Bagi wanita, imej dan penampilan yang kemas sentiasa menjadi pilihan. Pasti runsing kalau bau badan anda memberikan ‘aroma’ yang tidak menyenangkan. Jom ketahui cara hilangkan bau badan wanita.

Pengenalan

Manusia mengeluarkan pelbagai jenis molekul meruap dan tidak meruap yang kompleks bergantung kepada faktor-faktor tertentu. Molekul dan sebatian ini mempunyai bau yang tertentu dan penghasilannya adalah dipengaruhi hal-hal seperti:

  • genetik
  • diet pemakanan
  • tekanan emosi
  • status pertahanan tubuh
  • aktiviti fizikal

Sebatian ini dihasilkan dari pelbagai kawasan tubuh seperti kulit kepala, ketiak, kaki, mulut dan sebagainya. Namun, menurut kajian saintifik, tiga kelas utama bau yang dihasilkan badan ialah:

  1. perspirasi (bau badan pada kulit)
  2. bau yang dihasilkan mulut dan kaviti oral melalui pernafasan
  3. bau yang terhasil daripada hasil perkumuhan manusia seperti air kencing, najis dan kentut

Oleh itu, khas bagi pembaca sekalian, artikel ini akan berkongsi cara untuk hilangkan bau badan wanita yang sesuai dijadikan amalan.

Cara untuk Hilangkan Bau Badan Wanita

Bau badan yang tidak menyenangkan ini boleh dihilangkan dengan beberapa cadangan tersebut, merujuk kepada laporan dan kajian sains yang telah dijalankan.

1. Penjagaan dan Kebersihan Alat Sulit Wanita

Bau yang keluar dari alat sulit wanita merupakan perkara yang normal sekiranya tidak disertakan simptom pada alat kemaluan tersebut seperti cairan nanah, luka, darah dan sebagainya.

Terdapat beberapa punca yang menyebabkan bau di bahagian alat sulit ini seperti peluh yang terhasil selepas aktiviti fizikal, senaman, seks dan datang bulan.

Namun, terdapat juga faktor lain yang perlu diambil kira yang boleh mendatangkan risiko berbahaya, antaranya:

  • terlupa mengeluarkan tampon atau cawan menstrual
  • keradangan disebabkan bakteria (menyebabkan bau hanyir, rasa pedih ketika mengeluarkan air kencing)
  • penjagaan kesihatan dan kebersihan yang lemah
  • keadaan perubatan trichomoniasis (rembesan cecair yang busuk dari alat sulit, sakit sewaktu kencing)

Antara cara untuk hilangkan bau badan wanita yang disebabkan oleh alat sulit wanita ini ialah:

  • kerap mandi
  • ubatan untuk merawat jangkitan atau keradangan alat sulit
  • tatacara pembersihan alat sulit yang betul dan rapi
  • mendapatkan khidmat nasihat pakar perubatan

2. Atasi Masalah Peluh Berlebihan

Antara punca lain yang menyebabkan bau badan wanita ialah keadaan peluh berlebihan. Masalah ini banyak dialami oleh wanita yang melakukan senaman dan aktiviti fizikal yang ekstrim.

Tambah memburukkan bagi mereka yang tinggal di kawasan beriklim panas, masalah ini berterusan untuk sepanjang tahun.

Antara langkah yang boleh diambil ialah penjagaan diri dengan memakai sabun anti bakteria yang banyak berada di pasaran dan kerap mandi dalam sehari.

Mandi dengan air suam dan sabun yang sesuai turut membantu menyingkirkan peluh daripada terus kekal berada di permukaan kulit.

Di samping itu, semasa aktiviti fizikal dilakukan, pastikan anda memakai pakaian yang longgar dan nipis bagi meningkatkan kadar penyejatan peluh dari badan.

Pakaian yang longgar dan nipis ini juga membantu proses penyejukan badan yang lebih baik selain memudahkan pergerakan melakukan aktiviti senaman tersebut.

