Bakal ayah patut tahu cara basuh uri dan juga caratanam uri.
Uri atau nama saintifiknya placenta adalah organ yang terbentuk di dalam rahim seorang ibu hamil. Uri terbentuk bersama-sama dengan janin. Uri berfungsi sebagai medium untuk janin menerima makanan dan oksigen. Selain itu, uri juga berfungsi untuk menyalurkan toksin dan bahan kumuh dari janin kepada ibu untuk dikeluarkan dari tubuh.
Sewaktu proses kelahiran, uri akan dikeluarkan selepas bayi dilahirkan. Tali pusat yang menghubungkan bayi dengan uri akan dipotong. Selepas tali pusat dipotong, uri tidak lagi berfungsi. Maka, uri tersebut dianggap sebagai organ yang telah mati dan ia harus ditanam. Hakikatnya, penanaman uri sama sahaja seperti organ-organ lain yang terputus dari anggota. Namun, adat kepercayaan orang Melayu berkenaan cara cucian dan penananam uri banyak yang bercanggah dengan amalan Islam. Maka, artikel ini ditulis agar cara membasuh dan menanam uri dapat dilakukan selaras dengan syariat Islam.
Uri yang dipisahkan daripada anak itu adalah suci bukannya najis. Maka hukumnya sunat dibungkus dengan kain atau yang apa- sama ada ia dibasuh atau tidak, seterusnya ditanam ke dalam tanah yang suci sebagai suatu penghormatan kepada tuaannya. Walaubagaimanapun, jika ia terpisah ketika anak tersebut telah meninggal dunia, maka penyempurnaannya mengikut seperti mana pengurusan jenazah. (Rujukan Mufti WP)
Sebenarnya tiada hukum, nas atau hadis yang jelas mengenai cara menguruskan uri. Cuma sesuatu anggota tubuh apabila tidak dikehendaki digalakkan supaya dipelihara dan dijaga dengan baik.
Jika uri tersebut dibuang sekalipun, tidaklah menjadi dosa tapi seelok-eloknya ia dibasuh dan ditanam supaya tidak kotor dan berbau busuk. Bimbang jika ia dibuang begitu sahaja, uri tersebut akan dimakan haiwan dan mendatangkan kekotoran dan menjadi masalah kepada orang lain pula.
Uri adalah suci oleh sebab itu ia tidak boleh dibakar atau dijual. Amalan-amalan kepercayaan seperti memasang lilin di tempat uri ditanam agar bayi tidak kembung perut, meletakkan pensil, paku dan lada hitam pada uri semasa ditanam dengan harapan agar bayi tidak diganggu makhluk halus adalah amalan khurafat yang bertentangan dengan ajaran Islam.
1) Sebaik sahaja uri dibawa balik ke rumah, anda boleh terus membasuhnya. Namun, jika terpaksa menangguh bersih dan tanam uri, anda boleh masukkan uri tersebut di dalam peti ais untuk mengelakkannya dari busuk.
2) Sediakan garam kasar, asam keping dan limau.
3) Bersihkan uri dengan air. Buang segala darah yang masih melekat pada uri. Basuh dengan garam, asam keping dan limau untuk menghilangkan bau hanyir uri tersebut.
4) Setelah bersih dibasuh, boleh bungkus uri dengan kain dan letakkan di dalam bekas agar air tidak menitik.
5) Cangkul tanam sedalam yang mungkin agar haiwan tidak dapat hidu bau uri setelah ditanam.
6) Masukkan uri yang telah dibungkus ke dalam tanah dan kambus tanah tersebut. Tidak perlu menghadap kiblat, baca mentera atau apa-apa ritual sewaktu menanam uri. Cukup sekadar baca Bismillah dan selawat.
Menjadi tanggungjawab si bapa untuk menguruskan uri si anak setelah si ibu berkorban mengandungkan dan melahirkan zuriat. Uruskanlah uri tersebut dengan sebaik mungkin tanpa tercalit amalan-amalan khurafat yang bertentangan dengan ajaran Islam. Tidak ada doa khusus untuk dibacakan semasa menanam uri bagi menjamin anak menjadi soleh atau solehah. Cukup sekadar membaca Bismillah dan berselawat ke atas junjungan Nabi Muhammad saw.
Perangai anak-anak tidak ada hubung kait dengan dimana atau bagaimana uri diuruskan. Hal ini bergantung kepada cara didikan ibu bapa. Seperti hadith Nabi Muhammad saw yang bermaksud, “Setiap bayi yang dilahirkan itu adalah suci bersih. Maka ibu bapalah yang menjadikan mereka sama ada Yahudi, Nasrani ataupun Majusi.” (Riwayat Bukhari & Muslim)
Rujukan: