Jom belajar cara buat ikan kering homemade. Ikan kering atau ikan masin memang makanan yang boleh menambah selera makan. Bukan sahaja disukai masyarakat Melayu tetapi juga bangsa-bangsa lain di dunia. Ia sering dijadikan lauk sampingan untuk melengkapkan lagi keenakan hidangan.

Bayangkan makan nasi putih dengan ikan kering goreng garing dicicah pula sambal dan sup bening. Pasti makan bertambah-tambah. Antara ikan yang paling popular dijadikan ikan kering ialah ikan gelama, tenggiri, yu, tamban, sepat, kapak dan banyak lagi.

Selain digoreng begitu sahaja, ikan kering boleh dijadikan lauk masak lemak, sambal, kari dan goreng berlada. Pasti anda sedang terliur membayangkan keenakan ikan masin yang dipelbagaikan cara hidangannya.

Bagi anda yang was-was untuk membeli ikan kering di pasaran, mungkin disebabkan faktor kebersihan, risau penggunaan garam yang banyak dan sebagainya, apa kata cuba buat sendiri ikan kering homemade.

Apabila buat sendiri, kita lebih yakin untuk menikmatinya. Malahan, kita boleh memilih ikan yang dikehendaki dan mengawal penggunaan garam. Jadi, dalam artikel ini penulis akan berkongsi 5 cara buat ikan kering homemade yang padu dan sedap.

Ikan Kering Homemade 1

Bahan-bahan:

  • Ikan segar pilihan
  • Garam kasar

Cara membuatnya:

  1. Pertama sekali, siang ikan dan bersihkan segala isi perutnya. Kemudian, potong bahagian belakang ikan (bahagian kepala).
  2. Bersihkan lagi saki-baki isi perut dna insang. Cuci bersih-bersih sekali lagi.
  3. Ambil bekas besar dan aturkan ikan secara sama rata dan taburkan garam kasar. Kemudian, lapiskan lagi dengan ikan dan tabur lagi garam. Jadikan susunan ikan secara berlapis-lapis.
  4. Tutup dalam bekas kedap udara dan perap semalaman. Letakkan bekas tersebut di dapur sahaja dan tidak perlu dimasukkan ke dalam peti sejuk.
  5. Setelah cukup semalaman, ambil kesemua ikan yang diperap dan basuh sehingga bersih.
  6. Susun ikan di atas para (jika tiada, boleh gunakan dulang). Kemudian, jemur ikan di bawah matahari terik hingga ke petang. Pastikan cuaca benar-benar panas.
  7. Jika ikan masih lembap, ulang proses pengeringan pada keesokan harinya. Ikan yang betul-betul sudah kering boleh disimpan lama dan tidak akan berbau.
  8. Anda boleh memasak ikan masin homemade mengikut selera masing-masing.

Ikan Kering Homemade 2

Bahan-bahan:

  • Ikan segar pilihan
  • Garam
  • Cuka

Cara membuatnya:

  1. Selepas ikan dibasuh dengan bersih. Toskan air seketika supaya ikan tahan lama dan tidak senang membusuk.
  2. Susun ikan di dalam bekas dan taburkan garam. Renjiskan sedikit cuka makan di atasnya.
  3. Kemudian, masukkan ikan yang ditabur garam dan cuka ke dalam peti sejuk. Perap selama 5 hingga 6 jam.
  4. Selepas itu, keluarkan ikan tadi dan bolehlah dijemur di bawah matahari terik. Cara ini dikatakan petua supaya lalat tidak hinggap pada ikan kering semasa dijemur.