3. Hilangkan Bau Busuk Kaki

Imej via Bidadari

Bagi wanita yang kerap menyarung kasut untuk melakukan urusan seharian, keadaan kaki yang basah atau berpeluh akan menyebabkan bakteria mudah terkumpul dan menghasilkan bau kaki yang kurang menyenangkan.

Jadi, pastikan kaki anda sentiasa kering atau semburkan antiperspirant yang bertujuan mengurangkan penghasilan peluh.

Pastikan anda sentiasa mengeringkan kaki dengan baik selepas mandi.

Minimumkan penggunaan kasut yang berat ketika berada di persekitaran yang panas dan pakai stokin hanya dalam situasi yang memerlukan.

4. Makanan Punca Nafas Berbau

Terdapat beberapa jenis makanan yang menyebabkan nafas yang berbau dan tentulah cara yang paling jelas untuk menghilangkan bau tersebut dengan tidak memakannya, lebih-lebih lagi jika anda mempunyai temu janji penting.

Makanan seperti jering, petai dan kerdas tentu sekali memberikan bau nafas yang menusuk.

Tahukah anda, terdapat beberapa makanan lain yang boleh menyebabkan bau badan disebabkan kandungan sulfur yang tinggi, berdasarkan analisis makmal.

Antara makanan yang memberi bau badan dan bau nafas yang berpanjangan dan perlu dielakkan untuk hilangkan bau badan wanita ialah:

  • bawang besar
  • bawang putih
  • telur
  • rempah ratus

Memberus gigi dan flossing boleh mengurangkan bau yang terhasil ini. Tetapi, ada satu keadaan perubatan yang dipanggil halitosis iaitu bau mulut yang busuk akibat jangkitan bakteria pada gusi dan gigi.

Halitosis boleh diubati dengan berjumpa segera dengan doktor gigi bagi merawat masalah gusi, mulut kering, kerak gigi dan masalah pergigian yang lain.

5. Cara Hilangkan Masalah Rambut yang Berbau

Imej via Bidadari

Rambut berbau adalah disebabkan kulit kepala dan rambut yang menghasilkan bau akibat perkumpulan bakteria.

Antara puncanya ialah rambut tidak dikeringkan dengan betul, pemakaian tudung yang memerangkap rambut yang basah dan jarang mencuci rambut.

Bau yang dihasilkan dikatakan seperti susu masam, lumut dan kain yang kepam.

Untuk menghilangkan bau badan wanita yang datang dari rambut ini, anda boleh mencuba penggunaan sabun mandian badan anti bakteria  yang mengandungi sulfur.

Dengan cara ini, bakteria yang terkumpul penyebab bau tersebut dapat disingkirkan.

Kesimpulan

Ringkasnya, 5 cara untuk hilangkan bau badan wanita ialah penjagaan dan kebersihan alat sulit wanita, atasi masalah peluh berlebihan, hilangkan bau busuk kaki, ubah diet makanan dan hilangkan masalah rambut berbau.

Penampilan wanita yang sentiasa ingin tampak cantik perlulah disertai dengan bau badan yang menyenangkan. Selain untuk keyakinan diri, penjagaan diri untuk hilangkan bau badan wanita ini memberi manfaat kesihatan kepada golongan wanita itu sendiri.

Jemput juga baca tips badan sentiasa wangi , cara menghilankan bau peluh badan dan petua ketiak berbau

Rujukan

  1. Everyday Health
  2. Pandey, S. K., & Kim, K. H. (2011). Human body-odor components and their determination. TrAC Trends in Analytical Chemistry30(5), 784-796. (link)
  3. Peterson, L. G., & LaFleur, P. A. (1998). U.S. Patent No. 5,780,020. Washington, DC: U.S. Patent and Trademark Office. (link)

Penulis: Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kimia (persekitaran dan kimia polimer) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut menerima ijazah sarjana sains kimia (mod penyelidikan) dan ijazah sarjana muda sains forensik dari universiti yang sama.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.