Anda pernah dengar perkataan fidyah? Biasanya perkataan fidyah akan timbul setiap kali datangnya bulan Ramadhan yang mulia.

Sepanjang bukan Ramadhan, media sosial akan dipenuhi dengan info tentang fidyah. Habis sahaja Ramadhan, ianya akan hilang semula. Yang sebenarnya, apakah yang dimaksudkan dengan Fidyah? Macam mana cara kira fidyah yang betul di Malaysia?

cara kira fidyah

Sumber: Wanista

Apakah yang dimaksudkan dengan fidyah?

Menurut Pusat Zakat Majlis Agama Wilayah Persekutuan,  fidyah adalah denda ke atas seseorang yang:

  • Beragama islam
  • Baligh
  • Meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu
  • Atau pun sengaja melewatkan puasa ganti (qada’) pada bulan Ramadhan

Apakah hukum membayar fidyah?

Apakah hukum membayar fidyah dari sudut pandangan islam? Adakah fidyah wajib dibayar? Menurut Pusat Zakat Majlis Agama Wilayah Persekutuan, hukum membayar fidyah adalah wajib, mengikut bilangan hari berpuasa yang ditinggalkan. Anda akan berhutang kepada Allah sekiranya tidak membayar fidyah.

Hukum wajib untuk membayar fidyah adalah berdasarkan dalil Al-Quran dalam Surah Al-Baqarah ayat 184 yang jelas lagi nyata iaitu:

“(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu, maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah ia berbuka) kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain,

dan wajib ke atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tuanya dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin (secupak bagi tiap-tiap satu hari yang tidak dikerjakan puasa).”

Siapa yang Wajib Membayar Fidyah?

Anda wajib membayar fidyah sekiranya anda gagal menggantikan puasa Ramadhan dan sedang mengalami salah satu daripada keadaan berikut:

  • Uzur disebabkan oleh sakit yang serius dan tidak mempunyai harapan untuk sembuh. Atau pun warga tua yang terlalu tua untuk berpuasa. Atau boleh juga anda adalah golongan yang terlalu tua untuk berpuasa dan mempunyai penyakit yang serius.
  • Ibu mengandung yang tidak berpuasa kerana risaukan keadaan bayi dalam kandungannya seperti tidak cukup zat atau keguguran.
  • Ibu mengandung yang tidak berpuasa kerana risaukan keadaan dirinya sendiri seperti kepenatan yang melampau.
  • Ibu yang menyusukan anaknya.
  • Orang yang sudah meninggal sebelum sempat menggantikan puasa Ramadhan.
  • Mereka yangmelambatkan menggantikan puasa Ramadhan.

Apakah kadar fidyah?

Secara asasnya, kadar fidyah adalah berasaskan harga makanan ruji di sesebuah tempat. Kami ambil Malaysia sebagai contoh.

Oleh kerana makanan ruji rakyat Malaysia ialah beras, maka cara kira fidyah adalah dengan merujuk kepada harga beras di negara kita. Sekiranya anda sedang menetap di luar negara, cara kira fidyah adalah berdasarkan makanan ruji di negara tersebut sama ada roti, gandum, jagung, ubi, dan sebagainya.

cara kira fidyah

Sumber: Theskop

Oleh kerana harga makanan ruji tersebut sentiasa berubah, maka kadar fidyah juga berubah setiap tahun. Sekali lagi kami ambil negara kita sebagai contoh. Harga beras akan berubah dari masa ke semasa.

Untuk tahun 2001 mungkin harga beras di Malaysia ialah RM5 sekilogram, manakala untuk tahun 2018, harga sekilo beras telah naik kepada RM7 sekilogram. Oleh itu, kadar fidyah bagi tahun 2001 dan 2018 adalah berbeza kerana kadar fidyah ditetapkan berdasarkan harga beras pada tahun tersebut.

Bukan sahaja kadar fidyah berbeza setiap tahun mengikut kadar harga beras, malah kadar fidyah juga berbeza mengikut negeri walau pun dalam tahun yang sama.

Sebagai contoh, untuk tahun 2018, kadar fidyah di Selangor mungkin RM7, sementara kadar fidyah di Sabah ialah RM5 sahaja. Kadar fidyah berbeza bagi setiap negeri kerana fidyah adalah dibawah bidang kuasa keraaan negeri. Majlis agama negeri tersebut akan menentukan berapakah kadar fidyah untuk negeri masing-masing.

Oleh itu, sekiranya anda menetap di Selangor, sila rujuk kadar fidyah di Selangor dan bayar fidyah anda di dalam negeri Selangor. Sekiranya anda menetap di Kelantan, periksa kadar fidyah di negeri Kelantan dan bayar fidyah anda di Kelantan.

Kami berikan anda kadar fidyah bagi Wilayah Persekutuan pada tahun 2017. Berdasarkan Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke-102 yang telah diadakan pada 30 Mei 2017 yang lalu, setelah  membincangkan tentang isu penambahbaikan pelaksanaan fidyah dan kaffarah di Bahagian baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), kadar fidyah bagi Wilayah Persekutuan adalah seperti berikut:

  • Kadar bayaran fidyah adalah sebanyak RM4.00 untuk satu hari. Kadar ini adalah berdasarkan nilai setengah gantang gandum iaitu sebanyak RM3.00 dengan satu ringgit tambahan sebagai langkah berjaga-jaga.
  • Konsep gandaan bagi penentuan bayaran fidyah. Apabila seseorang tidak berpuasa dan tidak menggantikan puasa tersebut, tidak perlu menggandakan fidyah tersebut kecuali bagi mereka yang berkemampuan.

Macam Mana Cara Kira Fidyah?

Terdapat 2 cara mengira kadar fidyah di Malaysia iaitu dengan cara mengira:

  • Bilangan hari tidak berpuasa didarabkan dengan kadar fidyah iaitu harga secupak beras. Ini adalah cara kira yang digunakan sekiranya anda membayar fidyah bagi anda gagal menggantikan puasa untuk tahun yang sama.
  • Bilangan hari tidak berpuasa didarabkan dengan Tahun gandaan didarabkan dengan kadar fidyah iaitu harga secupak beras. Ini adalah cara kira yang digunakan sekiranya anda membayar fidyah bagi anda gagal menggantikan puasa untuk tahun yang berikutnya.
cara kira fidyah

Sumber: Tribunnews

Tahun gandaan bermaksud bilangan tahun puasa itu telah ditinggalkan tolak satu tahun kerana tahun pertama adalah tahun dibenarkan mengganti puasa. Kami akan berikan contoh supaya anda lebih mudah faham

Katakan pada tahun 2018, anda ingin membayar fidyah untuk puasa yang belum diganti dari tahun 2001. Oleh itu, tahun gandaan akan diperolehi dengan cara menolak 2018 dengan 2001. Anda akan mendapat jawapan 17. Oleh itu, tahun gandaan untuk dikira ialah 17 tahun. 

Itulah dia sedikit info tentang cara kira fidyah. Semoga bermanfaat buat anda. Jemput juga membaca artikel menarik seperti kelebihan lailatul qadar, nifas dan perbezaan darah haid dan istihadah.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.