Bismillah bukan sekadar satu frasa atau ucapan yang biasa kita sebut seperti selamat pagi atau terima kasih. Bismillah adalah satu kalimah yang apabila menyebutnya, terdapat berkat padanya.

Di dalam Islam, ucapan Bismillah sangat dianjurkan apabila kita ingin melakukan sesuatu perkara. Seperti mana dalam hadis Nabi saw;

Dari Abu Hurairah ra, bahawa Rasulullah saw bersabda,

كُلُّ كَلَامٍ أَوْ أَمْرٍ ذِي بَالٍ لَا يُفْتَحُ بِذِكْرِ اللهِ فَهُوَ أَبْتَرُ  أَوْ قَالَ, أَقْطَعُ

Maksudnya, “Setiap perkataan atau perkara penting yang tidak dibuka dengan zikir pada Allah, maka terputus berkahnya.” (HR Ahmad)

Dari Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda,

كُلُّ أَمْرٍ ذِيْ بَالٍ لاَ يُبْدَأُ فِيْهِ بِـ , بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ فَهُوَ أَبْتَرُ

Maksudnya, “Setiap perkara penting yang tidak dimulai dengan ‘bismillahirrahmanir rahiim’, amalan tersebut terputus berkahnya.” (HR Al-Khatib)

Beberapa hal disebutkan dalam Kitab Al-Mawsu’ah Al-Fiqhiyyah (8: 92), bahawa dianjurkan membaca bismillah di awal perbuatan kerana terdapat dalam hadis-hadis Nabi saw. Antaranya, dibaca Bismillah sebelum menaiki kenderaan, memasuki rumah dan masjid, sebelum tidur dan banyak lagi.

Disebutkan juga dalam kitab yang sama, bacaannya adalah ‘bismillah’, lengkapnya adalah ‘bismillahirrahmanir rahim’. Jika lupa membaca bismillah atau meninggalkannya secara sengaja, maka tidak ada dosa. Namun jika dilakukan, dapat pahala.

Imam Nawawi Al-Bantani menyatakan bahawa bismillah dibaca pada suatu perkara yang penting atau pada perkara mubah dan tidak termasuk dalam suatu yang haram atau makruh. Namun bismillah tidak dibaca untuk suatu perkara yang remeh seperti menyapu kotoran binatang, dan bacaan bismillah bukanlah sebagai bacaan zikir seperti tahlil. (Kasyifah As-Saja Syarh Safinah An-Najaa, hlm. 26)

Apa Itu Bismillah 7

Apakah yang dimaksudkan dengan Bismillah 7? Bismillah 7 adalah satu doa yang mana mengandungi 7 lafaz Bismillah dipermulaan setiap ayat.

Amalan Bismillah 7 ini sangat popular dalam kalangan perawat pengubatan Islam kerana mempercayai bahawa doa ini sangat mustajab untuk menerangkan hati, meluaskan rezeki, memakbulkan segala hajat, menghindarkan dari segala penyakit serta mengelakkan dari gangguan jin dan syaitan.

Malah dengan amalan Bismillah 7 ini juga dikatakan dapat menjadi penawar bagi racun dan juga mengubati orang yang terkena sihir.

Lafaz Bismillah 7

bismillah 7

Imej via junjungan

Maksudnya,

  1. Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
  2. Dengan nama Allah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat yang tiada sesuatu pun yang serupa denganNya dan Dialah Allah dengan segala sesuatu itu Maha Mengetahui.
  3. Dengan nama Allah Yang Maha Pencipta lagi Maha Mengetahui yang tiada sesuatu pun yang serupa denganNya dan Dia Maha Pembuka rahmat lagi Maha Mengetahui.
  4. Dengan nama Allah yang tiada sesuatu pun yang serupa denganNya dan Dia Maha Mengetahui lagi Maha Teliti.
  5. Dengan nama Allah yang tiada sesuatu pun yang serupa denganNya dan Dia Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.
  6. Dengan nama Allah Yang Maha Bijaksana lagi Maha Pemurah yang tiada sesuatu pun yang serupa denganNya dan Dia Maha Bijaksana lagi Maha Pemurah.
  7. Dengan nama Allah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang yang tiada sesuatu pun yang serupa denganNya dan Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Maka Allah sebaik baik Tuhan yang memelihara dan Dialah Yang Maha Penyayang.

Bolehkah Beramal Dengan Bismillah 7?

