Minuman beralkohol adalah minuman yang mengandungi bahan kimia etanol, sejenis sebatian bahan yang terhasil daripada penapaian buah atau sumber gula yang memberi sensasi memabukkan.

Pengambilan alkohol sering dikaitkan dengan keraian, euforia (perasaan gembira), mengurangkan perasaan berdebar dan juga untuk tujuan bersosial di seluruh dunia.

Maka, adalah tidak menghairankan apabila industri minuman alkohol ini sudah mencecah sehingga USD 1 trillion di peringkat global pada tahun 2018.

Keburukan Minuman Beralkohol

Risiko yang berkaitan dengan amalan kekerapan minuman alkohol atau minum terlalu banyak alkohol pula ialah:

  1. sirosis hati (masalah hati)
  2. mengurangkan kesuburan
  3. menaikkan tekanan darah tinggi untuk kesan jangka panjang
  4. serangan jantung
  5. risiko kanser
  6. masalah pencernaa
  7. ketoksikan yang membawa maut

Tambahan pula, alkohol juga menjejaskan penampilan dan imej badan seperti kulit muka yang kusam, masalah kulit, mata yang letih, kulit pucat, muka dan perut yang kembung dan badan yang berbau.

Gejala Alkoholisme

Ketagihan alkohol atau alkoholisme bukan sahaja memudaratkan nyawa sendiri, tetapi keselamatan orang awam apabila mereka yang sedang mabuk ini berada di kawasan awam seperti memandu di jalan raya (membahayakan pengguna jalan raya yang lain) atau membuat kekecohan dan vandalisme apabila berada di keadaan separuh sedar akibat mabuk alkohol. Antara gejala alkoholisme yang boleh dikenal pasti pada peringkat awal ialah:

  • Keinginan untuk mengambil minuman beralkohol yang tidak terkawal
  • Mengambil minuman beralkohol pada waktu yang tidak sesuai (pagi hari atau waktu bekerja)
  • Kerap mengambil minuman beralkohol secara berseorangan dengan kuantiti yang banyak
  • Perasaan gelisah dan berdebar apabila kembali sedar dari pengaruh alkohol
  • Sentiasa berniat atau obses untuk mengambil minuman beralkohol
  • Mengambil minuman beralkohol hanya untuk tujuan memabukkan

Kajian Kes Kematian Amy Winehouse Akibat Alkoholisme

Amy Winehouse (1983-2011) dijumpai mati di apartmennya di Camden, utara London pada petang 23 Julai 2011. Bahan penenang Librium* dijumpai sekali yang dianggap sebagai punca kematiannya apabila diambil secara dos berlebihan.

…..

*Pada era tahun 60-an, sejenis bahan penenang baharu dihasilkan dan masuk ke pasaran dengan nama Librium, atau dalam bahasa Latin yang bermaksud menjadi bebas. Bahan ini digunakan secara meluas pada masa itu untuk mengurangkan risiko kemurungan, pernafasan yang melampau dengan sedikit gangguan tekanan kepada fungsi badan normal.

Memandangkan bahan ini tidak akan mengganggu proses mental yang lebih tinggi, tidak seperti barbiturat dan meprobamate, masyarakat pada waktu itu mengambil kesempatan untuk mengamalkan penggunaan bahan ini terutamanya untuk suri rumah kelas pertengahan, ahli perniagaan, dan pelajar untuk kekal bertenaga dan masih boleh mengawal diri.

Librium berfungsi di dalam otak dengan meningkatkan kesan asid butyrik amino gamma (GABA), iaitu bahan kimia otak yang secara semula jadi akan memberi perasaan menenangkan. GABA boleh melambatkan atau menghentikan isyarat saraf tertentu di dalam otak.

Tindakan Librium pada reseptor GABA didapati telah menghasilkan tindakan kesan sedatif dan anti sawan. Dos Librium yang tinggi digunakan untuk mengawal simptom penyingkiran alkohol dari badan. Pada separuh hayat Librium di dalam tubuh, proses penyingkiran akan menjadi lebih lancar dan simptom penyingkiran yang teruk berkemungkinan tidak akan terjadi.

Alkohol adalah salah satu contoh depresan sistem saraf pusat manusia. Maka, interaksi Librium dengan alkohol didapati boleh menjejaskan koordinasi dan pernafasan dan meningkatkan tahap sedasi (separuh sedar atau turut dikenali dengan terma “lalok”).

Oleh yang demikian, Librium banyak diambil bersama alkohol secara salah guna untuk tujuan ketagihan dan kecanduan berkhayal dalam kalangan penagih, apabila mereka sudah membina tolerans terhadap kesan sebenar Librium yang pada mulanya adalah sebagai agen penyingkiran alkohol dari sistem tubuh.

…..

Koroner yang melakukan bedah siasat ke atas Amy Winehouse menolak tanggapan Librium sebagai antara punca kematiannya. Librium tidak memainkan peranan dalam kematian Amy kerana kesan sampingannya yang ringan seperti pening, keletihan, dan kekeliruan.

Hasil autopsi atau bedah siasat menunjukkan bahawa punca kematian Amy Winehouse adalah disebabkan keracunan alkohol yang melampau apabila dia mengambil lima kali jumlah lebih daripada had yang dibenarkan. Dos Librium yang diambil tidak cukup untuk mengatasi simptom penyingkiran, apatah lagi untuk menyebabkan kematian.

Rujukan

  1. https://www.alcohol.org/mixing-with/librium/
  2. http://www2.potsdam.edu/hansondj/AlcoholAndHealth.html
  3. Irving B. Weiner. Drugs and Behaviour. 2nd Editon. John Wiley & Sons Inc. United States of America. 1982.
  4. John Joseph Fenton. TOXICOLOGY: A Case-Oriented Approach. CRC Press. Florida. 2000.
  5. Jon D Kassel. Substance Abuse and Emotion. American Psychological Association.
  6. Wshington. 2010. Kaplan, N. M., Palmer, B. F., & Denke, M. A. (2000). Nutritional and health benefits of beer. The American journal of the medical sciences, 320(5), 320-326. Klatsky, A. L. (2003). Drink to your health?. Scientific American, 288(2), 74-81.
  7. Thakker, K. D. (1998). An overview of health risks and benefits of alcohol consumption. Alcoholism: Clinical and Experimental Research, 22, 285s-298s.

 

Penulis: Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kimia (persekitaran dan kimia polimer) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut menerima ijazah sarjana sains kimia (mod penyelidikan) dan ijazah sarjana muda sains forensik dari universiti yang sama.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.