Imam al-Bukhari, seorang tokoh yang terkenal dengan kebijaksanaan dan kehebatan dalam menghafal hadis. Beliau juga tokoh penting dalam menghimpunkan semua hadis sahih dari Rasulullah SAW sebagai rujukan umat Islam.

Sepanjang kehidupannya, banyak digunakan untuk menuntut ilmu serta menjelajah ke setiap pelusuk dunia demi mencari dan menghimpunkan hadis. Bahkan beliau sangat teliti dan terperinci dalam memastikan hadis-hadis tersebut sahih, tepat serta bersanad.

Imam al-Bukhari juga turut menghadapi pelbagai dugaan dan kegigihan dalam menuntut ilmu boleh dicontohi.

Mari hayati kisah kehidupan beliau agar terinspirasi untuk berbuat kebaikan serta tidak berputus asa yang mencari dan memberi ilmu.

Kelahiran Dari Keluarga Mulia

Abu Abdullah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin al-Mulghirah bin Badrdizbah al-Ju’fi al-Bukhari adalah nama penuh Imam Bukhari. Beliau juga dipanggil dengan nama, Abu Abdillah.

Beliau dilahirkan pada 13 Syawal 1942H/21 Julai 810M di Bukhara, Uzbekistan, Asia Tengah. Nama ‘Bukhari’, diambil sempena daerah kelahirannya ini, ‘Bukhara’ yang kini termasuk dalam wilayah Rusia.

Ketika lahir, beliau seorang yang buta, namun hasil usaha dan doa ibunya, beliau dapat melihat semula.

Keluarga Imam al-Bukhari amat menitikberatkan ilmu pengetahuan dan bidang agama. Ayahnya, Ismail bin Ibrahim, merupakan seorang ulama dan juga murid kepada Imam Malik bin Anas.

Menurut Ibnu Hibban dalam kitab as-Siqat, ayah Imam Bukhari terkenal sebagai seorang yang warak dan amat menjaga perkara yang hukumnya bersifat syubhah (was-was) apatah lagi hal yang jelas haram.

Kebijaksanaan yang Luar Biasa

Setelah kematian ayahnya sewaktu masih kecil,  ibunya telah mengambil alih  dalam mendidik Imam al-Bukhari.

Sejak kecil, beliau menunjukkan minat untuk menghafaz hadis nabi SAW dan juga mempelajari ilmu-ilmu agama yang lain.

Ketokohan Imam al-Bukhari dalam bidang hadis sudah menonjol sejak beliau kecil lagi apabila beliau berani menegur seorang gurunya yang ahli hadis, ketika sedang menyampaikan pengajian. Ketika itu usianya 11 tahun.

Guru tersebut adalah al-Allamah al-Dakhili, yang ketika itu  tersalah dalam meriwayatkan sanad hadis.

Apabila memasuki usia 16 tahun, beliau sudah hafal dan menguasai buku al-Mubarak dan al-Waqi, dan beliau berkunjung ke Mekah dan Madinah  untuk  menimba ilmu.

Beliau turut mengembara ke pelbagai wilayah lagi demi mengikuti kelas, halaqah atau majlis ilmu bersama ulama besar dalam bidang hadis.

Imam al-Bukhari mempunyai keistimewaan menghafal dan daya ingatan yang kuat. Abangnya, Rasyid bin Ismail menyatakan, semasa muda, Imam Bukhari dan rakan-rakannya mengikuti kuliah di Balkan.

Sepanjang kelas berlangsung, Imam al-Bukhari tidak mencatat apa-apa. Walaupun diejek rakan-rakannya, beliau tidak menghiraukannya.

Suatu hari, beliau tidak tahan dengan sikap kawan-kawannya dan meminta catatan mereka sepanjang kuliah berlangsung.

Imam al-Bukhari berjaya mengulang semua yang diajarkan tanpa melihat apa-apa nota. Malah beliau berjaya menghafal 15,000 hadis, lengkap dengan keterangan yang tidak sempat dicatat mereka. Kawan-kawan beliau tergamam dan seperti tidak percaya dengan kemampuan beliau.

Semasa berada di Baghdad, beliau dikunjungi oleh 10 orang ahli hadis yang ingin menguji ketinggian ilmu hadisnya. Para ulama itu, telah memutarbelitkan 100 buah hadis untuk menguji hafalannya.

Namun, Imam al-Bukhari berjaya mengulang kembali semua hadis dengan tepat selain membetulkan kesalahan hadis yang dinyatakan.

Malah, beliau menyebutkan dengan jelas dan membetulkan hadis secara hafalan mengikut turutan, sesuai dengan hadis yang ditanyakan.

Keistimewaan luar biasa beliau yang mampu menghafal dengan sekali dengar sahaja sangat menggagumkan para ulama lain.

Hasil kebijaksanaan dan keistimewaan ini, Imam al-Bukhari dikenali sebagai imam ahli hadis atau ‘amir al-mukminin’ dalam bidang hadis (pemimpin kaum mukmin dalam ilmu hadis). 