Doa Bismillah 7 ini tidak ada dalam mana-mana dalil mahupun ulama. Tetapi, ia hanya satu doa yang diajar dari zaman-zaman tanpa tahu sumbernya. Walaupun ada yang menyatakan bahawa doa ini diajar oleh seorang Tuan Guru yang terkenal dalam bidang perubatan Islam, namun dakwaan ini masih belum dapat dipastikan kesahihannya.

Memang terdapat beberapa doa yang digunakan khas bagi tujuan pengubatan atau apa yang dikenali sebagai jampi atau ruqyah (الرقية). Biasanya ia digunakan di dalam amalan harian atau pun digunakan semasa mengubat pesakit. Diantara amalan-amalan ini, memang ada diantaranya bermula dengan bismillah. Contoh doa perlindungan dan pengubatan yang diambil dari hadis Nabi saw yang bermula dengan Bismillah ialah:

Berdoa

Imej via petuatube

Bersabda Nabi saw: “Sesiapa ketika petang membaca

بسم الله الذي لا يضر مع اسمه شيء في الأرض ولا في السماء وهو السميع العليم

Maksudnya, ‘Dengan Nama Allah yang tiada mudharat sesuatu di atas bumi dan di langit dengan namaNya dan Dialah yang Maha Mendengar lagi maha Mengetahui’ sebanyak 3 kali, nescaya ia tidak akan ditimpa bencana pada pagi, nescaya tak akan ditimpa bencana sehingga petang.” (HR Abu Daud, Ibnu Hibban dan Al-Hakim)

Sheikh Abdul Aziz bin Baaz di dalam Fatwanya yang bertajuk ‘Hukum Sihir Dan Pembomohan Dan Cara Menanggalkannya’ (حكم السحر والكهانة وما يتعلق بها), ayat ini dicadangkan sebagai amalan pagi dan petang, iaitu dibaca sebanyak 3 kali sebagaimana di dalam hadis.

Satu lagi doa yang selalui digunakan ialah doa Malaikat Jibril ketika merawat Nabi saw dengan ruqyahnya:

بسم الله أرقيك من كل شيء يؤذيك ، ومن شر كل نفس أو عين حاسد الله يشفيك  بسم الله أرقيك

Maksudnya, “Dengan Nama Allah saya melakukan ruqyah untuk kamu, dari segala perkara yang menggangu kamu, dari segala kejahatan nafsu atau mata-mata yang dengki semoga Allah menyembuhkan kamu, Dengan Nama Allah, aku lakukan ruqyah kepada kamu”

2 hadis ini merupakan membuktikan bahawa Nabi saw juga ada berdoa untuk tujuan pengubatan dengan doa yang dimulai dengan kalimah bismillah.

Namun, bagaimana pula dengan doa Bismillah 7?

Walaupun doa Bismillah 7 dikatakan tidak bersumberkan al-Quran, hadis dan ulama, tetapi tidak salah mengamalkannya sebagai pendinding dan juga ruqyah selagi tidak mengandungi unsur syirik kepada Allah swt.

Nabi saw bersabda,

اِعْرِضُوْا عَلَيَّ رُقَاكُمْ, لا بأس بالرقي ما لم تكن شركاً

Maksudnya, Tunjukkanlah kepadaku ruqyah kalian. Tidak mengapa melakukan ruqyah, asalkan tidak mengandungi syirik.” (Perbahasan ini dapat dilihat dalam kitab ar-Ruqaa ‘alaa Dhau-il ‘Aqiidah Ahlis Sunnah wal Jamaa’ah oleh Dr. ‘Ali bin Nufayyi’ al-Ulyani, al-Madkhal li Diraa-satil ‘Aqiidah al-Islaamiyyah (hal. 151-152) dan Fathul Majid Syarah Kitabit Tauhid.)

Namun begitu, jika kita dapat beramal dengan Ayat Kursi serta doa-doa yang sahih daripada Nabi saw untuk dijadikan pendinding diri serta amalan ruqyah, pastilah ia lebih baik kerana Nabi saw sendiri telah mengamalkannya. Wallahu a’lam.

Rujukan:

  1. Rumaysho
  2. Soal Jawab Quran Hadis
  3. Syahkist
  4. Almanhaj

Artikel Menarik Lain

Bagaimana dengan artikel berkenaan Bismillah 7 yang dikongsikan? Anda dapat manfaat?Jangan lupa untuk like dan share ya. Selain artikel di atas, kami juga menulis artikel lain untuk anda baca iaitu:

 

 

 

Penulis: Aniuna

Penulisan sebagai medium berkongsi info dan ilmu kepada masyarakat. Semoga bermanfaat.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.