Ikan Kering Homemade 3

Bahan-bahan:

  • 1 kg ikan segar
  • Garam
  • Cuka

Cara membuatnya:

  1. Potong belakang ikan dan keluarkan segala isi perut serta insang. Kemudian, cuci bersih-bersih.
  2. Dalam besen, susun ikan yang disiang tadi dan taburkan garam ke atas setiap ekor ikan. Anggarannya segenggam penuh untuk seekor ikan. Garam perlu banyak sebab kalau tidak cukup masin ikan akan membusuk. Pastikan garam meliputi setiap ikan.
  3. Susun ikan kemas-kemas dan masukkan air sehingga ikan tenggelam. Tutup rapat besen dan biarkan selama 24 jam.
  4. Keesokan harinya, bilas ikan dan sesuaikan rasa mengikut suka. Jika terlalu masin, rendam seketika di dalam air. Pastikan semua garam dibuang untuk mengelakkan hablur garam terbentuk semasa menjemur. Bilas bersih-bersih dan toskan.
  5. Sebelum susun di atas para atau dulang, percikkan setiap bahagian ikan dengan cuka.
  6. Kemudian, jemur di bawah matahari terik selama 1 hingga 2 hari bergantung pada tahap kering yang dikehendaki.

Ikan Kering Homemade 4

Bahan-bahan:

  • Ikan segar pilihan
  • Garam

Cara membuatnya:

  1. Siang ikan dan buang isi perut. Kemudian, cuci bersih-bersih dan toskan airnya.
  2. Susun ikan di dalam bekas dan lumurkan garam di sekeliling ikan.
  3. Letakkan ikan di dalam peti ais (bahagian bawah). Tidak perlu ditutup bekas itu. Biarkan ia terbuka.
  4. Biarkan ikan kering di dalam peti ais. Untuk mengeringkan air yang terdapat di dalam ikan mengambil masa 3 hingga 4 hari.
  5. Selepas beberapa hari, pastikan ikan sudah kering. Kemudian, anda boleh menyimpannya di dalam bekas atau plastik.

Ikan Kering Homemade 5

Bahan-bahan:

  • Ikan segar pilihan
  • Garam kasar

Cara membuatnya:

  1. Siang dan cuci ikan bersih-bersih. Kemudian, toskan airnya.
  2. Lumurkan ikan-ikan yang disiang dengan garam kasar.
  3. Kemudian, bungkuskan ikan dengan kertas atau surat khabar. Masukkan ke dalam plastik dan diikat kemas.
  4. Simpan di dalam peti sejuk selama 2 hari. Kemudian, bilas garam yang ada pada ikan-ikan tersebut.
  5. Jemur ikan di bawah matahari yang terik sehingga kering.

Tips Membuat Ikan Kering Yang Padu

Terdapat beberapa tips untuk menghasilkan ikan kering yang sedap dan menyelerakan. Antaranya ialah:

  • Ikan yang telah kering, boleh dibungkus dan disimpan di dalam peti sejuk.
  • Jika mampu, anda boleh menjemur ikan kering di atas bumbung rumah. Ini untuk mengelakkan lalat datang menghinggap dan gangguan haiwan-haiwan peliharaan.
  • Sentiasa pantau ikan kering yang dijemur. Dikatakan bahawa tebuan suka makan ikan kering yang dijemur.
  • Jika ikan tidak kering sepenuhnya, masukkan ke dalam bahagian sejuk beku untuk mengelakkan ikan membusuk dan hapak.

Menarik bukan kesemua cara membuat ikan kering yang dikongsikan ini? Anda boleh mencuba mana-mana 1 pilihan hati mengikut keselesaan. Ikan kering homemade pastinya lebih diyakini dari aspek kebersihan dan cara penyediaan.

Malahan, jika ada ikan di rumah yang tidak sempat dimasak boleh dijadikan ikan kering daripada dibiarkan terlalu lama di dalam peti sejuk. Jika anda dah cuba salah satu cara di atas, jangan lupa kongsikan dengan kami hasilnya. Selamat mencuba! Jom baca artikel lain seperti cara membuat bawang goreng, cara buat stock ayamcara buat ikan pekasam dan jamu jomemade

Rujukan

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.