila anda berhutang keliling pinggang tapi tiada usaha untuk membayarnya semula.
Jika sudah keluar dari bebanan hutang, tekad dalam hati untuk berusaha sendiri tanpa meminta-minta. Paling penting berdoa dan tawakal kepada Allah.
Diharapkan kesemua 8 tips yang diberikan ini memberi panduan berguna untuk anda yang dibebani hutang. Paling penting berdisiplin dan berusaha untuk selesaikan hutang-hutang tersebut. Semoga bermanfaat.
Jemput juga baca artikel tentang tips isteri boros dan punca kemurungan