Sebagai seorang anak, pastinya kita perlu sentiasa menjaga adab semasa berada di hadapan kedua ibu bapa. Lebih-lebih lagi apabila berkata-kata dan berkomunikasi dengan mereka. Sebelum berkata kita perlu memastikan apa yang keluar dari mulut kita adalah perkara yang baik dan tidak akan mengguris hati kedua ibu bapa.

Dalam kehidupan seharian, setiap manusia akan melakukan kesilapan. Jika kita nampak ada perkara yang kurang betul dilakukan oleh ibu bapa, tak salah kalau kita tegur dengan niat yang baik. Namun harus diketahui bahawa ada cara yang berhemah untuk mengur kedua ibu bapa. Tak bolehlak kita menegur mereka dengan cara yang sama kita menegur kawan-kawan.

Nah ini tips cara menegur ibu bapa.

cara menegur ibu bapa
Sumber: Kiplinger

Menegur dengan niat yang ikhlas dengan tujuan yang baik

Adab pertama dalam menegur ibu bapa ialah teguran yang dilakukan adalah dengan niat yang ikhlas dan tujuan yang baik. Pastikan anda bukan menegur ibu bapa dengan sengaja untuk menjatuhkan air muka mereka atau sengaja mahu mencari kesalahan mereka. Walau apa pun yang kita lakukan pastikan ianya dilakukan dengan niat yang baik.

Malah adalah sangat baik kalau sebelum anda memulakan bicara, sampaikan kepada ibu bapa bahawa anda menegur dengan niat yang baik dan menegur kerana sayang. Bukannya kerana benci. Insya Allah ibu bapa anda akan mendengar teguran yang diberikan dengan hati yang terbuka.

Menegur perkara yang tidak selari dengan islam

Cara menegur ibu bapa yang seterusnya ialah pastikan anda menegur ibu bapa anda yang melakukan perkara yang tidak selari dengan islam. Sebagai contoh, anda menegur ibu yang tidak menutup aurat dengan sempurna. Ini adalah cara teguran yang betul. Seorang anak dibenarkan untuk menegur ibu bapanya yang melakukan perkara yang bertentangan dengan agama.

Menegur ibu bapa secara tertutup, bukannya di hadapan orang lain

Jika anda ingin menegur ibu bapa, pastikan anda melakukan teguran dengan keadaan yang tertutup. Jangan sesekali menegur ibu bapa di khalayak ramai atau di hadapan orang lain kerana ianya akan menjatuhkan maruah dan air muka ibu bapa. Teguran seorang anak kepada ibu bapa di hadapan orang lain akan menyebabkan ibu bapa kita dipandang serong oleh orang yang mendengar.

cara menegur ibu bapa
Sumber: Quickenloans

Memilih masa yang sesuai untuk menegur

Selain menegur ibu bapa secara tertutup, cara menegur ibu bapa dengan cara yang betul seterusnya ialah kita wajib memilih masa yang sesuai untuk menegur mereka. Sebelum memulakan bicara, perhatikan keadaan sekeliling. Perhatikan mood kedua ibu bapa kita. Kalau mereka kelihatan sedih atau susah hati, atau mungkin juga sedang marah, adalah tidak sesuai untuk kita melakukan teguran.

Tegurlah kedua ibu bapa semasa mereka berada dalam keadaan yang tenang agar emosi mereka berada adalam keadaan yang baik dan bersedia untuk mendengar teguran kita dengan dada yang lapang. Selagi anda tidak menemui masa yang sesuai, tangguhkan niat untuk memberikan teguran sehingga berjumpa masa yang sesuai.

Menegur dengan cara sopan dan lemah lembut

Adab menegur ibu bapa dengan cara yang betul yang seterusnya ialah menegur dengan cara yang sopan dan lemah lembut. Susun ayat anda dengan baik. Mulakan bicara dengan ayat yang manis. Jangan sesekali meinggikan suara atau menggunakan ayat yang boleh mengguris hati kedua ibu bapa. Pemilihan ayat, perkataan, bahasa, dan intonasi suara yang baik adalah sangat penting semasa menegur ibu bapa agar tidak menjadikan kita masuk ke dalam kategori anak derhaka.

Elakkan daripada bertikam lidah atau bertelagah

Semasa memberikan teguran kepada ibu bapa, elakkan daripada bertikam lidah atau bergaduh dengan ibu bapa kita. Berkemungkinan, semasa kita melakukan teguran ibu atau bapa kita berasa tidak puas hati atau marah lalu menyebabkan berlakunya pertengkaran di antara kita dan mereka. Oleh itu, elakkan daripada bertengkar.

Jika ibu bapa mula marah atau tidak berpuas hati, tamatkan perbincangan dengan segera agar suasana tidak menjadi semakin tegang dan boleh merosakkan hubungan baik dalam keluarga. Sentiasa ingat bahawa niat anda membuat teguran ialah untuk mendapatkan hasil yang baik.

Terima dengan hati yang terbuka jika teguran tidak diterima

Ada kemungkinan bahawa ibu bapa anda tidak menerima teguran yang diberikan. Mungkin mereka tidak mengaku pernah melakukan perkara yang diperkatakan. Atau mungkin juga mereka tidak setuju bahawa apa yang mereka lakukan adalah salah atau tidak betul. Ketahuilah bahawa ada kemungkinan bahawa anda pula akan dipersalahkan.

Oleh itu, bersedia dari awal kepada semua kemungkinan yang kami nyatakan di atas tadi. Jika teguran anda tidak diterima, senyum dan tamatkan perbincangan. Tidak perlu anda terus berkeras dan berusaha untuk membuktikan bahawa ibu bapa anda salah.

Meminta maaf kepada ibu bapa selepas selesai memberikan teguran

Akhir sekali, minta maaf kepada kedua ibu bapa selepas melakukan teguran. Mohon maaf jika mereka ada berkecil hati atau terasa dengan teguran yang kita berikan. Mohon keberkatan hidup dari mereka. Dan ingatkan sekali lagi bahawa anda menegur dengan niat yang baik. Anda mengegur kerana sayang, bukannya kerana benci.

Itulah dia info tentang cara menegur ibu bapa yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan artikel ini anda juga mungkin berminat untuk membaca perkongsian kami tentang adab terhadap ibu bapa, cara membalas jasa ibu bapa, cara eratkan hubungan ibu dan anak.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.