Namanya menjadi mahsyur sebagai ahli hadis bersama-sama dengan Imam Ahmad, Imam Muslim, Abu Daud, Imam Tirmizi, Imam an-Nasai dan Ibnu Majjah.

Karya Imam al-Bukhari yang Agung

Karyanya yang pertama berjudul, Qudhaya As Sahabah Wat Tabi’in (Peristiwa-Peristiwa Hukum Di Zaman Sahabat dan Tabi’in). Kitab ini ditulisnya ketika masih berusia 18 tahun.

Karya yang bertajuk At-Tarikh (Sejarah), ketika ini, beliau berusia 22 tahun. Penulisan buku ini amat istimewa kerana ditulis di atas makan Nabi Muhammad SAW semasa bulan purnama.

Antara karya beliau yang lain ialah Al-Jami’ as-Sahih, Al-Adab al-Mufrad, At-Tarikh as-Saghir, At-Tarikh al-Awsat, At-Tarikh Al-Kabir, At-Tafsir Al-Kabir, al-Musnad Al-Kabir, Kitab al ‘Illal, Raf’ul Yadain fis Salah, Birrul Walidain, Kitab Ad-Du’afa, Asami As-Sahabah dan Al-Hibah.

Namun, kitab Sahih Bukhari atau Al-Jami’ as-Sahih paling popular dibaca dan dijadikan rujukan umat Islam sehingga ke hari ini.

Sahih Bukhari; Penelitian Hadis yang Sempurna

Semasa menghimpunkan hadis sahih dalam kitab Al-Jami’ as-Sahih atau Sahih Bukhari, Imam al-Bukhari menggunakan kaedah penelitian secara ilmiah dan sah sehingga hadis yang terdapat dalam karya ini boleh dipercayai tanpa ragu-ragu.

Disebabkan cara penghasilan yang teliti, bersungguh dan tekun inilah sebuah kitab yang paling sahih telah dihasilkan oleh Imam al-Bukhari walau mengambil masa yang begitu panjang.

Beliau berusaha meneliti dan menyelidik keadaan perawi dan memperoleh bukti pasti mengenai kesahihan hadis yang diriwayatkannya. Caranya, beliau akan membanding, menyaring, dan memilih satu hadis dengan hadis lain yang menurut beliau paling sahih.

Beliau pernah berkata;

“Aku telah menyusun kitab al-Jami’ ini dengan memilih daripada 600,000 hadis selama 16 tahun.”

Malah sepanjang tempoh 16 tahun juga, beliau menghabiskan masa berkunjung ke pelbagai kota termasuklah Basrah, Mesir, Hijjaz (Makkah & Madinah), Kufah, Baghdad sampai ke seluruh Asia Barat demi menemui para perawi, mengumpul dan meneliti hadis.

Menurut Ibnu Hajar al-Asqalani,

“Akhirnya Bukhari menulis sebanyak 9082 hadis dalam karya agungnya Sahih Bukhari.”

Namun, bukan semua hadis hafalannya diriwayatkan, kecuali selepas meneliti sama ada sanad (riwayat) hadis itu boleh dipercayai dan tsiqqa (kuat).

Imam al-Bukhari Meninggal Dunia; Hilangnya Permata Islam;

Sewaktu dalam perjalanan untuk menetap di Samarkhand, beliau singgah di Khartand, sebuah daerah kecil terletak 10km sebelum Samarkand, untuk  mengunjungi ahli keluarganya.

Tetapi, beliau jatuh sakit selama beberapa hari dan meninggal pada 1 Syawal 256H.  Ketika itu usianya 62 tahun.

Sebelum meninggal, beliau berpesan agar jenazahnya dikapankan dengan tiga helai kain, tanpa baju dalam dan tidak dipakaikan serban.

Kini, makamnya terletak dalam Kompleks Imam al-Bukhari, Hartang, 25 km dari Samarkand. 

Pemergian beliau, seumpama hilangnya sebutir permata dalam dunia Islam, yang terlalu sukar diganti.

Penutup

Imam al-Bukhari merupakan tokoh penting dalam mengumpulkan hadis-hadis yang sahih sehingga kepentingannya diakui sempai ke hari ini.

Usaha dan kegigihan beliau sangat membanggakan dunia Islam sehingga beliau diangkat sebagai tokoh besar dalam bidang ilmu hadis.

Jasa besar beliau ini sangat membantu umat Islam sehingga hari ini dalam bidang ilmu hadis dan Sahih Bukhari adalah kitab penting yang sepatutnya dirujuk dengan sebaiknya. Bayangkan jika rujukan ini tiada, pasti umat Islam hari ini bertmabah keliru dan berselisih pendapat.

Semoga peninggalan jasa beliau dipandang mulia oleh Allah SWT, dan umat Islam dapat menjadikan Imam al-Bukhari sebagai idola dalam bidang kehidupan, terutamanya dalam ilmu berkaitan hadis Rasulullah SAW.

Rujukan

  1. Laman Web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
  2. Imam Bukhari: Pengarang Sahih Bukhari, Abdul Latip Talib
  3. Gerakan PENA Malaysia

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.