Setiap kali selepas bersalin doktor akan bertanyakan pada si ibu, apakah perancangan seterusnya untuk jarakkan kehamilan. Adakah dengan cara memakan pil perancang keluarga, meletakkan implan dan sebagainya. Soalan ini mungkin nampak normal tetapi ianya sangat perlu untuk aturan masa depan.
Namun tidak dinafikan ada dikalangan para ibu ini yang telah berjaya menjarakkan kehamilan mereka tanpa ada sebarang bantuan pil dan alatan untuk jarakkan kehamilan sama sekali.
Kaedah yang mereka guna pakai tidak lain dan tidak bukan adalah dengan belajar mengira waktu subur diri masing-masing. Ternyata kejayaan mereka dengan cara kira waktu subur itu telah dapat elak kehamilan pada waktu yang tidak sepatutnya.
Menurut Pegawai Perubatan Kesihatan Wanita dan Kehamilan, Dr Muhammad Izzat Abdul Razak, ovulasi adalah proses pelepasan ovum atau benih wanita daripada kilang telur ovari.
Ia berlaku hasil daripada perubahan hormon LH (peluteinan) dan FSH (perangsang folikel) dalam badan wanita yang menyebabkan perubahan bukan saja pada ovari bahkan pada dinding rahim.
“Perubahan pada dinding rahim penting untuk memastikan wanita bersedia menempuh fasa kehamilan. Apabila persenyawaan berlaku, proses penempelan akan menyusul. Tetapi jika tiada persenyawaan, dinding rahim yang tebal kesan perubahan hormon ini akan luruh dan keluar sebagai darah haid,” katanya.
Jelas Dr Muhammad Izzat lagi, wanita yang mengalami kitaran haid normal (28 hari) lazimnya melalui tempoh ovulasi sekitar hari ke-14. Keadaan ini terjadi kira-kira 36 jam selepas hormon LH meningkat secara tiba-tiba.
“Kitaran haid normal adalah antara 24 hingga 38 hari. Ini bermakna, anggaran hari ke-14 ini masih tidak tepat. Ia tidak boleh dipakai untuk semua wanita, lebih-lebih lagi jika kitaran haid mereka tidak teratur.
“Jika kitaran haid mereka tepat 28 hari sekalipun, tempoh ovulasi masih boleh berubah. Ini kerana setiap wanita mempunyai waktu ovulasi tersendiri dan tidak boleh disamakan dengan orang lain,” katanya.
Antara tanda seseorang itu sedang berada di dalam waktu subuh adalah dengan mendapati ada kehadiran lendir yang banyak. Ini adalah tanda amaran bahawa ovum akan dikeluarkan dari ovari. Waktu ini jika sperma hadir maka perjalanannya ke tempat persenyawaan akan menjadi sangat lancar dengan adanya kehadiran lendir yang sesuai di serviks.
Sifat lendir ini adalah jernih, licin dan melekit seperti putih telur. Selepas hari kemuncak, lendir ini akan menjadi kelam, melekit atau terus hilang.
Maka jika ingin elakkan diri dari hamil maka jangan sesekali bersama dengan suami pada waktu kemuncak ini namun andainya diri benar inginkan zuriat maka bersamalah dengan suami di waktu-waktu istimewa ini dalam usaha untuk mendapatkan zuiat tersayang.
1- Catatkan bilangan hari kedatangan haid, iaitu dengan mengira bilakah hari pertama kedatangan hari (untuk kitaran tersebut) sehingga tibanya hari pertama untuk kitaran berikutnya (bulan depan)
2- Dapatkan bilangan purata berapa hari haid tersebut berlaku
3- Kemudian tolakkan sebanyak 18 hari dari bilangan hari dalam putara haid yang terpendek.
4- Angka ini adalah hari pertama waktu subur. Contohnya jika putaran haid yang terpendek adalah 24 hari maka tolak 18 daripada angka 24 tersebut. Maka akan dapatlah jawapan yang hari ke 6 adalah merupakan hari pertama untuk waktu subur terbabit.
5- Kemudian dapatkan jarak kitaran haid yang terpanjang pula. Caranya adalah dengan menolak 11 hari daripada hari yang terpanjang. Angka yang bakal diperolehi ini merupakan jawapan untuk hari terakhir di waktu subur.
Bagi mana-mana wanita yang mempunyai masalah kitaran haid tidak teratur, adalah lebih baik untuk mendapatkah khidmat nasihat daripada doktor yang tauliah terlebih dahulu.
Ilmu cara kira waktu subur ini bukan saja dapat bantu hindari diri dari memperoleh zuriat dalam jarak masa yang rapat tetapi juga ia dapat membantu untuk mereka yang telah lama berusaha untuk dapatkan zuriat juga. Kiranya, kaedah ini juga sesuai jika anda ingin mengetahui hari subur untuk merancang kehamilan bersama-sama dengan suami.
Namun harus di ingat yang perkara ini tetap agak sukar jika tidak mendapat kerjasama daripada suami. Berbincang untuk menjayakannya adalah langkah yang paling baik dan sama-sama berusaha adalah satu cara untuk rancang kehamilan yang bagus demi keharmonian rumahtangga bersama.